Subscribe

Perpaduan Islam boleh satukan seluruh rakyat

Awang Harun


KUALA TERENGGANU, 27 Jun (Hrkh) - PAS lebih selesa menekankan soal Perpaduan Islam kerana ia lebih adil, baik dan menyeluruh bagi semua masyarakat dan rakyat di negara ini.


Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali berkata hanya Perpaduan Islam yang boleh mengikat hubungan antara semua kaum di Malaysia.


"Kita (PAS) menekankan soal Perpaduan Islam sebab, kita (PAS) melihat Islam ini sebagai asas yang boleh mengikat bukan sahaja di kalangan orang Melayu dengan orang Melayu tetapi mengikat seluruh rakyat Malaysia," tegasnya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Media Bersama Pimpinan PAS di sebuah hotel, dekat sini, semalam.


Katanya, kalau bercakap soal perpaduan Melayu ia seolah-olah meminggirkan bangsa lain yang berada dalam masyarakat dan negara hari ini.


"Kalau kita bercakap Melayu sahaja, seolah-olah kita pinggir orang lain daripada perjuangan dan itu tidak kena.


"Kita (PAS) hendak perpaduan yang menyeluruh bagi rakyat Malaysia dan ini kena diurus dan ditangani secara bijaksana tanpa kita menafikan bahawa soal perpaduan dalam konteks Malaysia," jelasnya.


Justeru katanya, PAS memainkan peranan yang sesuai bagi mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat dalam negara hari ini.


"Kita (PAS) akan memainkan peranan kita. Kita respons berdasarkan apa yang sebenar berlaku dalam masyarakat dan negara kita.


"Sebab, kita mempunyai tanggung jawab kita juga kepada masyarakat yang memberikan sokongan kepada kita (PAS) dalam pilihan raya yang lepas (PRU Ke-12)," ujarnya.


Pada majlis tersebut lebih 30 orang wartawan, jurugambar dan mengamal media dari Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) hadir berdailog serta bertukar-tukar pendapat antara kedua-dua pihak.


Antara pimpinan PAS negeri yang hadir, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato' Wan Abdul Mutalib Embong dan Dato' Abu Bakar Chik, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Yahya Ali dan Pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kassim Ahmad.

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.