Subscribe

Siasat dakwaan liwat ke atas Anwar, PM nafi BN terbabit

Siasat dakwaan liwat ke atas Anwar, PM nafi BN terbabit

Harakahdaily
Sun | Jun 29, 08 | 3:36:54 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Hrkh) - Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepada polis untuk mengadakan siasatan bagi menentukan kesahihan berhubung dakwaan bahawa Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim meliwat seorang pembantunya.

Image

Katanya, siasatan wajar dibuat dan bukan hanya bergantung kepada penafian Anwar sahaja kerana sepertimana kes jenayah lain, sudah semestinya sesiapa sahaja yang dituduh akan menafikannya.


"Kalau sudah begitu pihak polis lah yang kena ambil apa-apa tindakan yang sewajarnya. Laporan telah diberi, polis akan buat siasatan dan tentukan bahawa benda itu betul atau tidak betul.


"Apa yang Anwar kata bukan kita boleh tentukan...dia tentulah buat penafian. Itu lazimnya begitulah. Orang yang dituduh akan buat penafian,' katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bumi Hijau Warga Putrajaya Bersama Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.


Perdana Menteri mengulas demikian merujuk kepada laporan polis di Balai Polis Travers, oleh seorang lelaki berumur 23 tahun yang mendakwa diliwat oleh pemimpin itu pada 26 Jun lalu di sebuah tempat di ibu negara, demikian menurut laporan Bernama.


Dalam reaksi balasnya, Anwar menafikan dakwaan meliwat pembantunya itu sambil menyifatkan dakwaan terbaru itu 'hanya rekaan semata-mata'.


Anwar menyifatkan ia bertujuan untuk menyekat kebangkitan karier politiknya selepas pakatan pembangkang mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum Mac lalu.


Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menafikan dakwaan bahawa BN merancang untuk menyekat kebangkitan karier politik Anwar dengan melemparkan berbagai-bagai tohmahan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.


"Umno tak terfikir nak kacau dia macam ini. BN pun tak terfikir nak menyusahkan dia, nak kacau atau nak timbulkan perkara yang macam ini kerana nak buat sesuatu yang tak baik pada dia.


"Tidak ada niat seumpama ini...tak terlintas dalam fikiran saya langsung untuk nak khianati dia. Saya dan kawan-kawan saya, Datuk Seri Najib (Tun Razak) pun tak terfikir macam itu.


"Orang yang berkenaan yang buat laporan, kita nak buat apa lagi. Dia ada hak untuk buat laporan. Kita tidak boleh menegah dia buat laporan. Kita tidak ada sebarang rancangan untuk membuat sesuatu pada dia (Anwar) kerana dia kata dia sudah pulih balik dalam politik," katanya.


Ditanya adakah Anwar akan ditahan polis, Perdana Menteri berkata: 'Saya tidak mahu kata apa-apa mengenainya, cukuplah...tiada spekulasi, tiada"


"Apa yang saya tahu ialah satu laporan telah dibuat kepada polis dan polis akan tentukan apa yang mereka mahu lakukan dan bagaimana," kata Abdullah

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.