Subscribe

Bagaimana Kalau UMNO Mahu Bertaubat?

Ketika blog ini mengulas tentang khabar-khabar angin pertemuan pimpinan tertinggi PAS dan pimpinan tertinggi UMNO sebulan yang lalu, seorang moderator akhbar internet Tranungkite menyatakan ulasan tersebut tersasar. Hari ini, jelaslah ulasan tersebut bukan berasaskan kepada berita-berita tepi jalan, sebaliknya daripada sumber maklumat yang boleh dipercayai.

Seperti yang dijangkakan pertemuan (muqabalah) ini telah menimbulkan pandangan pro dan kontra, malah dianggap boleh menyebabkan perpecahan di dalam PAS sendiri. Beberapa pemerhati politik temasuk dari kalangan ahli PAS seperti blog penarik beca telah begitu ghairah memainkan isu ini walaupun terdapat banyak maklumat yang salah dipaparkan seperti berkaitan dengan pemergian pimpinan PAS ke London.

Sebagai sebuah parti yang mendukung Islam sebagai matlamat perjuangan, PAS sudah semestinya tidak harus terikat dengan mana-mana pihak dalam memastikan teras perjuangannya tercapai. Persefahaman PAS dengan PKR dan DAP adalah atas dasar untuk sama-sama menolak kezaliman yang dilakukan oleh BN bukannya untuk menghancurkan teras Islam dan Melayu yang menjadi asas pembinaan negara Malaysia. Tindak-tanduk pimpinan bukan Islam daripada DAP dan PKR tidak menghormati asas-asas ini, seperti berdemontarasi meminta azan tidak dilaungkan ke luar masjid dan menghalang pembinaan surau adalah satu tindakan yang melampau.


Sememangnya kemenangan PAS turut disumbang oleh golongan bukan Islam, tetapi kemenangan DAP dan PKR juga turut disumbang oleh golongan Islam termasuk ahli-ahli PAS yang berada di seluruh negara. Sekiranya PAS boleh bersabar untuk tidak bermain dengan isu-isu sensitif seperti Negara Islam dan Hukum Hudud, mengapa DAP dan PKR tidak boleh turut berbuat demikian? Sekiranya PAS boleh bertolak ansur untuk tidak menuruti tuntutan penyokong tegarnya buat masa ini, mengapa DAP dan PKR tidak boleh bertolak ansur untuk turut tidak menuruti tuntutan penyokong tegarnya pula? Keadaan yang tidak memihak kepada PAS ini sudah tentu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Setiap parti politik seperti PAS, DAP dan PKR mempunyai penyokong tegar masing-masing. Bagaimanapun jumlah penyokong tegar ini sekitar 30% daripada keseluruhan pengundi, selebihnya adalah pengundi yang tidak berparti. Sememangnya penyokong tegar ini mempunyai tuntutan masing-masing yang mahu parti yang mereka sokong menunaikan tuntutan itu. Penyokong tegar PAS sudah tentu menuntut dilaksanakan sebuah negara yang terlaksana di dalamnya hukum-hukum Islam sebagaimana yang terdapat dalam Perlembagaan PAS. Manakala penyokong tegar DAP pula menuntut konsep Malaysian Malaysia yang telah lama diperjuangkan. Jelas PAS boleh bertolak-ansur dalam memenuhi kehendak penyokong tegar mereka tetapi tidak bagi DAP dan PKR.

Kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) juga semakin terpinggir sepertimana yang disebutkan oleh Tuan Guru Presiden PAS. Dalam keadaan PR belum memerintah negara, kedudukan PAS telah dipencilkan, betapa pula selepas kemasukan 30 orang MP yang disebut-sebut oleh Anwar Ibrahim selepas ini. Mereka ini besar kemungkinan terdiri daripada golongan bukan Islam Sabah dan Sarawak. Sekaligus golongan bukan Islam ini akan menjadi majoriti di kalangan MP PR. Bagaimana pula nasib PAS dan agenda politik Islam yang diperjuangkan olehnya. Dengan kedudukan yang tidak seimbang ini, mungkinkan tuntutan supaya azan tidak dilaungkan ke luar masjid akhirnya akan tertunai.

