Subscribe

Isu Etika Berpakaian Di Kelantan

"akOTA BHARU 23 Jun – Larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi ialah antara arahan yang ditetapkan kepada pemegang lesen dan pekerja di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Shafie Ismail berkata, arahan itu bagi mengelak berlakunya anasir jahat seperti rogol dan zina selain menjaga maruah serta peribadi muslimah di negeri ini.

Katanya, wanita muslimah dilarang memakai solekan yang jelas dilihat seperti gincu dan tidak dibenarkan memakai kasut bertumit tinggi yang mengeluarkan bunyi.

....Sekiranya hendak memakai kasut bertumit tinggi, tumitnya haruslah diperbuat daripada getah,’’ katanya menerusi pekeliling yang dikeluarkan kepada wanita beragama Islam yang bekerja mengendalikan premis makanan dan bukan makanan di dalam kawasan MPKB-BRI.

Bagaimanapun Shafie tidak dapat dihubungi Bernama untuk mendapatkan penjelasan terperinci berkenaan larangan pemakaian gincu itu.

Selain itu, beliau berkata, antara etika lain yang perlu dipatuhi ialah memakai tudung yang labuh, tidak jarang dan menutup dada, memakai baju berlengan panjang sehingga ke pergelangan tangan, memakai baju labuh dan longgar serta memakai sarung kaki.

Shafie berkata, kegagalan mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan itu akan dikenakan kompaun sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) 1986 dan jika sabit kesalahan boleh dikompaun tidak lebih RM500. — BERNAMA.

DIPETIK DARIPADA : http://purnama2u.com


ULASAN SAYA.



Pada pukul 8.15 pagi tadi,saya menyaksikan rancangan di TV9, " Nasi Lemak Kopi O " . Topik hari ini membincangkan tentang isu hangat dan "kontroversi" iaitu isu " Gincu dan Tumit Tinggi". Nasi Lemak Kopi O telah menjemput undangan istimewa Datuk Haji Takiyuddin Hassan selaku Exco bahagian Pihak Berkuasa Tempatan dan Pelancongan negeri Kelantan untuk memberi penjelasan yang jelas tentang perkara berkenaan. Beliau yang juga bekas majistret Makamah Kota Bharu telah memperincikan hal berkenaan dan membidas balik kenyataan media yang sengaja menjadikan isu tersebut sebagai isu yang besar. Beliau menjelaskan, perkara ini hanyalah sebagai satu pekeliling etika berpakaian kepada para pekerja wanita agar memakai pakaian menutup aurat selaras dengan lunas-lunas Islam. Undang-undang ini bukanlah menjadi satu larangan mutlak kepada seluruh warga Kelantan namun hanya berkuatkuasa kepada para pekerja wanita yang bekerja sahaja.

Sementara perkara yang berkaitan dengan tajuk Nasi Lemak Kopi O hari ini, mengenai kasut tumit tinggi dan memakai gincu, sebenarnya pemahaman kepada apa yang hendak disampaikan oleh kerajaan Negeri Kelantan harus diteliti dengan jelas. Mengenai isu ini ulas beliau, tidaklah menjadi larangan kepada mereka yang hendak memakai gincu dan kasut tumit tinggi, cuma tidaklah keterlaluan. Tidak keterlaluan dalam konteks "memakai gincu supaya tidak menjadi tarikan lelaki dan memakai kasut tumit tinggi yang diperbuat daripada getah yang tidak berbunyi kuat".Tiada larangan mutlak dan dianggap satu kesalahan besar berhubung isu ini. Lagipun, perkara itu bukanlah satu perkara yang baru. Lagipun,dimana-mana pejabat juga telah ada papan tanda " Jangan Bising". Maka adab sopan ini diterap,dimasukkan serta diberi penjelasan agar orang ramai lebih memahami.


Di samping itu Kerajaan negeri Kelantan juga giat melaksanakan kempen kepada wanita Muslim di Negeri Kelantan supaya memakai pakaian sopan yang menutup aurat mengikut lunas syara'. Penguatkuasaan dan kempen ini bukan hanya dilaksanakan di kawasan Kota Bharu sahaja sepertimana yang didakwa oleh pihak media,malah turut dilaksakan di beberapa majlis tempatan negeri yang lain di Kelantan. Penerangan ini sedikit sebanyak dapat menjelaskan kepada mereka yang termakan hasutan media yang menggembar-gemburkan isu terpencil ini. Sesungguhnya orang Kelantan tidak menghadapi masalah untuk berhadapan dengan peraturan ini memandangkan wanita di Kelantan sudah maklum dan biasa dengan peraturan Islam yang ditetapkan di sini. Maka isu ini tidak timbul. Lagi pula tambahan beliau, perkara ini sudah sebati dengan adab dan adat orang Kelantan.


Beliau juga mengulas cadangan daripada panggilan penonton dari Alor Setar Kedah yang memuji tindakan Negeri Kelantan dan bertanya perihal pelaksanaan di negeri-negeri lain, beliau berkata "Kami akan cuba melaksanakan perkara tersebut memandangkan ia adalah satu tuntutan agama" di samping dapat menjamin keselamatan wanita semasa bekerja. Beliau juga menyarankan media yang ingin membuat liputan terhadap sesuatu isu atau apa sahaja di negeri Kelantan supaya bertanya kepada orang yang selayaknya dan bukanlah pergi ke kaki lima bertanya kepada mereka yang tidak arif dalam hal berkenaan. Ketelusan dalam menyampaikan kebenaran harus menjadi satu prinsip yang penting kepada media massa tanah air.

Apa yang saya tertarik ialah langkah berani kerajaan negeri Kelantan ini.Tindakan yang dikeluarkan ini nyata maju ke hadapan dalam menjadikan Kelantan sebagai role model untuk negeri-negeri lain.Kelantan sememangnya telah banyak melaksanakan program bercorak Islam sejak tahun 1990.

Antara program yang mendapat tempat hati rakyat ialah skim Kifaalah,Sukan Nisa' Malaysia (walaupun mendapat bantahan dari pihak tertentu),Ladang Rakyat dan sebagainya.Dan dengan pengumuman etika pakaian ini nyata ia akan menambahkan lagi bukti seriusnya Kelantan dalam mengatasi isu sosial khususnya di Kota Bharu. Bukan sahaja dapat melahirkan Muslimah Islam sejati,malah turut sama dapat menarik mereka yang luar daripada Kelantan untuk sama-sama menutup aurat bila berada di bumi Kelantan.

Namun setiap kebaikan akan tetap diuji.Jangkaan akan wujudnya kritikan-kritikan berhubung isu tetap berlaku.Bukan semua pihak menyokong perkara baik.Jika semua menyokong sudah tentu umat Islam dah berada dalam sebuah negara Islam sejati.

Justeru buat para pendokong gerakan Islam,kuatkan azam serta tambahkan ilmu dunia dan akhirat dalam menghadapi setiap tentangan ini.Walaupun kita meraih sedikit kemenangan dalam pilihanraya umum ke-12 namun ia belum tentu akan kekal.Dakwah mesti diteruskan selagi kiamat belum tiba.Saya berharap tentangan tidak akan timbul mengenai etika ini malah menjadi contoh buat semua.Saya juga memohon agar kerajaan Kedah turut mengeluarkan etika sebegini bagi membendung gejala sosial. Allahuakbar!!!


layari blog takiyyuddin : http://takiyuddinhassan.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.