Subscribe

Keputusan Speaker DUN Perak tidak boleh dicabar

PETALING JAYA: Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar berhubung kekosongan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering dan Behrang adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.

Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tindakan ADUN kedua-dua kawasan tersebut iaitu Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi selama lima hari dengan sendirinya telah memaksa Speaker untuk membuat keputusan itu.

"Ke mana mereka selama lima hari ini? Jika benar mereka telah menyertai Umno sekali pun, maklumkan kepada kerajaan negeri.

"Mengapa setelah Speaker umumkan akan hantar surat kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), baru mereka nak melatah," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Jamaluddin semalam yang mahu mencabar Speaker kerana mengumumkan peletakan jawatan mereka berdasarkan surat peletakan jawatan yang diterima daripada dua ADUN terbabit di Ipoh pukul 5.45 petang semalam.

Jamaluddin berkata, peletakan jawatan tersebut merupakan satu pembohongan kerana surat letak jawatan yang dimaksudkan Sivakumar itu sebenarnya telah ditandatangani oleh tujuh ADUN PKR termasuk beliau dan Mohd Osman pada 8 Mac lalu kerana kerajaan negeri bimbang mereka akan menyertai BN.

Katanya, surat itu telah diguna pakai untuk mengumumkan kononnya mereka telah meletak jawatan.

Jamaluddin dan Mohd Osman sebelum itu dilaporkan telah hilang dan tidak dapat dihubungi dalam tempoh lima hari minggu lalu.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Aziz berkata, tindakan mereka menghilangkan diri itu dengan sendirinya telah menyebabkan hujah-hujah termasuk dakwaan bahawa peletakan jawatan tersebut adalah satu pembohongan dengan sendirinya tidak boleh lagi diguna pakai.

"Ini bukan zaman darurat sehingga menghilangkan diri dan tidak boleh dihubungi.

"Pada saya, hujah-hujah mereka sudah terlambat. Lainlah jika mereka tidak menghilangkan diri, mungkin apa yang dipertahankan mereka boleh diambil kira," katanya.

Dr Abdul Aziz berkata, surat peletakan jawatan tersebut sah walaupun tidak ditandatangani semasa tidak bertarikh memandangkan kedua-dua ADUN tersebut mengetahui kandungan surat dan kesan yang akan mereka hadapi jika menandatangani surat itu.

"Mereka sedar dan tahu isi kandungan tersebut. Mereka juga bukan diacukan pistol ke kepala mereka untuk dipaksa menandatangani surat tersebut," katanya.

mstar.com.my







1 comment:

kingpahat a.k.a zaimi said...

Kita akan saksikan satu PERTARUNGAN yang hebat selepas ini....tguuuuuuuuu

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.