Subscribe

Kerajaan semakin tenggelam punca -Tengku Razaleigh Hamzah

Kenyataan ini saya tulis sebagai warga Malaysia yang sudah empat puluh tujuh tahun berkecimpung dalam bidang politik.

Kerjaya ini meluangkan saya kesempatan istimewa untuk memainkan peranan kecil dalam pembentukan negara kita serta mengasaskan pelbagai institusinya, dan juga kejayaan kita mencapai kecukupan yakni ekonomi tidak tertakluk kepada ihsan negara luar.

Saya tergerak untuk membuat kenyataan ini atas keprihatinan yang mendalam terhadap keadaan negara saya yang kini dilanda, antara lain oleh kemelut yang mengharu-birukan keadaan.

Dalam kehidupan seseorang individu dan dalam tempoh sesebuah negara berkuasanya, ia pasti menghadapi detik-detik penuh kemungkinan apabila pilihan yang wajar perlu dibuat, terutamanya tatkala berhadapan dengan persimpangan keupayaan yang secara serentak berpotensi untuk sama ada membawa keunggulan atau kemusnahan diri.

Sewaktu menapak ke alam kedewasaan dulu, kita menempuh banyak persimpangan dan perlu membuat beberapa pilihan.

Begitu jugalah, kini kita peka betapa masa mendatang kita juga dalam tangan kita sendiri sekarang.

Sama ada kita bakal maju dan hidup dalam kegemilangan atau mundur serta senantiasa menanggung duka lara, kini bergantung pada cara kita bertindak dalam tetingkap masa yang singkat ini.

Sekarang ini, kita dalam kebuntuan politik yang seumpama barah berbahaya yang cukup mampu untuk merebak lebih parah menjadi krisis Perlembagaan.

Memang krisis politik perkara lumrah namun bertitik tolak daripada krisis yang kita hadapi kini mungkin tercetus rentetan pelbagai kegagalan yang menjurus kepada ketidakstabilan jangka panjang dan membawa kemusnahan, sebagaimana barah boleh membawa maut.

1. Kebuntuan kita ini tiba dalam senario di mana kita menghadapi cubaan hebat dalam bentuk keadaan ekonomi, politik dan keselamatan yang kian hari semakin mencabar. Ekonomi dunia bakal dirundung kemelesetan yang mungkin sehebat Zaman Meleset tahun 1930an dalam Abad ke 20 dahulu. Sebagai negara perdagangan, tentunya kita akan terdedah sepenuhnya kepada impak kemerosotan ekonomi global itu. Dalam masa yang sama, sewaktu kita alpa, ekonomi global mengalami ada transformasi besar-besaran. Maka, kita perlu mengambil langkah perlu dengan seberapa segera demi menyesuaikan diri dengan perubahan besar itu, seandainya kita tidak ingin terpinggir.

2. Keputusan paling menggemparkan daripada Pilihan Raya Umum pada tahun ini memanifestasikan sentimen rakyat dan pilihan yang rakyat nyatakan itu memang tidak boleh diabaikan. Warga Malaysia mahukan perubahan fundamental, dan mereka menghendakinya dilakukan sekarang, baik oleh atau menerusi pihak kerajaan campuran yang berkuasa sekarang mahupun daripada pihak di luar kerajaan. Sepanjang tempoh lima puluh tahun nan lampau, susunan demografi penduduk Malaysia telah mengalami perubahan dramatik. Sudah nyata bahawa kita kini mempunyai kalangan pengundi yang lebih bijak membuat pilihan dan bersikap lebih mendesak. Bolehkah kita mempersalahkan mereka jika mereka sudah bosan dan mula hilang kesabaran dengan ketidakcekapan dan ketidakjujuran barisan pemimpin mereka?

3. Kilanan yakni ketidakpuasan hati dan rungutan warga Malaysia di Sabah dan Sarawak, yang tidak diberi penghayatan sepenuhnya dalam Pilihan Raya Umum itu, masih belum ditangani sampai sekarang. Ini merupakan risiko maha besar terhadap integriti hubungan antara tiga pihak yakni Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang bersekutu menjadi Persekutuan Malaysia.

4. Badi daripada salah faham dalam hal kaum dan agama memang 'retak mencari belah' yang siap sedia menjadi bahan eksploitasi dalam arena politik lantas mampu membahanakan kecelakaan yang maha dahsyat.

