Subscribe

Persetankan maruah, asalkan dapat kerusi empuk

-Dari Hanief.BlogSpot.Com



Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam kelihatan begitu emosi dan tertekan apabila PR Melaka sudah mula menggerakkan usaha untuk mendesak beliau meletakkan jawatannya akibat dibuktikan oleh Lembaga Displin Umno terlibat di dalam rasuah. Bukan pembangkang yang menuduh beliau rasuah, tetapi beliau dikatakan melakukan rasuah oleh Lembaga Disiplin yang dibentuk oleh parti yang beliau cintai dan sayanginya itu. Rakyat mana yang boleh percaya bila Ali Rustam mengaku tidak melakukannya kerana sedikit pun beliau tidak mempertahankan dirinya malahan beliau menghormati badan yang menyatakan beliau terlibat melakukan rasuah? Tindakan beliau untuk merayu bukan bererti mempertahankan dirinya, merayu adalah bertujuan untuk meringankan hukuman sahaja. Dan, rayuan beliau ternyata telah ditolak.

Saya yakin, jika beliau benar-benar bermaruah dan tahu menjaga maruah diri dan keluarga bahkan keturunannya, beliau pasti akan melawan segala tuduhan-tuduhan tersebut biarpun akhirnya beliau tetap teraniaya. Sebagai contoh, DS Anwar tetap melawan habis-habisan apabila beliau dituduh melakukan liwat meskipun akhirnya beliau teraniaya. DS Anwar sanggup kehilangan jawatan malahan terpenjara dan tersiksa demi mempertahankan maruah. Begitu juga dengan YAB Lim Guan Eng yang terpaksa meringkuk di penjara kerana membela maruah gadis Melayu yang dirogol. Jadi, jauh bezanya dengan apa yang Ali Rustam lakukan sekarang. Apa yang Ali Rustam telah lakukan untuk membela maruah dirinya sekiranya beliau benar-benar tidak terlibat di dalam rasuah tersebut? Apakah kerana takut untuk derhaka pada Umno maka sanggup Ali Rustam dicap sebagai perasuah? Mungkin kerana sayangkan kerusi empuk Ketua Menteri Melaka maka beliau sanggup mencemarkan nama baik dan seluruh keturunannya? DS Anwar sanggup tinggalkan kerusi empuk sebagai TPM asalkan maruah diri dan keturunannya terpelihara. Dan, terbukti beliau kini disanjung di merata-rata dunia atas sikap beliau yang berani dan bermaruah.

Oleh yang demikian, kita merasa hairan dengan sikap Ali Rustam yang cuba menyamakan dirinya dengan DS Anwar dan Lim Guan Eng. Jauh umpama langit dan bumi. Apabila Ali Rustam tidak berani berbuat apa-apa ke atas apa yang berlaku ke atas dirinya, maka umum mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Jadi, tidak perlulah Ali Rustam berkata beliau tidak bersalah, tetapi beliau menghormati keputusan Lembaga Disiplin yang telah `menelanjang'kannya. Mungkin, kerana terlalu hormatnya beliau kepada Najib yang mahukan beliau terima keputusan lembaga tersebut, maka Ali Rustam pun patuh sepatuh-patuhnya. Kini, Najib mungkin tersenyum kerana masih ada di kalangan pemimpin Umno yang begitu taat kepadanya dan sanggup mukanya di`berak' dan di`kencing'kan. Selagi Ali Rustam berada di kerusi Ketua Menteri Melaka tanpa apa-apa tindakan berani untuk mempertahankan dirinya, selagi itulah penyakit Umno akan terus berkudis dan bakal membawa maut.

Sebelum saya menutup kalam ini, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Tun Mahathir yang telah memberitahu kita semua betapa seorang lagi calon Timbalan Presiden Umno adalah seorang yang buta membaca, menulis dan bertutur di dalam Bahasa Inggeris. Mungkin ramai dikalangan kita yang masih tidak tahu bahawa rupa-rupanya terdapat pemimpin Umno yang jahil berbahasa Inggeris tetapi bercita-cita untuk menjadi TPM. Mungkin pemimpin berkenaan adalah salah seorang yang bertegang urat mempertahankan usaha kerajaan di dalam isu pembelajaran Mathematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Mungkinkah kita bakal punyai TPM yang buta Bahasa Inggeris ?

Dipetik dari WFAUZDIN NS







No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.