Subscribe

AHLI PAS LEGA DENGAN KEPUTUSAN MAJLIS SYURA - Ref Malaysiakini


Rata-rata ahli PAS lega dengan keputusan mesyuarat Majlis Syura hari ini. Mesyuarat Majlis Syura yang berlangsung petang tadi di kediaman Menteri Besar Kelantan, JKR 10 di Kota Baharu mengambil ketetapan bahawa, saf kepemimpinan atasan PAS menegaskan "tidak pernah berbangkit parti itu hendak bergabung atau berkongsi kuasa dengan Umno", malah bersedia kekal dalam Pakatan Rakyat.

Mursyidul Am Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Datuk Prof. Dr Harun Din dilaporkan sepakat menyatakan PAS tetap komited dengan kerjasamanya bersama PKR dan DAP. Tidak berbangkit soal PAS keluar dari Pakatan Rakyat.

"Apa yang dilakukan oleh beberapa pemimpin PAS adalah bersemuka (muqabalah) dengan para pemimpin Umno untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat," laporan suatu blog akhbar mingguan dipetik.

Beberapa pemimpin kanan PAS menghadapi kesukaran menjelaskan kepada ahli dan penyokong parti apabila Abdullah mendedahkan beliau sendiri terlibat dalam tiga pertemuan dengan PAS.


Laporan-laporan media kemudiannya menyebut usaha PAS mendekati Umno termasuklah rundingan tentang kerajaan campuran di Selangor dan pengagihan jawatan penting negeri, beberapa hari selepas pilihanraya umum 8 Mac.


Keputusan majlis syura hari ini boleh meredakan kekecewaan penyokong dan ahli parti. Tuan Guru Nik Abdul Aziz, yang juga menteri besar Kelantan, baru-baru ini menggesa muzakarah dengan Umno dihentikan kerana ia akan memecah-belahkan PAS.


Beliau berkata PAS dibimbangi akan menjadi seperti kera sumbang, manakala di kiri kanan pula kena marah sekiranya meneruskan muzakarah dengan pemimpin Umno. Kelmarian, Nik Abdul Aziz berkata, "apabila berlaku muzakarah penyokong kita marah kepada PAS dan orang Pakatan Rakyat juga curiga.


"Oleh itu bagi mengelakkan kekecewaan penyokong, muzakarah antara PAS dan Umno dianggap tidak perlu bagi mengelak berulang sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini.


"PAS akan lebih berhati-hati agar tidak terkena perangkap Umno kali kedua. "Itu bukan cara parti yang memperjuangkan Islam berpolitik di mana cara berkenaan tidak ubah seperti menolong pihak lawan dan bukannya untuk menjaga kestabilan parti."Itu perangkap namanya," katanya, lapor Harakahdaily.net.


Adalah diharapkan ahli, penyokong, simpatisan PAS dan Pakatan Rakyat tidak bimbang dengan isu ini kerana ia telah diputarbelitkan oleh media dan pemimpin Umno. Ketegasan dan penjelasan Tuan Guru Mursyidul Am dan Presiden PAS selepas mesyuarat Majlis Syura hari ini sudah cukup untuk menjawab segala kekeliruan dan tohmahan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja ingin melihat PAS dan Pakatan Rakyat berpecah.

Syabas pemimpin PAS yang bertindak pantas menyelesaikan masalah ini. Diharapkan selepas ini isu muzakarah PAS-Umno tidak akan dibangkitkan lagi.

by Mutaligat

1 comment:

chong said...

bagus!
membunuh raksasa UMNO, jom wira PAS!

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.