Tanpa mengambil kira segala janji pasca-PRU12, akhir-akhir kini, keyakinan rakyat terhadap pihak kerajaan merosot lebih jauh lagi berbanding keadaannya selepas tarikh 8 Mac itu.

Boleh dikatakan bahawa orang awam kini hampir-hampir putus asa untuk melihat perubahan dalam (barisan) parti yang memerintah. Kerajaan lebih cenderung untuk menggagalkan usaha ke arah perubahan malah berusaha mematikan segala kritikan terhadapnya walhal sepatutnya pihak yang berkuasa senada seirama dengan rentak tari atau sekurang-kurangnya memahami kegusaran rakyat. Maka jelaslah betapa lemahnya pihak pentadbiran dan betapa mereka langsung tidak bermaya atau berhajat untuk berubah.

Bolehkah kita menidakkan bahawa kerajaan sekarang, dalam bentuk dan kepimpinan yang sedia ada serta diterajui oleh parti yang menjadi tumpuan penuh kehidupan saya, kini tidak mampu, baik dari segi strukturnya mahupun dari aspek kewujudannya, untuk menyediakan hala tuju dan keyakinan yang negara ini perlukan, sama ada buat jangka panjang atau jangka pendek?. Tidak perlu bersuluh lagi sebab segala petunjuk dan petanda sudah jelas kepada semua:

1. Pihak kerajaan tidak berdaya bergerak balas terhadap krisis ekonomi dan tidak punya pelan tindakan asas untuk mengatasinya. Jauh sekalilah untuk setara dengan negara Asia Pasifik yang lain. Keyakinan kalangan perniagaan terus menjunam segandingan dengan modal yang meluru keluar daripada bank-bank negara kita. Dasar ekonomi terus tiada kelarasan, tanpa hala tuju dan masih berkeadaan sebagaimana keadaannya sewaktu pentadbiran sekarang mula memikul tanggungjawabnya.

2. Segala syor yang diketengahkan oleh dua Suruhanjaya Penyiasatan Diraja sama ada diabaikan sama sekali atau dilunakkan ke tahap saranan-saranan itu menjadi tidak signifikan dan tidak ampuh lagi.

3. Dalam konteks ini, peruntukan dalam perlembagaan Umno yang membolehkan pembaharuan/perubahan kepimpinannya setiap tiga tahun sepatutnya boleh diharap untuk mencetuskan perubahan. Sayang sekali, bukan sahaja mereka mensia-siakan peluang ini malah pihak kepimpinan parti memilih untuk mundur ke alam fantasi bernama "pelan peralihan" yang dengan sewenang-wenangnya mengetepikan perlembagaan parti dan hak para ahlinya. Lelucon berupa cubaan untuk menganggap jawatan awam dan amanah parti sebagai warisan yang boleh diwasiatkan antara dua individu � yang seorang mahu terus berwenang melewati tempoh mandat politiknya manakala yang seorang lagi ingin 'naik ke tampuk pimpinan' tanpa berlandaskan mandat tersebut. Yang lebih lucu lagi ialah kesungguhan usaha mereka berdua bertekad 'memaksa' rakyat menerima garapan dan gagasan mereka. Namun tiada siapa pun yang tertipu. Sebaliknya, senario di mana politik wang berleluasa, telah menguburkan terus harapan rakyat untuk menyaksikan sebarang pembaharuan yang diusahakan oleh atau menerusi Umno. Rakyat juga tahu betapa di sebalik hiruk-pikuk bergelar "pelan peralihan" itu, Perdana Menteri terus didesak oleh anggota kabinetnya sendiri yang menjalankan pelbagai taktik dan 'jarum' demi memaksa beliau melepaskan jawatannya.

Keputusan memilih "pelan peralihan" begini semata-mata membuka pekung pihak berkenaan yang langsung tidak faham erti dan tujuan jawatan awam. Adakah kita yang melarik impian menjadi negara maju tidak sedar yang masyarakat matang negara maju langsung tidak akan memberi muka apatah lagi tempat kepada sesiapa yang mengetepikan dan menularkan sikap tidak mengendahkan proses demokrasi dan perlembagaan sebegini? Mereka ini masih tidak faham-faham lagi bahawa rakyat menolak mana-mana pemimpin yang bukan sahaja mengelak daripada perlawanan terbuka mengikut lunas demokrasi malah lebih cenderung kepada wayang kulit yang mereka dalangi sendiri.

