Subscribe

AHALAN WASAHLAN YA RAMADHAN

Datang Ramadhan
Bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Allah Rabbuljalil
untuk kita hirup udara Ramadhan yang penuh keberkatan.

Bersyukur kerana dikurnia-Nya usia
agar kita tambah pahala berganda, mohon hapuskan petaka dosa2.

Bersyukur kerana dianugerah-Nya Malam Qadar
yang melebihi nilai kebaikan amalan seribu bulan / 83 tahun.

Datang Ramadhan
Awalnya / 10 hari pertama adalah kasihan belas Allah
Pertengahannya /10 hari berikutnya adalah keampunan

Akhirnya / 10 hari berikutnya hingga berakhir bulan ini adalah perlepasan dari azab nereka.
Subhanallah!


" Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir tentu siangnya kita sibuk melagukan zikir rindu kepada-Nya. Bersolat dengan penuh khusyu' dan tawadhu' menghambakan diri pada-Nya menangisi kecurangan janji, takkan siakan walau sesaat kecuali mendendangkan al-Quran & memenuhi malam dengan bertahajjud memohon kasih dan belas-Nya & mempersiapkan diri menanti Izrail menjemput... Namun kita tak pernah mengetahui...salam kemaafan dan awal Ramadhan".
(SMS from anakanda Azizah bt Aling - Putrajaya. 10:19 pm, 31/08/2008).

DATANG RAMADHAN 1429H SEMOGA KITA SEMUA BEROLEH RAHMAT ALLAH, KEAMPUNAN-NYA DAN MELEPASKAN KITA DARI AZAB NERAKA.

selamat berpuasa dan memerdekakan diri dari nafsu mazmumah zahir dan batin

by Ayahandaku Abdulhadi Muhamad
http://abdulhadimuhamad.blogspot.com/




2 comments:

Jashamsulnizam said...

Salam saudara Farhan Syah...

PERUBAHAN KERAJAAN : POSITIF ATAU NEGATIF ?

1. Alam pasti berubah

Setiap sesuatu di alam raya ini pasti akan berlaku perubahan samada kecil atau besar, sedikit atau banyak, evolusi atau revolusi. Itulah tabiat alam, sunnatullah. Apabila sesuatu itu berubah-ubah maka sudah tentu ianya adalah benda baru. Benda baru bukan sediakala dan sudah tentu bersifat lemah. Ini dalam bab mencari hakikat ketuhanan ketika mensabitkan kesempurnaan Allah dan kekurangan makhluk. Tetapi dalam menilai perubahan di kalangan makhluk, kelemahan dan kekurangan sudah pasti wujud. Manakala kekuatan dan kesempurnaan juga wujud mengikut kedudukan makhluk yang sudah pasti tidak boleh dibandingkan dengan Khalik, iaitu Allah. Namun, setiap makhluk yang pasti terikat dengan undang-undang perubahan sudah tentu mengalami kelemahan dan kekurangan dan dalam masa yang sama ada kekuatan dan ‘kesempurnaan’ yang sesuai dengan dirinya sebagai makhluk, bukan kesempurnaan yang dinisbahkan kepada Allah.

2. Sejarah perubahan kerajaan di dunia ini

Dalam sejarah dunia, tiada sebuah kerajaan yang kekal sehingga kini. Maksud kekal di sini ialah kekal dengan dasar dan sistem yang sama semenjak bermula kerajaan itu tegak di atas singgah sana pemerintahan sehingga ke hari ini, masih kekal dengan peraturan, undang-undang dan sistem yang sama. Tidak ada kerajaan yang sedemikian. Meskipun ada dinesti yang memerintah berkurun-kurun seperti penjajah barat menguasai tanah Melayu (1511-1957), namun kerajaan yang memerintah tetap tidak sama dan berlainan cara, biar pun agama ada kesamaan di kalangan penjajah. Perkara ini adalah mudah difahami dan logik sekali pun pada akal yang paling lemah.

