Subscribe

Kes Anwar: Laksana hukum al-Quran bukan bersumpah dengannya

Azamin Amin

Sat | Jul 05, 08 | 11:24:32 am MYT

KUALA LUMPUR, 5 Julai - Dalam tuduhan liwat yang semakin hangat diperkatakan, semua pihak disarankan melaksanakan tuntutan dan hukum al-Quran berbanding meminta mana-mana individu yang dikaitkan dengan pertuduhan itu agar bersumpah dengan kitab suci itu.

Peguam PAS Hanipa Maidin turut membidas Pengerusi Putera Umno Abdul Azeez Abdul Rahim yang meminta Dato' Seri Anwar Ibrahim bersumpah dengan al-Quran tapi tidak mahu menuntut hukum al-Quran yang menjadi hukum yang dipakai bagi menyelesaikan tuduhan liwat ke atas Anwar dan menyifatkannya sebagai satu sikap yang dilihat berpura-pura.

"Dari segi sisi Islam mahupun undang-undang negara ini Anwar adalah seorang individu yang dianggap tidak bersalah dan beliau juga tidak perlu sama sekali membuktikan apa-apa, jauh sekali membuktikan beliau tidak bersalah.

"Di dalam undang-undang yang dipakai di negara ini, bagi mana-mana pertuduhan jenayah prinsip yang terpakai adalah 'seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah'. Prinsip ini dikenali sebagai 'presumption of innocence.'," kata Hanipa yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Undang-undang dan AJK PAS Pusat.

Prinsip itu juga kata Hanipa diambil daripada syariat Islam iaitu berasaskan kaedah "al-aslu al-'adam" atau pun kaedah "al-aslu�baraatun zimmah" yang juga bermaksud "seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah".

Apa yang berlaku katanya di dalam isu dakwaan liwat ini adalah Anwar belum lagi dituduh di Mahkamah maka tidak timbul beliau harus membuktikan bahawa beliau tidak bersalah malah jika sekalipun beliau dituduh di mahkamah dengan kesalahan liwat, beliau masih dianggap tidak bersalah kecuali setelah disabitkan bersalah oleh mahkamah, kata Hanipa.

"Jika benar terdapat tuduhan liwat ke atas Anwar sekalipun, mana-mana pihak yang bersungguh meminta Anwar bersumpah dengan al-Quran sepatutnya perlu menuntut bahawa Anwar diadili dengan hukum al-Quran," katanya.

Dalam isu ini selain meminta Anwar bersumpah dengan al-Quran sepatutnya dari segi Islam meminta supaya pengadu Saiful Bukhari Azlan mendatangkan empat saksi yang melihat Anwar melakukan liwat tersebut selaras apa yang dinyatakan dalam al-Quran, kata Hanipa dengan lebih terperinci dalam blognya.

"Kesimpulannya ialah tidak perlu Anwar bersumpah dengan al-Quran. Mubahalah (seperti disaran Mufti Perlis) juga saya berpendapat tidak perlu kerana Anwar telah dikaitkan dengan kesalahan jenayah.

"Maka kaedah yang betul adalah Anwar mahupun Saiful sepatutnya diadili oleh sistem undang-undang jenayah Islam - sistem yang telah telah terbukti keadilannya," katanya

Sumber : HarakahDaily

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.