Subscribe

BIARKAN FATAMORGANA BERLALU

"aSama ada keputusan yang diambil oleh MT UMNO itu tepat atau tidak, semua ahli UMNO terpaksa menerimanya. Namun demikian, hakikatnya setiap keputusan buatan manusia pasti ada baik buruknya. Hanya Allah Yang Maha Sempurna.

Oleh sebab itu, kita dapat membaca dan mendengar pelbagai pendapat yang diluahkan oleh para pemimpin UMNO yang terlalu gemar diwawancara itu bersangkutan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang di dalamnya wujud pemilihan jawatan dalam parti.

Yang pasti, tarikh PAU telah diubah ke bulan Mac 2009. Mesyuarat bahagian tetap bermula pada 9 Oktober 2008. Maka panjanglah masa untuk berkempen. Kepanjangan tempoh berkempen juga ada baik buruknya. Calon dapat berjumpa ramai ahli dalam tempoh tersebut. Waktu memberi penjelasan tentang visi dan misi yang panjang membolehkan perwakilan yang akan mengundi benar-benar faham tentang inti perjuangan seseorang calon.

Harus diingat bahawa tempoh yang panjang juga mengundang musibah. Modal yang besar perlu disediakan. Begitu juga dengan tukang kempen. Hanya yang berduit mampu melakukannya. Orang yang tidak berduit juga boleh melakukannya jika disponsor oleh taukeh-taukeh. Maka berleluasalah rasuah politik. Hal ini pasti tidak dapat dikawal kerana pelbagai taktik boleh digunakan untuk mengabui mata pemantau.

Oleh itu, ramailah perasuah muncul sebagai pemimpin UMNO. Yang pasti mereka akan melakukan rasuah yang lebih besar sepanjang berkuasa demi kepentingan diri dan membalas balik jasa taukeh-taukeh. Lantaran itulah merebaknya salah urus, salah guna kuasa, dan penyelewengan dana sehingga mencacatkan pelbagai projek yang direncanakan untuk kemudahan rakyat.

Ini tidak termasuk lagi perencanaan yang sedang dan akan dilakukan oleh Pak Lah dan Najib. Sukar untuk kita menerima Pak Lah tidak akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden. Bertambah sukar untuk kita menerima bahawa Najib tidak menggerakkan orang-orangnya untuk mendapat sebanyak mungkin pencalonan bagi jawatan yang sama. Pertempuran antara dua gergasi ini tidak syak lagi akan mengundang kemusnahan dahsyat dalam batang tubuh UMNO.

Masa yang panjang juga memberi kesempatan kepada calon untuk menyerang peribadi lawan mereka. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana jawatan dalam UMNO menjanjikan pulangan yang lumayan. Sesiapa juga yang berkesempatan akan menggunakan apa jua cara sama ada baik atau buruk demi mencapai matlamat yang dicita-citakan.

Akhirnya, terbentuklah dua golongan ahli dalam UMNO. Pertama, golongan yang berjaya. Golongan ini akan menikmati pelbagai habuan yang melimpah ruah. Kedua, golongan yang kecewa. Golongan ini tidak akan mendapat apa-apa selain daripada marah, dendam, dan hasad yang meluap-luap. Golongan inilah yang tanpa segan silu akan mensabotaj parti sendiri.

Situasi inilah yang menyeret perpecahan dalam parti. Dengan demikian sukarlah bagi sesiapa juga untuk menerima keputusan MT UMNO itu sebagai sesuatu yang bijaksana. Respons yang diberikan oleh kebanyakan pemimpin itu hanyalah berstatus propaganda murahan. Sejarah telah membuktikan bahawa UMNO berpecah setiap kali berakhirnya pemilihan jawatan.

Implikasi daripada tindakan yang kurang bijak itu ialah kelahiran pemimpin yang tidak berwibawa. Jika ada sekalipun pemimpin yang berkaliber, kehadiran mereka merupakan kes yang terpencil dan tidak memberi apa-apa makna kepada kestabilan dan kecemerlangan parti. Hasilnya ialah keberkesanan sistem pentadbiran dan pemerintahan negara akan terjejas. Pembangunan terencat, ekonomi terbantut, dan keadilan sosial tercemar.

Kesemua kecacatan yang dinyatakan itu tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat. Oleh sebab itu, kita jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Taiwan, Singapura, dan Korea Selatan. Padahal negara kita kaya dengan pelbagai hasil mahsul!!!

Rakyat Malaysia tidak beruntung kerana mempunyai pemimpin yang tidak berkualiti, tidak berkredibiliti, dan tidak berintegriti. Lantaran itulah matlamat sesuatu dasar tidak dapat dicapai. Banyak contoh dapat diambil untuk membuktikan rentetan yang tidak berkesudahan tentang hal ini sejak dulu hingga sekarang. DEB, Dasar Pandang ke Timur, Dasar Penswastaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan, dan sebagainya telah dicemari pelbagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Orang Melayu tetap juga menjadi majoriti dalam kategori miskin tegar. Pelajar Melayu tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Jumlah taukeh besar Melayu boleh dibilang dengan jari. Belia Melayulah yang ramai menganggur, menagih dadah, merempit, terlibat dengan gajala sosial, dan sebagainya walaupun mengaku diri mereka beragama Islam.

Pemimpin-pemimpin UMNO terus beretorik dengan pelbagai rancangan yang gah untuk kepentingan diri serta kroni-kroni, sedangkan rakyat terbanyak dibiarkan berfatamorgana dengan harapan palsu. Jika kita masih memikirkan tentang masa depan yang membahagiakan, sesuatu yang bersifat semerta perlu diambil.

Kita perlu berubah. Perubahan perlu menjadi keutamaan kita. Akal fikiran kita perlu difokuskan kepada pembinaan rangkaian ekonomi, politik, dan sosial. Dengan membuang hasad dengki kita bekerjasama menjulang penguasaan dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Kita bentuk penguasaan jitu dalam bidang politik demi kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

Kita bentuk satu bangsa Malaysia yang bersatu padu tanpa mengira agama, kaum, atau bangsa. Kita perkasakan Islam sebagai tonggak pemikiran bagi melaksanakan tuntutan rohani dan jasmani yang menjunjung tinggi prinsip sebenar keadilan.

by RuHaN







No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.