Subscribe

Tanda Tanya Penangguhan Perhimpunan Agung Umno

ADA beberapa pihak di dalam dan luar Umno yang mengalu-alukan penangguhan perhimpunan agung tahunan dan pemilihan Majlis Tertinggi daripada Disember ini kepada Mac tahun depan.

Mereka dari dalam Umno yang mengalu-alukan keputusan itu nampaknya keliru. Mereka mencampuradukkan kemungkinan Presiden Umno dan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan lebih awal dengan perhimpunan agung tahunan.

Ini sekali gus membuktikan ketidakpedulian Majlis Tertinggi terhadap perasaan dan kehendak keahlian parti keseluruhannya. Jelas ahli MT terus mengutamakan kepentingan sempit mereka daripada kepentingan parti.

Majlis yang sama, yang menolak tuntutan diadakan persidangan agung luar biasa bagi membincangkan prestasi hambar parti dalam pilihan raya umum 8 Mac, sewenang-wenangnya menangguhkan perhimpunan tahunan yang dijadualkan Disember ini.
Kalaupun benar Abdullah hendak bersara dan mempercepatkan peralihan kuasa, adakah perlu persidangan agung tahunan ditangguhkan?

Sebaliknya jika benar-benar Abdullah hendak bersara, persidangan agung dan pemilihan MT Disember ini tentulah menjadi tambah penting dan mendesak.

Belum apa-apa lagi, sudah ada ahli Umno dan orang Melayu menyatakan sokongan kepada keputusan MT itu dan “kesian” kepada Abdullah.

Yang tidak mereka sedari adalah sikap terlalu mudah digula-gulakan dan memberi simpati tanpa bertempat inilah yang menjadi salah satu punca orang Melayu mudah diperalatkan.

Orang Melayu terlalu cepat lupa dan terlalu mudah percaya dengan kata-kata manis pembesar mereka dan oleh sesiapa sahaja yang pandai memutarkan kata-kata.

(Sebab itulah agaknya Abdullah melantik begitu ramai “spin doctors” – tukang putar belit – dalam struktur super pemerintahannya, khasnya dalam media massa).

Saya berani berkata, hatta pembesar yang (kononnya) mereka tidak suka seperti Khairy Jamaluddin pun akan mereka tangisi dan terima atas talam emas jika dia pandai gula-gulakan dan ambil hati mereka.

Kalau tidak, masakan orang Umno dan orang Melayu boleh terima pemimpin yang jelas korup, rendah pekerti, sombong dan didapati bersalah oleh mahkamah?

Kalau kita hendak mengartikulasikan politik orang Melayu, kita mungkin boleh membuat kesimpulan bahawa orang Melayu tidak mengutamakan prinsip dan perjuangan .

Jadi, apakah alasan yang begitu mendesak sehingga MT menangguhkan perhimpunan agung tahunan Disember ini?

1. Adakah kerana Abdullah membuat janji kepada mereka bahawa dia akan mempercepatkan peralihan kuasa dan tidak akan mempertahankan jawatan presiden?;

2. Kalaupun benar, mengapa perhimpunan agung perlu ditangguhkan?;

3. Adakah Abdullah dan para penasihatnya masih menaruh harapan dapat memulihkan sokongan dan simpati terhadap beliau dengan berjanji mempercepatkan proses peralihan kuasa?;

4. Adakah Abdullah akan membuat pengumuman sebelum bahagian-bahagian Umno mula bersidang 9 Oktober ini yang dia tidak akan mempertahankan jawatan presiden dan seterusnya bersara menjelang Mac?;

5. Adakah Abdullah akan bersara lebih awal kerana mahu memberi peluang kepada Mohd Najib Abdul Razak atau kerana dia bimbang tidak akan mendapat pencalonan yang sepatutnya daripada bahagian?; atau

6. Adakah ahli MT sendiri begitu cepat menangguhkan persidangan agung tahunan kerana mereka berasa peluang mereka menang lebih besar jika pengundian MT dilewatkan hingga Mac?

Bagi Abdullah, bayangkan betapa aibnya jika dia tidak mendapat pencalonan yang cukup banyak bagi menentang Tengku Razaleigh Hamzah.

Atau lebih memalukan jika Mohd Najib dicalonkan untuk melawan beliau dan mendapat pencalonan yang lebih banyak pula.

Sementara itu, yang lebih mendesak sekarang bukanlah kepemimpinan Umno dan Kerajaan per se tetapi kurannya keyakinan rakyat jelata dan pelabur terhadap kepemimpinan Abdullah.

Prognosisnya cukup jelas. Berikanlah apa pun jenis ubat dan penawar, rakyat jelata dan pelabur tetap tidak yakin dengan kemampuan kepemimpinan Abdullah untuk mengatasi krisis ekonomi tempatan dan global yang meruncing sekarang.

Apa pun mereka lakukan demi kelangsungan politik mereka, para pembesar Umno wajib sedar bahawa kontrak asal dengan ahli Umno, orang Melayu dan rakyat Malaysia tidak laku lagi. Ia sudah ditolak pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Sekiranya mereka mahu diri mereka dan Umno terus relevan dan berguna, mereka wajib meyakinkan ahli Umno, orang Melayu dan rakyat Malaysia bahawa mereka bersedia memeterai perjanjian baru.


Petikan http://kadirjasin.blogspot.com







No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.