Subscribe

Mahathir seru ahli Umno 'paksa' Abdullah letak jawatan segera

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru ahli dan pemimpin Umno supaya 'memaksa' Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya segera bagi memulihkan Umno dan BN.

"Janganlah tunggu Pilihan Raya Umum ke-13 untuk kalahkan BN dan Umno supaya Abdullah jatuh. Yang salah bukan BN atau Umno. Yang salah ialah Abdullah," katanya dalam satu komentar yang tersiar dalam lama web beliau hari ini.

"Jika ahli Umno hendak melihat parti dan BN dipulih semula, 'paksalah' Abdullah letak jawatan sekarang. Jangan calon Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian," katanya.

Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Abdullah terus menjadi Presiden Umno, yang salah ialah ahli Umno sendiri, katanya.

Mahathir mendakwa bahawa beliau masih dipersoal setiap kali mengeluarkan kritikan terhadap Abdullah.

"Tiap kali saya mengkritik Abdullah sebagai Perdana Menteri ada sahaja orang yang secara sinis berkata, "Awak yang lantik dia"," kata Dr Mahathir dalam ulasan terkininya berhubung pergeseran antara beliau dan Abdullah.

"Ya, saya mengaku salah. Saya mengaku yang saya lantik Abdullah sebagai pengganti saya. Tetapi ahli Umno juga pilih Abdullah," ujarnya sinis.

Abdullah pernah sebelahi Ku Li lawan Mahathir

Menurut Dr Mahathir, Abdullah memihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan Musa Hitam dalam usaha untuk menjatuhkan beliau pada tahun 1986-1987.

"Apabila Team B kalah dan Umno diharamkan, Abdullah tidak menyertai Semangat 46 tajaan Ku Li. Sebaliknya dia pilih untuk menjadi ahli Umno baru yang saya pimpin.

"Saya tidak berhak menolaknya sebagai ahli Umno Baru. Tetapi saya gugurkannya daripada Jemaah Menteri," katanya.

Dalam pemilihan Majlis Tertinggi yang menyusul Abdullah bertanding untuk ahli Majlis Tertinggi, dan ketika itu katanya Mesyuarat Agung Umno memilih Abdullah sebagai ahli Majlis Tertinggi.

"Saya masih tidak terima dia balik jadi Menteri. Di Mesyuarat Agung selepas itu dia bertanding untuk jawatan Naib Presiden. Dia menang dengan undi kedua terbesar jumlahnya berbanding Dato' Seri Najib Tun Razak.

"Saya berpendapat Umno hendakkan kepimpinan Abdullah. Walau apa pun perasaan saya terhadap orang yang bersubahat untuk jatuhkan saya, saya tidak berhak untuk menolak kehendak Umno," katanya.

Justeru itu ujar Mahathir, beliau kembalikan Abdullah sebagai Menteri dalam Kabinet.

Dari 'Mr Clean' kepada pemimpin yang lemah

"Puji-pujian didengar merata-rata yang Abdullah adalah "Bersih", "Mr Clean". Oleh itu apabila saya terpaksa gugurkan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya pilih Abdullah untuk mengisi jawatan itu walaupun Najib adalah Naib Presiden yang mendapat undi tertinggi," katanya.

Kenapa tidak dipilih Najib?

Menurut Mahathir, beliau tidak memilih Najib kerana TPM itu lebih muda dan beliau berharap selepas satu atau dua penggal sebagai Perdana Menteri, Abdullah akan serahkan jawatan itu kepada Najib.

Kerana itu katanya beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan Abdullah pilih Najib sebagai timbalannya.

"Pemilihan Naib Presiden bukan yang pertama sebagai timbalan pernah berlaku. Saya Naib Presiden yang ke-tiga tetapi Tun Hussein Onn pilih saya jadi Timbalan Perdana Menteri.

"Seperti juga dengan diri saya, Mesyuarat Agung Umno mengesahkan pemilihan Abdullah sebagai Timbalan Presiden parti dalam pemilihan yang berikut," katanya.

Selepas itu beliau anggap penyerahan kuasa kepada Abdullah bukanlah sesuatu yang tidak dikehendaki oleh Umno dan ketika itu tiada sesiapa yang membantah.

"Saya jelaskan latarbelakang pemilihan Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya. Saya rela dihukum jika saya salah.

"Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah.

"Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini pendapat saya ialah Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir," tegasnya.

Kerosakan yang dibuat Abdullah terhadap Umno teruk

Malah kata Mahathir, kenyataan Abdullah bahawa beliau kan serahkan jawatan dalam parti dan kerajaan pada bulan Jun 2010 disambut baik bahkan dengan gembira oleh hadirin serta orang ramai, Melayu dan bukan Melayu.

"Tiada siapa yang merayu supaya dia teruskan pimpinannya. Dari ini agak jelas yang semua pihak hendak Abdullah letak jawatan.

"Tetapi meletak jawatan dua tahun dari sekarang bermakna penggantinya hanya mempunyai dua setengah tahun untuk pulihkan parti untuk hadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

"Masa ini terlalu singkat kerana kerosakan yang dibuat oleh Abdullah kepada Umno, Barisan Nasional dan parti-parti komponennya amat teruk. Masa yang lebih panjang diperlukan," katanya.

Jika Abdullah benar-benar sayang kepada Umno, Mahathir menyeru supaya Abdullah rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan Umno.

Alasannya bahawa Abdullah ingin mengawasi pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9 tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadiran Presiden Umno itu menyebabkan Umno dan Barisan Nasional jadi lemah, kata Mahathir lagi.

Beliau seterusnya mengakui kesilapan kerana memilih Abdullah sebagai penggantinya pada tahun 2003 lalu

'Mr Clean' tidak begitu 'clean'

"Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak begitu clean. Saya percaya ahli dan pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama," katanya.

Hari ini yang berkuasa menggantikan Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno, katanya.

Ahli Umno akan bertanggungjawab terhadap kehancuran dan malapetaka yang akan menimpa orang Melayu dan negara Malaysia, katanya.

Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa Umno dan BN di bawah kepimpinanAbdullah, Umno masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri," ujarnya

Dari : HarakahDaily

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.