Subscribe

by Jil Fityan





KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - Tindakan kerajaan memotong 10 peratus elaun keraian menteri kabinet serta melarang mereka melancong ke luar negara adalah merupakan usaha yang kurang berkesan berbanding beribu-ribu juta wang yang telah dibazirkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri Kelantan, Dato' Husam Musa berkata, langkah itu tidak membawa banyak makna bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat ekoran keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api itu yang begitu tinggi.

"Kita seolah-olah mahu berjimat 10 sen tetapi sedia biarkan hilang beribu juta, ia tak memberi kesan yang munasabah," katanya.

Tegasnya langkah penjimatan yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sesetengahnya seolah-olah hendak menunjuk-nunjuk.

"sesetengah daripada langkah penjimatan itu seakan mahu menunjuk-nunjuk dan mengada-ngada seperti pemotongan elaun keraian 10 peratus bagi anggota Kabinet," katanya semalam.

Beliau berpendapat, banyak lagi langkah yang lebih berkesan termasuk menghentikan pemberian tender secara runding terus melibatkan kos beribu-ribu juta yang sepatutnya dapat diselamatkan perlu dilaksanakan sebagai strategi kerajaan pusat.

"Contohnya, pembinaan landasan berkembar kereta api yang kosnya dahulu sekitar RM8 bilion sekarang melonjak kepada RM16 bilion," katanya.

Selain itu tambahnya, langkah mengehadkan penggunaan hotel untuk seminar juga suatu langkah ke belakang kerana ia secara tidak langsung akan menguncupkan industri perhotelan dan pelancongan di negeri-negeri.

Husam yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan turut menyatakan kehairanan dengan strategi diambil kerajaan bagi mengawal perbelanjaan kerajaan pusat setelah menaikkan harga minyak.

"Saya tidak faham kenapa kita naikkan harga minyak yang sepatutnya masih boleh dielak sehingga terpaksa bersusah payah melakukan itu dan ini untuk mengambil hati rakyat," ujarnya.

Katanya, langkah lebih berkesan perlu diambil dan tidak harus disempitkan pemikiran atau tindakan dengan menggerakkan tenaga-tenaga alternatif termasuk gas dan solar semata-mata.

Dalam perkembangan lain, Husam berkata Kerajaan Kelantan tidak akan mengurangkan elaun keraian anggota Exco dan wakil-wakil rakyat memandangkan kerajaan negeri itu telah sekian lama melakukan langkah berjimat cermat termasuk pemotongan elaun wakil rakyat sebagai strategi menjaga kebajikan rakyat

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.