Memandangkan Umno merupakan teras politik kebangsaan, segala adegan yang plot ceritanya sudah terbentang untuk tontonan umum ini, memang mengundang bahaya besar. Dalam pada itu, bilangan Ahli Parlimen pihak Lawan kian meningkat. Tanpa mengambil kira kesahihan bilangan yang digembar-gemburkan itu dan sama ada Pakatan Rakyat kini benar-benar sudah ada "bilangan majoriti" dalam parlimen, tidak syak lagi, sokongan bagi barisan pemerintah semakin terhakis dan akan terus merosot selagi belum ada kejelasan dalam hal perubahan terhadap corak kepimpinan yang Umno sediakan kepada barisan parti pemerintah. Sudah ada 'kilat di air' bahawa, pada masa mendatang, kerajaan sedia ada mungkin tumbang bahana undi tidak percaya, atau kesahihan majoriti ahli parlimen menurut landasan dan peruntukan perlembagaan. Ini memang tidak mustahil. Namun bagi kalangan yang telah berkuasa selama lima puluh satu tahun, kemungkinan ini sukar difahami apatah lagi untuk diterima. Malah ia terlalu digeruni. Hakikatnya, menafikan kemungkinan itu tidak membantu sesiapa. Begitu juga halnya dengan mendakwa sesuatu yang jauh melebihi bilangan sebenar.

Baik disoroti dari sudut mana sekalipun, amat jelas betapa kita sudah mula tenggelam punca dan sudah sukar untuk berpegang pada kedaulatan undang-undang. Penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan terhadap individu tertentu hanya menghakiskan lagi kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. Kita bukan sahaja tidak menenteramkan suasana malah kita mengapi-apikan ketakutan yang mampu mencetuskan sengketa, permusuhan kaum dan mengganggu-gugat ketenteraman awam. Berlatarkan pakatan lawan yang semakin kuat dan pergelutan kepimpinan dalam Umno, sukar hendak percaya bahawa langkah-langkah melampau yang dikuatkuasakan itu adalah untuk menangani 'ancaman terhadap keselamatan negara' dan bukannya bertujuan untuk mengekalkan penguasaan individu tertentu. Penganiayaan yakni ketidakadilan ialah perbuatan negatif yang paling berdaya kuasa untuk merobekkan dan menumbangkan kemandirian dan kesahan sesebuah kerajaan. Justifikasi karut-marut yang diberikan sebagai alasan bagi beberapa penahanan yang dibuat itu benar-benar telah melenyapkan langsung keyakinan umum � rakyat kini sangsi sama ada kuasa yang mereka berikan melalui peti undi masih berada dalam selamat, yakni dalam tangan mereka yang sewajarnya menjaga amanah itu.

Bolehkah kita biarkan trend ini terus menelusur liku-liku berbahaya menjurus kepada kemusnahan? Sanggupkah kita biarkan tampuk pimpinan kita tanpa seorang pemimpin de facto (yang berkuasa biarpun tiada mandat yang sah) bagaikan kereta api tanpa kepala sedangkan kedaulatan undang-undang terabai dan Perlembagaan tidak diendahkan?.

Maka, dengan ini, saya merayu dan berseru agar semua pihak, segera mendatangi meja perbincangan, untuk membicarakan secara jujur tentang apa yang sedang berlaku dalam negara kita dan apakah bentuk daya usaha yang boleh kita lakukan secara aman untuk memecahkan kebuntuan kita dan mengatasi kemelut ini. Maka kita perlu bertindak dengan segala rendah hati dan semangat warga negara Malaysia, tanpa mengambil kira kita daripada parti mana. Kita perlu bersepadu mencari hala tuju untuk keluar daripada kancah kekalutan dan kekeliruan yang berbahaya ini demi kesejahteraan negara Malaysia dan kesemua warganya. Semoga bertitik-tolak daripada perbincangan kita, kelak kita berjaya mengubah krisis menjadi pencetus kecemerlangan negara di mana rakyatnya mempunyai kesatuan hala tuju dan matlamat..

Tengku Razaleigh Hamzah

31 Jalan Langgak Golf





No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.