Subscribe

Peguam: Akuan berkanun dibuat secara sukarelaPeguam: Akuan berkanun dibuat secara sukarela

Jimadie Shah Othman | Jul 4, 08 5:44pm

Peguam Americk Singh Sidhu menafikan bahawa penyiasat persendirian, P Balasubramaniam membuat akuan berkanun secara paksa.

Bercakap kepada pemberita di ibupejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya, Americk berkata, akuan berkanun Balasubramaniam yang difailkan pada 1 Julai lalu, dibuat secara sukarela.

Awal hari ini, Balasubramaniam telah menarik balik akuan berkanun yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Altantuya Shaariibuu.

Balasubramaniam berkata beliau membuat kenyataan tersebut secara paksa. Beliau bagaimanapun, tidak mendedahkan siapakah yang memaksanya menandatangani akuan bersumpah tersebut.

Ekoran itu, Balasubramaniam hari ini membuat akuan berkanun yang baru tanpa sebarang rujukan mengenai Najib.

Sebelum ini, Americk memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak tahu mengenai tindakan Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpah tersebut pagi tadi.

Katanya, kali terakhir beliau bertemu dengan pelanggannya itu ialah pada jam 4.45 petang semalam.

Balasumbramaniam diwakili penguam baru pagi ini.

Manakala ketika bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya petang ini, Americk berkata beliau bertemu dengan Balasumbramaniam dua bulan lalu.

Sedia akuan berkanun

Katanya, dua minggu selepas itu, mereka mula menyediakan kandungan akuan berkanun tersebut.

Ditanya mengapa mereka mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan, Americk berkata, ianya kerana mereka berdua sibuk.

Selain itu, katanya, mereka tidak berjumpa setiap hari untuk menyiapkan akuan tersebut.

Katanya, selepas selesai sidang akhbar bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, dan Bala dan beliau pulang ke pejabatnya.

Di situ, katanya, Bala menerima panggilan tetapi tidak menjawabnya.

Americk berkata, beliau bertanya siapa yang memanggil dan Bala menjawab panggilan itu dari ASP Tony Lungan.

Beliau bertanya kepada Bala mengapa dia tidak menjawab panggilan tersebut.

Katanya, beliau kemudiannya meminta Bala supaya menelefon balik ASP Tony.

Americk berkata, beliau mendengar mereka berbual dalam telefon tetapi beliau tidak pasti butirannya.

Katanya, yang jelas didengarnya ialah Bala menyebutkan tentang 'ikan', 'kari', 'di Brickfields'.

Americk berkata, berdasarkan kepada perbualan mereka, beliau percaya Bala dan Tony mungkin berjumpa selepas itu, mungkin di Brickfields.

Beliau juga ditanya mengapa beliau tidak menasihati Bala yang semalam menyatakan beliau risau dengan keselamatan dirinya selepas membuat pendedahan tersebut.

Americk menjawab, beliau tidak rasa akan timbul sebarang masalah selepas mendengar Bala dan Tony mesra dan ceria berbual di telefon.

Sebaliknya, kata Americk, beliau beranggap seolah-olah Tony mahu mengucapkan tahniah kepada Bala kerana membuat pendedahan tersebut.

‘Tandatangan secara sukarela'

Mencerita semula pertemuan pertamanya dengan Bala, peguam itu berkata, mereka bertemu di sebuah restoran kira-kira dua bulan lalu yang turut disertai oleh beberapa orang lain.

Dalam pertemuan tersebut, katanya, Bala memintanya membantu menyediakan satu kertas formal yang mengandungi beberapa bukti yang tidak dikemukakan dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya.

"Saya memulakan proses tersebut kira-kira dua minggu selepas itu. Saya bertemu dengannya beberapa kali di mana saya menulis apa yang Bala beritahu saya.

"Saya tidak ada sebab untuk meragui apabila Bala beritahu saya kecuali yang benar belaka dan peranan saya ialah mendengar apa yang hendak diceritakannya, merakamnya, dan menuliskannya ke dalam akuan berkanun dalam format yang komprehensif dan sistematik," katanya.

Menurut Americk, akuan berkanunnya telah diperakukan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah Dr T Yokheswarem di mana beliau (Americk) dan Bala turut hadir.

"Kandungan akuan berkanun itu dibaca di hadapan pesuruhjaya sumpah tersebut yang bertanya kepada Bala sama ada beliau faham kandungannya dan sama ada ia adalah akuannya.

"Selepas Bala mengesahkannya, maka dia diminta menurunkan tandatangan di tiga salinan (akuan berkanun itu) dan pesuruhjaya tersebut memperakuikan setiap salinan," kata Americk lagi.

Katanya, Bala juga diminta menunjukkan kad pengenalannya kepada pesuruhjaya sumpah itu dan kemudiannya menandatangani buku rekod pesuruhjaya tersebut.

Oleh itu, katanya, beliau amat terperanjat apabila Bala, dalam tempoh 24 jam, telah menggunakan perkhidmatan peguam lain dan memperakukan akuan berkanun yang lain bahawa (akuan berkanun) pertama tidak benar dan dia dipaksa menandatanganinya.

Katanya, selepas berjam-jam merakam kenyataan Bala, beliau amat ragu yang beliau menandatangani akuan berkanun kedua itu secara sukarela.

Americk berkata, beliau yakin tiada sebab lagi bagi Bala berbuat demikian kecuali beliau (Bala) telah dipaksa berbuat demikian sama ada kerana ada ancaman atau ada janji-janji.

Malah, katanya, pesuruhjaya sumpah yang memperakui akuan berkanun pertama, bersedia untuk mengesahkan apa nyatakannya di atas bahawa Bala menandatanganinya secara sukarela.

Di samping itu, katanya, Bala juga mengenali pesuruhjaya sumpah itu kerana mereka berdua membesar di kawasan yang sama di Slim River.

Menjawab soalan pemberita, Americk berkata, beliau hanya mengetahui yang Bala telah menarik balik akuan berkanunnya dan membuat yang baru, setelah mendapat telefon dari pihak media bertanya mengenai perkara itu.

Selepas itu, katanya, beliau cuba menghubungi Bala tetapi telefonnya ditutup.

Ditanya mengapa perlunya membuat pendedahan tersebut (akuan berkanun pertama) di ibupejabat PKR, Americk berkata: "Ke mana lagi...takkan nak buat di pejabat Umno!"

Ketika itu, peguam R Sivarasa mencelah dengan berkata, ia kerana pertemuan pertama Americk dengan Bala, turut dihadiri beliau (Siva) dua bulan lalu.

Sumber : MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.