Subscribe

Pandangan Islam Tuduhan Anwar Liwat

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani..

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong (terhadap Aisyah ra dan seumpamanya) itu adalah dari kalangan kamu juga.

Jangan kamu menyangka peristiwa itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka (yang terlibat) mendapat balasan (hukuman) dari dosa mereka. Orang yang bersaham besar (dalam konspirasi tersebut) di kalangan mereka mendapat azab yang pedih.

Kenapa tidak bila kamu mendengar berita itu, orang-orang beriman lelaki dan wanita bersangka baik sesama mereka sambil berkata “Ini cerita mengarut yang jelas” jika tidak didatangkan 4 orang saksi.


Jika mereka yang menuduh tidak mendatangkan 4 orang saksi, maka mereka disisi Allah adalah orang-orang yang pendusta ! Jika tidak kerana anugerah dan rahmat Allah kepada kamu di dunia dan Akhirat, nescaya kamu diazab besar akibat sikap dan penglibatan kamu (dalam berhadapan dengan isu ini) tatkala kamu menerima isu ini dengan lidah-lidah kamu dan kamu berkata-kata dengan mulut-mulut kamu tentang sesuatu yang kamu tidak ada maklumat (tepat mengenainya).

Kamu ingat ia suatu perkara yag kecil sedang disisi ALlah ia suatu yang besar. Kenapa tidak bila kamu mendengar isu ini kamu katakan saja “Tak perlu kami menyibuk-nyibuk mengenainya. Mahasuci ALlah, ini adalah konspirasi yang besar !”. Allah mengingatkan agar jangan kamu mengulangi perkara seperti ini sekali lagi selama-lamanya, jika kamu orang-orang beriman. Allah menerangkan ayat-ayatNya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Dan orang-orang yang suka kelucahan tersebar dikalangan orang-orang beriman bagi mereka azab di dunia dan AKhirat. Allah mengeahui sedang kamu tidak mengetahui.” (An-Nuur:11-19).
Dalam kitab “Fiqh Islami wa Adillatuhu” (Fekah Islam dan dalil-dalilnya) menerangkan pandangan-pandangan ulamak Islam tentang hukum hakam liwat. Saya tidak bermaksud menghuraikannya didalam blog ini. Cukup sekadar menulis bahawa mazhab-mazhab selain Syafie membezakan sedikit sebanyak dalam hukum hakam mereka diantara zina dan liwat mengikut samada pasangan tersebut telah berkahwin atau belum dan sebagainya. Namun Mazhab Syafie menyamakan zina dengan liwat di dalam hukum hakamnya. Oleh itu saya ingin berbicara isu tuduhan Dato Seri Anwar Ibrahim meliwat Azizan, Munawwar dan Saiful menerusi hikmah pengharaman pertuduhan zina terhadap seseorang.

Dalam Islam, seseorang itu dikira tidak bersalah dalam pertuduhan zina atau liwat terhadapnya melainkan melalui salah satu dari 2 cara sahaja iaitu (1) pengakuan sendiri, atau (2) pertuduhan dengan dikemukakan 4 orang saksi yang melihat jelas kejadian tersebut dengan melihat sendiri alat-alat hubungan kelamin sipelaku. Bahkan disebut didalam kitab tersebut sekiranya 4 orang membuat aduan/tuduhan zina/liwat terhadap seseorang, namun setelah diambil keterangan hanya 3 orang yang melihat dengan jelas alat-alat hubungan kelamin sipelaku manakala seorang lagi hanya mengatakan saya melihat mereka di dalam selimut, maka seorang tadi bebas tetapi 3 orang tadi disebat dengan 80 kali sebatan kerana telah menuduh/mengadu tanpa mengemukakan cukup 4 orang saksi !

Sekiranya Anwar meliwat Saiful dengan paksa seperti paksaan merogol, maka Islam akan mengukur tahap kemunasabahan paksaan tersebut dengan meneliti kekuatan tubuh badan Anwar berbanding Saiful, senjata yang diguna Anwar dalam membuat paksaan sehingga menyebabkan Saiful pasrah atau menyerah. Ini bergantung kepada lapuran Saiful, bahan bukti senjata yang digunakan, kesan saikologi dan fisikal selepas paksaan dan sebagainya. Bertemunya mereka berulangkali untuk Anwar meliwat Saiful berulang kali, seperti tuduhan Saiful, menafikan kesemua adegan tersebut berunsur paksa atau bersenjata. Saiful adakalanya rela, tidak lari dari ancaman kekuatan fisikal atau senjata Anwar.

Sekiranya Anwar meliwat Saiful dengan kerelaan kedua belah pihak seperti keadaan zina, maka dengan pengakuan Saiful dan penafian Anwar, Saiful yang bujang dikenakan sebat 100 kali dan Anwar bebas kecuali Saiful mengemukakan 4 saksi dalam membuat tuduhannya terhadap Anwar. Dengan kata lain, lapuran polis Saiful menuntut Saiful diadili mengikut Syariat Islam, dan bukan Anwar yang kena membela diri seperti perjalanan Mahkamah Sivil terhadap Anwar 10 tahun yang lalu. Di sini, alangkah jauhnya perbezaan diantara Syariat Islam dengan Undang-undang Sivil. Alangkah jauhnya maslahat yang dijamin oleh Sistem Islam dari Yang Maha Bijaksana berbanding Sistem Jahiliyah warisan Penjajah British.

Anwar telah dibebaskan dari tuduhan liwat pertama yang lalu. Dari ayat-ayat Al-Quran diatas, bagi mereka yang terlibat menuduh perlu dihukum dengan 80 sebatan di dunia dan azab pedih di Akhirat. Balasan jauh lebih berat di dunia dan Akhirat bagi mereka yang merancang dan memutarbelit fakta, saksi dan bukti. Bagi orang-orang yang beriman yang telah bersangka jahat perlu mengambil pengajaran agar bersangka baik bila kali pertama mendengar sebarang berita skandal seks dengan berkata “Ini cerita mengarut” dan “Ini konspirasi besar” jika pertuduhan tersebut tidak didatangkan dengan 4 orang saksi. Bagi kesemua pihak perlu sedar bahawa isu seperti ini bukan isu yang kecil di sisi Allah dan Allah tidak mahu melihat orang-orang beriman dipatuk dua kali dalam satu lubang dengan mengulangi sekali lagi kesilapan lalu kerana berprasangka, berkata-kata dan tuduh menuduh.

Semoga Allah menjaga kita dan umat Islam sedunia dari kesalahan samada disedari atau tidak dan menerangi jalan untuk kita dalam menuju kepadaNya dan keredhaanNya melalui petunjuk ayat-ayatNya. Amin.

Dipetik/diedit semula melalui Penerangan dari : Ustaz Abdul Halim Abdullah
http://inijalanku.wordpress.com



by Ustaz Abdul Halim Abdullah

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.