Subscribe

Debat kedua, Saifuddin sedia berdepan dengan Khairy

PASIR PUTEH, 28 Julai (Hrkh) - Mungkinkah debat pusingan kedua diadakan lagi selepas ini, biar pun Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dikatakan gagal menggalas harapan Umno pada debat pertama.

Anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak penganjur debat ada menghubunginya mempelawa tampil dalam agenda debat pusingan kedua

"Saya telah menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan siapa sahaja dari kalangan pemimpin Umno termasuk juga menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin," katanya pada satu ceramah di Kampung Air Tawar, Semerak, baru-baru ini. Hadir sama pada program itu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim, Adun Limbongan, Zainudin Awang Hamat dan Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad.

Baru-baru ini debat yang membahaskan topik 'Hari ini bentuk kerajaan, esok turun harga minyak' menyaksikan pertemuan antara Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan Malaysia.


Pada debat itu rata-rata orang ramai yang menonton melalui siaran lansung di TV9 memuji kemantapan hujah bekas timbalan perdana menteri berbanding Shabery yang lebih emosi. Sehubungan itu Saifuddin mengulangi beliau bersedia berdebat pada bila-bila masa dan di mana sahaja tempat.

"Saya sanggup, tidak ada masalah. Sekarang saya tunggu kad jemputan secara rasmi," kata beliau.
Saifudin yang juga Pengarah Strategik KeADILan berkata, kesanggupan berdebat bukan kerana mahu publisiti, sebaliknya mahu memartabatkan falsafah keadilan dan kebenaran selepas kehidupan rakyat terbeban setelah harga minyak dinaikkan Jun lalu.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Aziz menegur sikap sesetengah pihak khususnya pemimpin politik yang membeza-bezakan di antara politik dan agama.

"Keadaan sebegini memisahkan politik dari agama menyebabkan mudahnya berlaku perkara negatif dalam pentadbiran seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya. - mj

Sumber: HarakahDaily

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.