Subscribe

Saiful muncul - Beri keterangan di IPD Brickfields berhubung dakwaan diliwat Anwar

KUALA LUMPUR 2 Julai – Selepas lima hari membuat laporan polis, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

Mohd. Saiful yang tinggi lampai dilihat memasuki IPD Brickfields pada pukul 8.10 malam. Dia memakai baju kemeja lengan panjang berwarna putih, berseluar gelap dan menjinjing sebuah beg kecil berwarna hitam.

Dia diiringi masuk ke IPD itu oleh seorang anggota polis berpakaian preman. Mohd. Saiful, 23, tersenyum memandang sekumpulan pemberita dan jurugambar yang berada di pekarangan balai dan sempat melambai-lambaikan tangannya.

Difahamkan, dia telah pun berada di situ lebih awal sejak pukul 1 petang. Sehingga pukul 12 malam ini, dia masih lagi memberi keterangan.

Sementara itu, Utusan Malaysia yang mewawancara bapa saudara Mohd. Saiful yang hanya mahu dikenali sebagai Uncle MK selama lima jam diberitahu, laporan polis mengenai dakwaan liwat membabitkan Anwar yang dibuat oleh anak saudaranya pada 28 Jun lalu bukan satu konspirasi untuk menjatuhkan kerjaya politik sesiapa.

Beliau memberitahu, laporan itu dibuat oleh Mohd. Saiful secara sukarela dan tanpa paksaan.

“Ia tidak didalangi oleh sesiapa mahupun pihak-pihak tertentu yang berkepentingan politik,” kata Uncle MK.

Beliau sendiri bertanya kepada Mohd. Saiful berhubung kandungan laporan yang dibuat di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur itu bagi mendapatkan kepastian.

“Saya diberitahu oleh Saiful tentang insiden itu dan dia memaklumkan tiada sesiapa atau mana-mana pihak yang menyuruhnya melaporkan kejadian itu kepada polis,’’ katanya yang berasal dari Johor.

Dalam temu bual panjang lebar itu, Uncle MK, 41, menjelaskan, beliau ialah salah seorang bapa saudara daripada sebelah arwah ibu Mohd. Saiful yang mempunyai 15 orang adik-beradik.

Menurut beliau, Mohd. Saiful yang dikenalinya sejak kecil mempunyai perwatakan jujur dan bertanggungjawab. Tegasnya: “Saya mempercayai anak saudara saya itu.”

Mohd. Saiful yang merupakan bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) membuat laporan polis pada 28 Jun lalu mendakwa dia diliwat beberapa kali oleh Anwar, kali terakhir pada 26 Jun lalu di sebuah kondominium di Damansara di sini.

Pada 28 Jun, Mohd. Saiful juga telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Laporan pemeriksaan kesihatannya telah siap dan sudah pun dihantar kepada pihak polis untuk prosedur seterusnya.

Uncle MK enggan mendedahkan lokasi Mohd. Saiful berada sekarang, tetapi hari ini anak saudaranya itu dilihat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Brickfields di sini.

Dalam temu bual itu, terdapat banyak kisah diceritakan oleh bapa saudara Mohd. Saiful mengenai kehidupan pemuda itu yang sejak awal tahun ini bekerja sebagai pembantu Anwar di ibu pejabat PKR.

Utusan Malaysia memilih untuk tidak melaporkan sebahagian besar daripada cerita Uncle MK.

Mohd. Saiful ialah anak sulung daripada dua beradik yang dibesarkan oleh ibunya setelah kedua-dua ibu bapanya bercerai. Adik perempuannya berusia belasan tahun.

“Ibunya meninggal dunia empat tahun lalu akibat penyakit barah payu dara,’’ ujarnya yang merupakan adik arwah ibu Mohd. Saiful.

Beliau berkata, sebagai adik lelaki kepada arwah ibu Mohd. Saiful, beliau diamanahkan untuk menjaga pemuda itu dan adik perempuannya dengan baik.

Seluruh ahli keluarganya, kata Uncle MK, mempercayai pengakuan Mohd. Saiful dibuat secara sukarela dan bukan sengaja direka.

“Bapa dan ibu saudara Saiful yang kini tinggal 13 beradik yang masih hidup menyokongnya. Walau dalam apa keadaan sekalipun, kami akan tetap bersama Saiful,’’ kata beliau yang bekerja sebagai pegawai pemasaran sebuah syarikat swasta.

Menurutnya, Mohd. Saiful memaklumkan kepadanya bahawa dia mula bekerja dengan PKR sebagai sukarelawan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12.

Pada mula anak saudaranya itu menjalankan tugas sukarelawan tetapi keadaan berubah setelah dia dilantik sebagai pembantu Anwar.

Uncle MK menafikan dakwaan yang disebarkan oleh penyokong PKR bahawa tindakan Mohd. Saiful membuat laporan polis itu didorong habuan wang ringgit pihak tertentu.

“Tuduhan itu tidak benar... pada usia 23 tahun saya tidak fikir Saiful terlibat dalam konspirasi politik,” ujarnya.



Sumber ://http.utusan.com.my

1 comment:

Anonymous said...

Sehubung dgn laporan meliwat adakah pihak polis mendapat condom-condom yang diguna semasa perbuatan tersebut. Laporan dlm media hanya siarkan berita tentang tilam dari kondo. Macam mana nak dapat DNA sekiranya yg terlibat dalam kes menggunakan condom?

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.