3. Kerajaan Malaysia sentiasa berubah-ubah ; Dasar dan landskap.

Kerajaan Malaysia di bawah dominasi UMNO dan BN telah melakukan pelbagai perubahan dasar walaupun tidak pernah menukar perlembagaan yang sedia ada semenjak kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957. Perubahan dasar pembelajaran Matematik dan Sains menggunakan bahasa Inggeris yang diketengahkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2002 dulu menggemparkan masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu. Perubahan akta dan pelbagai peraturan, perubahan landskap bumi dan jalan-jalan perhubungan, perubahan kementerian dan bermacam aktiviti, perubahan agama sehingga Islam ditambah ‘hadhari’, perubahan peralatan moden dan sekarang ada mereka yang mahukan perubahan dengan mewujudkan akta baru iaitu akta DNA. Jelasnya, perubahan tetap berlaku samada dulu, kini dan akan datang. Semasa perubahan terjadi, ada yang gembira dan ada yang sedih, ada yang positif dan ada yang negatif, ada yang mendokong dan ada yang menentang, ada yang sakit dan ada yang segar, ada yang turun dan ada yang naik, ada yang pening dan ada yang ligat, ada yang bermasam mencuka dan ada yang tersenyum sampai ke telinga, dan ada yang bersedia untuk lari dan ada yang bersedia untuk mengejar . Begitulah lumrah perubahan.

4. Kerajaan berubah ; positifkah atau negatif ?

Apabila berlaku perubahan kepada sesebuah kerajaan daripada sebuah kerajaan sedia ada kepada sebuah kerajaan yang baru, suasana perubahan dan arus pergerakan hidup rakyat dan kerajaan pasti berlaku secara mendadak atau beransur-ansur. Masalah yang lahir daripada perubahan kerajaan itu ada yang memotivasikan manusia dan ada yang mematikan keinginan manusia. Kalau kita bimbang berlaku kesulitan dalam perubahan sesebuah kerajaan, maka semasa tiada perubahan kerajaan pun kita masih menanggung kesulitan seperti mana perubahan harga minyak pada bulan Mei 2008 lepas. Walau pun sebelum 26/08/08 telah berlaku penurunan harga minyak sebanyak 0.15 sen, namun rakyat Malaysia masih merasai kesulitan kerana harga barangan keperluan asas masih belum turun. Kalau pun turun, berapa sen sangatlah berbanding harga yang naik dulu. Adakah dengan tiada perubahan kerajaan maka kita tiada kesulitan ? Dan adakah dengan berlaku perubahan kerajaan maka kita akan berdepan dengan pelbagai kesulitan ? Bukankah kita boleh mengandaikan kemungkinan yang positif, iaitu kalau kerajaan baru mengambil alih kuasa memerintah negara Malaysia daripada kerajaan yang lama, perubahan secara revolusi atau evolusi akan berlaku dengan meminimakan kesulitan dan memaksimakan kesenangan dalam lapangan hidup rakyat awam ? Kenapa tidak berfikir positif ?

Atau, boleh jadi pihak yang bimbangkan ‘kesulitan hidup’ dan kekurangan ruang meruntun nafsu serakah ialah pemerintah yang lama tenggelam dalam timbunan harta, hanyut dalam dakapan wanita, dan rakus terhadap kuasa takhta, maka mereka tidak suka berlaku perubahan kerajaan walau sesaat. Apatah lagi kalau-kalau mereka pula yang terpaksa merengkok dalam penjara !

5. Perubahan yang kita kehendaki

Jika ada perubahan kerajaan tentu akan ada perubahan dalam cara memerintah dan penyusunan baru sebuah kerajaan. Apa yang perlu dibimbangi oleh masyarakat Malaysia ? Apa yang perlu dibimbangi kalau perubahan itu berlaku daripada susah kepada senang, daripada miskin kepada kaya, daripada zalim kepada adil, daripada khianat kepada amanah, daripada ‘mengambil’ kepada ‘memberi’, daripada meng’ISA’ kepada membicarakan di mahkamah, daripada ‘sumpah laknat’ kepada mengemuka ‘bukti sarat’ ? Apa yang perlu dibimbangi ? Perubahan yang kita kehendaki ialah : perubahan yang boleh mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Tuhan Yang Maha Esa, mengeluarkan manusia daripada kegelapan pelbagai kepercayaan yang karut kepada sinaran cahaya suatu pegangan hidup yang jelas, dan mampu mengeluarkan manusia daripada kesempitan hidup dunia kepada keluasan hidup di dunia dan akhirat. Dalam pentadbiran sebuah kerajaan baru, kita mahukan perubahan yang benar-benar mampu menjaga kepentingan awam semua bangsa, semua pihak dan agama. Prinsipnya ialah bersikap adil secara terbuka kepada semua warga Malaysia yang berhak mengikut undang-undang yang paling sempurna.

