Subscribe

Apabila si Jahil berbicara, Isu Penggunaan Nama Allah Antara Aqidah dan Taklid Buta

 
Pelbagai isu ditimbulkan di Malaysia, apabila ianya berkait politik maka ianya pasti memeningkan dan berlaku perselisihan yang tidak berkesudahan kerana kekuasaan itu sungguh-sungguh membuatkan manusia sanggup berbunuhan.

Diriwayatkan daripada Tsauban ra. yang berkata telah bersabda rasulullah sallallahualaihiwasalam dengan sabdanya yang bermaksud : " Sesungguhnya apa yang aku risaukan ke atas umatku ialah pemimpin yang menyesatkan..." (hadis riwayat Tirmidzi dalam bab Fitan no.2229) disebut darjatnya Hasan Sahih.

Orang bercakap soal agama di mana-mana termasuk Menteri-Menteri yang merujuk agama hanya daripada Kamus dan Ensiklopedia (TV3 - Buletin Utama,2 March 2009)

Para ulama' dijadikan bahan senda gurau dan diperleceh, khasnya oleh golongan yang merasa diri mereka intelektual dan cerdik namun hakikatnya jahil di dalam agama.

Masyarakat awam lebih parah, mereka pula mengambil ulama sebagai tempat mendapatkan keberkatan bukan rujukan. Disalami ulama untuk mengambil berkat,diciumi tangannya, diminum air jus tok guru dan di ambil air kolah surau dan pondoknya untuk dibuat air ubat.





Berjumpa ulama sekadar untuk di doakan, mengambil berkat dan menaruh harapan moga disembuhkan, diberi rezeki atau dibantu di dalam kehidupan atas berkat ulama tadi.





Ulama' tidak menjadi tempat rujukan ilmu, tidak di ambil daripadanya panduan untuk menjalani kehidupan yang diredhai oleh Allah swt melalui pertunjuk Al-kitab dan as-Sunnah.

Isu Allah, bolehkah Agama lain menggunakan Nama "Allah" merujuk tuhan mereka ?



Di dalam Islam kita tidak disuruh mengorek rahsia orang sehingga kepada apa yang ada di dalam hati orang lain seperti kita tidaklah disuruh menyoal apakah motif pihak yang mahu menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka.

Kita apabila melihat isu ini dengan ilmiah, mengetahui bahawa kalimah "Allah" itu umum merujuk kepada tuhan bagi semua manusia baik yang Muslim, bukan Muslim, manusia dan haiwan serta seluruh hidupan dan kewujudan.

Perbezaannya ialah hanya pada Siapa layak disebut Allah ? Sifat dan Ciri Allah, juga apakah ajaran yang datang daripada Allah ?

Agama Islam melalui sumbernya iaitu Al-Kitab (Quran) dan As-Sunnah (rasul) beriman bahawa Allah itu Esa, tiada sekutu dan tidak mempunyai anak dan menyakini Allah mempunyai 99 nama, memiliki sifat-sifat yang mulia seperti yang diberitakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.


Manakala Kristian berpegang kepada rujukan mereka iaitu Bible bahawa Allah itu mempunyai anak, isteri dan menjadikan Jesus sebagai Anak Allah.

Kita (orang Islam) tidak bersetuju dengan Kristian di dalam hal tersebut tetapi kita tidak boleh mengatakan bahawa bukan Allah tuhan mereka...kerana tuhan mereka tetap Allah dan apa yang mereka anggap tuhan itu sebenarnya ialah Allah swt cuma sifat-Nya dan ciri-ciri Allah itu yang kita perselisihkan. (puncanya rujukan tidak sama apabila kita merujuk Al-Quran dan mereka (Kristian) merujuk Bible)


Apabila kita menafikan hak Kristian untuk memanggil tuhan mereka sebagai Allah, kita sebenarnya menafikan bahawa Islam ialah pelengkap kepada ajaran Kristian dan yahudi serta pelengkap kepada kitab suci Taurat dan Injil yang semuanya berasal daripada Allah swt.

