Subscribe

Muqabalah atau Muzakarah : Sama tapi tak serupa

Isu muzakarah yang ditimbulkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini benar-benar menyentap semangat dikalangan ahli pendokong setia parti PAS terutamanya mereka yang telah lama dalam arus siasah tanah air.
Ada logiknya juga jika terdapat segelintir dikalangan ahli PAS yang mempertikai soal Muzakarah tersebut kerana keikhlasan UMNO yang tidak sepenuhnya itu pasti akan merugikan PAS sendiri. Seperti yang dinyatakan oleh Tn Guru Nik Aziz bahawa PAS tidak perlu mengadakan muzakarah dengan UMNO kerana umum mengetahui bahawa UMNO sejak dahulu lagi tidak pernah serius dalam mengadakan muzakarah tersebut. Malah motif dan muslihat licik UMNO adalah untuk memastikan survival parti mereka akan terus relevan.


Namun selepas pilihanraya yang lalu, UMNO dilihat begitu terdesak untuk menghulurkan tangan kepada PAS kononnya ingin duduk semeja atas dasar semangat bangsa melayu dan Islam. Ini adalah muslihat sulit UMNO untuk memastikan PAS akan diharu birukan supaya masyarakat bukan Islam yang kini mula meyakini kepada perjungan PAS akan pasti tergugat kepercayaan mereka terhadap PAS akibat kesangsian yang timbul berhubung perjumpaan PAS bersama UMNO.

Dalam hal ini, walaupun istilahnya telah ditukar kepada Muqabalah daripada Muzakarah, namun harus diingat bahawa UMNO hanya ingin menjadikan isu ini sebagai agenda politik murahan mereka dengan mewujudkan pelbagai isu rentetan selepas perjumpaan tersebut
.


Dari sudut PAS dalam Pakatan Rakyat, sudah tentu ini akan menimbul rasa curiga dikalangan komponen parti yang wujud dalam pakatan tersebut. Manakala dari sudut kelab penyokong PAS pula, keraguan pasti akan timbul kerana PAS yang sebelum ini lantang menolak UMNO tiba-tiba menyambut ajakan UMNO untuk bertemu.

Bukankah PAS perlu terus memperkasakan hubungan yang lebih mantap dikalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat dahulu daripada melayan pelawaan UMNO yang kini semakin terhakis sokongan rakyat kepada mereka.

Harus diingat bahawa setiap langkah dan gerak geri PAS dalam meneruskan muzakarah ataupun muqabalah ini, pasti akan dimanipulasi sehabis-habisnya oleh pihak UMNO yang kini ingin memastikan Pakatan Rakyat gagal meneruskan misi menjelang september ini. Apapun tindakan PAS untuk bersemuka dengan UMNO, jelas menguntungkan UMNO kerana umum akan melihat bahawa UMNO sahajalah parti utama untuk bangsa melayu dan Islam kerana PAS dilihat seolah-olah tidak yakin dengan keupayaan sendiri dalam mendepani isu-isu yang melibatkan bangsa Melayu dan Islam.

Justeru itu, sewajarnya PAS perlu menolak pelawaan UMNO buat masa ini dengan mengambil iktibar apa yang pernah berlaku sebelum ini setelah UMNO mendapat modal yang besar dalam menghalang kemaraan PAS untuk pergi lebih jauh. Percayalah bahawa UMNO hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengucar kacirkan PAS serta PKR agar persepsi rakyat terhadap Pakatan Rakyat akan tercemar sekaligus menggoyahkan ikatan antara PKR, PAS dan DAP.

PAS mesti meningkatkan dahulu hubungan yang lebih akrab dan mantap bersama barisan Pakatan Rakyat agar BN/ UMNO akur bahawa PAS juga adalah sebuah parti yang tegas dan berprinsip.

Bak kata pepatah, "yang dikejar tak dapat,yang dikendong berciciran".
by Khalifah

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.