6. DSAI menjadi PM : Huru-harakah Malaysia ?

Buat masa kini, Datuk Seri Anuar Ibrahim merupakan tokoh yang paling kedepan dalam mengepalai kerajaan baru yang akan mengambil alih kuasa kerajaan lama. Maka batang tubuh beliaulah yang dihentam-keromokan oleh pihak tertentu. Tanggapan negatif bahawa negara akan huru-hara lantaran beliau memerintah nanti adalah gambaran pemikiran yang singkat di kalangan orang yang berfikiran sebegitu. Huru-hara bukan kerana DSAI atau siapa saja yang memerintah. Huru-hara berlaku justeru kepincangan yang lahir daripada sistem yang digunapakai, atau kezaliman yang disebarluaskan, atau justeru hak yang dicerobohi dan kewajipan yang dilupai.

7. Menyanggah pendapat Ali Rustam dan mereka yang sefikiran dengannya

Utusan Malaysia hari ini (Jumaat, 29 Ogos 2008, ms 3) melaporkan di bawah tajuk : ‘Negara Huru-hara Jika Anuar Jadi Perdana Menteri’ bahawa Datuk Seri Mohd Ali Rustam (DSMAR), Naib Presiden UMNO merangkap Ketua Menteri Melaka telah berkata : “Saya tidak nampak beliau (DSAI) mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang boleh membawa keamanan dan keharmonian kepada negara. Sebaliknya beliau jenis orang yang boleh merusakkan negara.” Ini adalah provokasi murahan daripada orang yang kesakitan. Kalaulah DSMAR seorang yang bersih, adil, jujur, benar dan tidak melakukan ‘dosa-dosa besar’, apalah yang hendak dibimbanginya jika berlaku perubahan kerajaan Malaysia nanti. Beliau tetap akan diperkenankan untuk memerintah kerajaan negeri Melaka. Lainlah kalau PM sekarang yang bimbang. Sebab kuasa PM akan beralih dan berubah tangan. Takkanlah DSAI akan melempar DSMAR jauh ke laut Hindi jika DSMAR memang seorang yang berkualiti dalam pentadbiran negeri. Atau DSMAR memang ketakutan lantaran penyakit ‘barah’ yang semakin hampir tersembur keluar.

Pendapat DSMAR di atas terlalu pesimis terhadap kemampuan orang lain, walhal orang itu telah berpuluh tahun hidup se‘kapal’ dengan DSMAR sendiri di tahun 80’an dan 90’an dulu. Takkan tak kenal. Atau memang kenal, tetapi DSAI tidak selari dengan bekas PM ke 4 yang sedang ‘panas pedih’ di waktu ini, yang sekaligus tidak sekata dengan DSMAR ?

Kalaulah kelayakan menjadi PM diukur dengan kes ‘tahan dan kepung’ bas di Permatang Pauh, maka PM sekarang dan yang lepas pun tak layak menjadi PM kerana bukan sekadar ‘tahan dan kepung’ bas, bahkan tahan dan kepung DSAI daripada hadir ke parlimen untuk serah memo undi tidak percaya kepada PM, dan sebelumnya memenjara dan melebamkan mata DSAI. Bukan itu kayu ukur untuk menjadi pemimpin dan PM. Penulis bukanlah pengkagum fanatik DSAI, bahkan bukan penyokong yang ke hulu ke hilir mengekori DSAI. Namun hak seseorang yang telah dikenali dengan sikap yang positif perlu dipertahankan. Penulis tetap menjadi pengkagum para ulama’, tetapi dalam kes negara kita Malaysia dewasa ini, penulis tetap mendahulukan tokoh-tokoh yang perlu didahulukan dalam merubah kerajaan lama kepada sebuah kerajaan baru yang lebih adil dan telus.

