Subscribe

Jurang kaya-miskin melebar dengan kenaikan minyak

SHAH ALAM, 6 Jun (Hrkh) - Harga bahan api yang melambung tinggi boleh diumpamakan sebagai tsunami yang melanda rakyat negara ini, ujar anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong.


"Keputusan yang buruk ini dibuat dengan terlalu drastik tanpa mengambil kira pendapatan rakyat yang masih tidak dinaikkan," jelas beliau dalam satu kenyataan media semalam.


Rakyat, tambah beliau ditimpa tsunami kehidupan di mana beban hidup sudah menjadi terlampau berat.


Elizabeth menyifatkan langkah kenaikan harga bahan api ini hanya satu cara penyelesaian bersifat jangka pendek yang buruk kerana boleh mengakibatkan kos pengangkutan melambung tinggi, kenaikan harga barang keperluan dan memperluaskan jurang di antara golongan kaya dan miskin.


Beliau turut mempersoalkan pakej penstrukturan subsidi yang diperkenalkan oleh kerajaan yang dianggap langsung tidak dapat menyelesaikan tekanan hidup yang berat ke atas semua rakyat Malaysia.


"Sementara harga bahan api naik sebanyak 60 peratus, RM625 subsidi hanya cukup untuk tiga bulan sahaja," tegas beliau.


Dengan nada kecewa, beliau turut mempertikai tentang RM9.9 billion yang dikatakan telah dijimatkan di antara tempoh kenaikan harga bahan api yang lepas namun sehingga kini, kerajaan langsung tidak menaikan taraf pengangkutan awam. "Sampai ke hari ini kebanyakan rakyat masih bergantung kepada kenderaan sendiri dan terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas yang teruk.


"Kesemua ini menunjukkan Kerajaan Pusat seharusnya berbincang dengan kerajaan negeri sebelum membuat sebarang keputusan khasnya dalam aspek membuat perancangan dan pengurusan ekonomi," ujar beliau.


Malaysia, katanya adalah negara pengeksport petrol yang juga akan mendapat keuntungan yang tinggi semasa harga pasaran dunia naik sampai melebihi US$130; namun rakyat masih belum dapat merasai sepenuhnya manfaat tersebut.


"Justeru sudah tiba masanya untuk Petronas melaksanakan prinsip ketelusan dalam keuntungan yang diperolehi. Keuntungan hasil petrol yang dimiliki oleh Malaysia tersebut sepatutnya dinikmati oleh semua rakyat jelata," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.