Subscribe

Khairy Cabar Beri DNA Anwar?

Pelik, tapi itulah yang berlaku semalam. Khairy Jamaluddin dengan tiba² mencetuskan kemarahan pimpinan pembangkang bila menyebut soal DNA Anwar Ibrahim di dalam Dewan. Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bangun mempersoalkan apa yang telah dikatakan oleh Khairy Jamaluddin, seolah-olah beliau ( KJ) mengetahui sesuatu berkenaan sampel DNA Anwar Ibrahim.

"Kita tidak boleh memaksa mana-mana pihak untuk memberi sampel DNA (tapi) kalau tidak takut pada kebenaran, saya harap Anwar akan tampil hari ini, dan kalau berani, beri sampel DNA untuk diuji sama ada laporan polis itu betul atau tidak. Ini penting," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2008).

Kata-kata naib ketua Pemuda Umno itu menyebabkan beberapa anggota parlimen Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (PKR-Permatang Pauh), isteri Anwar, bangun dan mempertikaikan kenyataan itu.Wan Azizah yang juga presiden PKR berkata: "Kenapa Rembau (Khairy) hendak minta DNA dari suami saya.Laporan polis yang dibuat tidak diberi kepada kami, bagaimana Rembau boleh tahu, apakah Rembau tahu kandungan dari laporan polis itu."

Situasi itu menimbulkan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang sehingga memaksa timbalan yang dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menenangkan keadaan.

"Kalau itu pendirian Rembau, itu dia punya pasal, yang buat penyiasatan adalah polis, takkan polis nak dengar arahan Rembau dalam dewan ini," kata Wan Junaidi.

Perbahasan Khairy sekali lagi menjadi kecoh dan hangat apabila beliau berkata janji Anwar untuk menurunkan harga minyak sebanyak 50 sen jika memerintah negara adalah satu pembohongan dan putar belit.

Khairy berkata ini bertentangan dengan janji parti itu ketika pilihan raya umum lepas yang mengatakan akan menurunkan harga minyak kurang daripada RM1.92.
Kekecohan berlaku sebentar dan dapat diredakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat pada waktu itu.

"Tapi semalam (pada debat Anwar dengan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek) pembohongan terdedah bahawa beliau hanya mampu janji turunkan 50 sen dari RM2.70 kepada RM2.20 yang mana masih lagi tinggi daripada RM1.92 seperti yang dijanjikan pada pilihan raya," katanya.

Kenyataan Khairy itu kemudian dijawab oleh Mohamed Azmin yang mengatakan bahawa apa yang disebut Anwar itu adalah langkah awal dengan mengambil kira keadaan ekonomi sekarang.

"Dalam keadaan ekonomi hari ini, mana mungkin kita hendak turun secara mendadak, ini peringkat awal dan sekiranya suasana mengizinkan kita akan turunkan lebih rendah supaya rakyat dapat manfaat," katanya.

by Farhan Shah

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.