8. Persiapan menuju perubahan besar

Persiapan menuju perubahan yang besar nanti, sememangnya cukup banyak. Pertama, pegangan dan prinsip perjuangan. Kedua, kesabaran dan nafas panjang. Ketiga, menjaga keharmonian kerjasama dalam mengalahkan kezaliman dan memenangkan keadilan. Keempat, jatidiri beramanah dalam melaksanakan tanggungjawab pemerintahan. Kelima, memikirkan hak bersama sebagai manusia, warganegara dan ahli parti yang berpakat. Keenam, sentiasa berbincang dan bertukar pendapat secara toleransi dan dalam lingkungan adab susila. Ketujuh, bersatu dalam hal yang disepakati dan bertolak-ansur dalam hal yang berbeza. Kelapan, mengingat kembali bahawa setiap apa yang dilakukan manusia akan ada perhitungan akhir yang tidak dijangkaui akal manusia, iaitu pembalasan dari Yang Maha Kuasa.

9. Melangkah ke pusat menjaga Amanah Tuhan

Melangkah ke Putra Jaya merupakan hayunan langkah dalam memikul dan menjaga Amanah Tuhan Yang Maha Tahu, Maha Kuasa dan Maha Bertindak Balas. Ia adalah langkah-langkah yang cukup berat tetapi mesti diteruskan. Ia juga menuju ke pusat Harapan Rakyat !

10. Impian yang diharapkan menjadi kenyataan

DSAI merupakan tokoh yang diharapkan sempat berada di persada Mahligai Putra Jaya bersama prinsip perjuangan menyebarkan keadilan dan keharmonian hidup. Perlu diingati bahawa :

[Telah berkata Imam Ibnu Taimiyyah r.a. : “Dan urusan manusia di dunia sesungguhnya lurus bersama keadilan, yang mungkin berkongsi dalam sebahagian bentuk dosa, adalah lebih banyak daripada lurus bersama kezaliman pada hak-hak orang ramai, walaupun tidak bersekutu dalam suatu dosa. Kerana inilah dikatakan : Sesungguhnya Allah Ta’ala menegakkan kerajaan yang adil sekalipun kerajaan itu kafir, dan Allah Ta’ala tidak menegakkan kerajaan yang zalim sekalipun kerajaan itu Islam. Dan dikatakan : Dunia berkekalan bersama keadilan dan kekufuran, dan dunia tidak kekal bersama kezaliman dan keIslaman. Demikian itu justeru keadilan merupakan sistem segala sesuatu. Maka apabila urusan dunia dibangunkan dengan keadilan, tegaklah dunia meskipun tiada apa-apa bahagian di akhirat nanti bagi tuan punya urusan dunia itu. Dan sekiranya tidak dibangunkan dengan keadilan, tidak tegaklah urusan dunia itu meskipun ada ganjaran keimanan di akhirat bagi tuan punya urusan dunia itu.]
-Sunan Ilahiyyah Fil Umam Wal Jamaa’aat Wal Afraad fis Syarii’ah Al Islamiyyah – Oleh Dr Abdul Karim Zaidan, Muassasah Ar Risaalah, cetakan ketiga/1994, ms 122-123.

Akhir kalam :

“Kelazatan bukan berada pada berehat dan masa kosong, tetapi kelazatan itu berada dalam kepenatan, usaha gigih dan kesulitan ketika berubah pada hari-hari tertentu kepada kerehatan dan masa lapang. Tidak sempurna faedah berpindah dari satu negeri ke negeri lain melainkan apabila jiwa berpindah daripada suatu perasaan ke suatu perasaan. Apabila kerisauan musafir bersamamu, maka anda masih bermukim belum beredar !”
(Wahyul Qalam, Mustafa Sodiq Al-Raafi’iy, jld 1, ms 48.)

tamupulaumelaka said...

syabas sdr jashamsulnizam.
anda telah memberi'sesuatu' yang besar dan analitik.

itulah masalahnya. rata2 org Umno apatah lagi mantan PM TDM menganggap orang lain serba tak boleh. mereka saja yg bijak dan serba boleh, malaysia boleh. tak kira halal haram.logik tak logik.

pandangan DSMAR lagi berat dan kacau n tak ada class. selalu yg buat huru hara kacau bilau haru biru adalah org2 BIRU.letkkalah nama apapun, kepentingan diri ke, tamak kuasa ke, konspirasi ke, provokasi ke, org lain jangan kasi ke... itu lah sinonimnya dengan feel org2 Umno/Be End termasuk DSMAR tu..

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.