Subscribe

Kenaikan harga minyak, terburuk dan melampau

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) -Pemimpin parti Pakatan Rakyat menyifatkan kenaikan harga petrol dan diesel pada kadar 41 peratus sebagai membebankan rakyat dan yang terburuk dalam sejarah negara.

Sementara itu, ganjaran memberi wang tunai kepada pemilik motosikal dan kereta pada akhir tahun tidak akan meringankan beban rakyat yang sebelum ini dibebankan dengan kenaikan harga barang-barang keperluan seperti beras, ayam dan tepung.


Buletin Online melaporkan, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar berkata, pemberian RM625 setahun bagi kenderaan berkapasiti enjin sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti sehingga 2,500cc hanya menjimatkan RM2 sehari.


Menurutnya, beban rakyat dapat diatasi segera dengan menaikkan gaji kakitangan awam dan menetapkan gaji minimum RM900 seperti dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC), baru-baru ini.


"Lazimnya, apabila harga bahan bakar naik, kesan kepada kos kehidupan akan melambung dan inflasi meningkat,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Sebagai negara pengeluar minyak, kata Kamaruddin, kerajaan tidak sepatutnya menaikkan harga bahan bakar itu sebegitu tinggi walaupun ia adalah fenomena dunia yang tidak dapat dielakkan.


Beliau juga mengaitkan India yang bukan negara pengeluar minyak hanya menaikkan harga petrol sebanyak 10 peratus hari ini.


Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar ketika mengulas kenaikan harga minyak ini kepada Harakahdaily hari ini menyatakan ia sebagai satu tindakan yang terlampau, Mahfuz berkata kerajaan Abdullah Badawi sekali lagi menipu rakyat dengan tanpa sebarang petanda terus mengumumkan kenaikan harga minyak pada tahap tertinggi.


"Sedangkan sebelum ini kenaikan dikatakan akan dikaji dan berkemungkinan akan berlaku pada Ogos ini," ujar Mahfuz.


Namun tanpa sebarang 'signal' awal kepada rakyat, kerajaan terus memperbodohkan rakyat dengan menaikkan sekali lagi harga minyak pada satu tahap yang cukup menjerat kehidupan rakyat.


"Ini keputusan dari kerajaan yang terlampau, rakyat dihadiahkan dengan kenaikan RM0.78 sen harga petrol sementara diesel sehingga rm1.00. Ini satu kenaikan yang tertinggi yang pernah dicatatkan," ujarnya.


"Dengan tindakan ini, rakyat dihumban kerajaan Umno/BN kepada satu kehidupan yang lebih teruk tanpa sebarang belas kasihan," ujar Mahfuz.


Baginya tindakan ini sekali lagi satu penipuan dimana sebelum ini semasa pilihan raya umum yang lalu, kerajaan berjanji tidak akan menaikkan harga minyak.


Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tian Chua berkata, kenaikan harga petrol dan diesel itu akan memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara.


Beliau menegaskan, sekiranya kemampuan rakyat untuk membeli menurun, maka negara akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang negatif.


Justeru, katanya, apabila ini berlaku ia akan menjejaskan perusahaan kilang-kilang kecil serta peluang pekerjaan turut terjejas

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.