Kesemua perkiraan dan kemungkinan ini tidak boleh dipandang kecil, maka saf kepimpinan tertinggi PAS tidak boleh berdiam diri. PAS memerlukan alternatif-alternatif lain sekiranya perkiraan dan kemungkinan tersebut berlaku. Bibit-bibitnya mulai kelihatan berdasarkan gelagat yang ditunjukkan oleh pimpinan bukan Islam daripada DAP dan PKR. Oleh sebab itu, tindakan pimpinan tertinggi PAS bertemu dengan pimpinan tertinggi UMNO adalah sebagai persediaan sekiranya bibit-bibit tersebut menjadi kenyataan. Apakah selepas agenda politik Islam dipencilkan sebaliknya konsep Malaysian Malaysia dijulang, barulah pimpinan tertinggi mencari alternatif secara gelabah?

Sekiranya PAS boleh memaafkan Anwar, mengapa tidak PAS tidak boleh memaafkan Pak Lah. Semasa Anwar dalam UMNO serangan-serangan PAS tertuju kepadanya, tetapi kemudian dosa-dosa Anwar itu dimaafkan selepas beliau tersingkir daripada UMNO. Sekiranya Pak Lah tersingkir daripada UMNO dan bersekutu dengan PAS, maka dosa-dosanya turut akan dimaafkan oleh PAS sebagaimana Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussien Onn dahulu. Malah kalau Dr Mahathir bersekutu dengan PAS, diyakini PAS turut akan memaafkan Dr Mahathir. Dari segi rekod politik, sehingga kini tindakan Pak Lah terhadap PAS adalah yang paling ringan berbanding dengan Tunku, Tun Hussien, Dr Mahathir dan Anwar sendiri.

Pada zaman Tunku lah ramai pimpinan-pimpinan PAS dipenjarakan termasuklah Dr Burhanuddin al-Helmy. Pada zaman Tun Hussien pula, PAS disingkirkan dari BN dan Kelantan ditawan dengan cara politik Gestapo. Pada zaman Dr Mahathir, berlakunya Tragedi Memali dan lain-lain penindasan terhadap PAS. Anwar yang ketika itu berada dalam kerajaan UMNO langsung tidak bersuara ketika kawan lamanya Ustaz Ibrahim Libya dibunuh. Akan tetapi kesemua dosa-dosa mereka boleh dimaafkan oleh PAS selepas mereka tersingkir daripada UMNO dan bersekutu dengan PAS. Mengapa pula apabila dengan Pak Lah, PAS tidak boleh berlapang dada untuk memaafkannya.

Pak Lah telah memulakan inisiatif awal dengan mewujudkan suasana kondusif kepada hubungan PAS dan UMNO dengan membenarkan harakah diterbit dua kali semingggu dan mengembalikan royalti petroleum negeri Trengganu. Sekiranya Pak Lah mencadangkan persempadanan semula bagi mengembalikan dominasi politik Melayu-Islam sebelum PRU akan datang apakah PAS tidak perlu menyokongnya? Hubungan PAS dan UMNO tidak semestinya duduk satu parti, sebaliknya hubungan kedua-dua parti seumpama hubungan MCA dan DAP. Meskipun mereka berlainan parti tetapi saling bersinergi untuk menjulang agenda politik mereka. Maka mengapa tidak PAS dan UMNO? Apakah apabila Pak Lah dan UMNO ingin bertaubat, maka PAS tidak boleh memaafkannya?

by TelaahPolitik

1 comment:

tamupulaumelaka said...

Semua mata fokus kepada Pas kini. Umno yg tersepit, terkial2 menghulur tangan kepada Pas.Umno mahu bertaubat? dan minta Pas memaafkannya? apa ni semua? taubat kerana dosa2nya mesti dgn Allah, kenapa perlukan kemaafan dari Pas pula. Banyak benar salahnya kepada Pas? Lebih baik Umno study semula perjuangannya dan study juga feel pemimpin2nya. Hadhari?
Kadang2 org Umno kata Pas lari dari perjuangan asal, mereka kesal... Mengapa org2 Umno tak masuk Pas kalau dah tahu perjuangan asal Pas itu murni. Bagi ana selagi Umno bernama Umno dan bergerak demi Paklah/hadharinya selama itulah org2 Umno sukar bertaubat dan tak boleh dimaafkan.

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.