Bagaimana kita hendak menolak Firman Allah swt yang bermaksud :

"dan kami turunkan Taurat dan Injil, sebelumnya (Sebelum Quran) sebagai pertunjuk kepada manusia." (Ali-Imran : 3-4)

Allah memerintahkan kita mengakui kewujudan ajaran Taurat dan Injil serta rasul-rasul yang membawa kitab-kitab tersebut melalui Firman-Nya yang bermaksud :

"Katakanlah (Wahai orang-orang mukmin): "Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma'il, Ishaq, Ya'qub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhannya. Kami tidak membeza-bezakan seorangpun diantara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya". (Al-Baqarah : 136)

Kenapa kita hendak membezakan tuhan Kristian dengan tuhan kita yang hakikatnya ialah sama iaitu Allah ? Rasul mereka iaitu Jesus (Isa) juga adalah rasul kita !

Firman Allah swt : " Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat." (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali." (Al-Baqarah : 285)

Hanya kita berbeza pada apa yang dibawa oleh sumber masing-masing (antara Al-Quran dan Bible) mengenai aqidah tentang Allah !

Hanya kita berkeyakinan bahawa Bible (Taurat & Injil) itu telah diubahsuai namun dari sudut keimanan, kita wajib menyakini bahawa Taurat dan Injil itu berasal daripada Allah dan merupakan kitab Allah dan tuhan yang disebut oleh Injil dan Yahudi itu ialah Allah.

Ini kerana Allah jelas menyebut di dalam Al-Quran dengan bermaksud : " Kerana mereka (bani Israel) melanggar janjinya, Kami kutuki mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka (bani Israel) suka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat pengkhianatan dari mereka kecuali sedikit diantara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." (Al-Maidah : 13)

Apakah belum jelas wahai penguasa pentadbiran agama ? tentang isu ini ?

Bezanya aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah (Aqidah Islam) yang berasal daripada Al-Quran dan As-Sunnah menyakini Allah itu wajib disifatkan menurut apa yang diwahyukan melalui kedua-Nya dan hasilnya Allah pada kita (umat Islam) berbeza dengan ciri Allah pada agama Kristian dan Yahudi.

Di sinilah terpancar kepentingan Aqidah Islam untuk dipelajari oleh umat Islam supaya mereka mengetahui Siapakah Allah ? Apakah sifat-Nya ? dan mempelajari apa kata Al-Quran dan As-Sunnah tentang Allah untuk membolehkan mereka beriman dengan-Nya dan membezakan Allah yang difahami berdasarkan ciri-ciri yang di bawa oleh agama lain.

Ada hikmah rupa-Nya kejadian ini, menyedarkan umat Islam bahawa mereka perlu mempelajari aqidah ! Perlu mendalami aqidah dan perlu melengkapi anak-anak kecil dengan ilmu Aqidah bukan hanya kerana takut tersilap dan terkeliru dengan isu Allah ! tetapi supaya anak-anak tahu siapakah Allah ? Apakah ciri-ciri dan sifat Allah yang selama ini tak pernah pun nak ambil tahu !

Bukan mengambil keputusan menghalang penggunaan nama Allah oleh agama lain konon hendak mengelakkan kekeliruan kepada umat Islam dan anak-anak Islam...yang akhirnya akan mengundang lebih banyak kekeliruan...tak percaya ?

Baiklah, kalau seorang paderi Kristian mengatakan yang menciptakan alam ini bukan Allah apakah itu bukan mengelirukan ? Habis siapa ? Kerana Umat Islam mempercayai yang menciptakan alam ini ialah Allah !

Bukankah lebih senang difahami, sekiranya baik Islam mahupun Kristian menyakini bahawa yang menciptakan alam ini ialah Allah ! tetapi Allah bagi umat Islam sifat-Nya ialah Tunggal dan Esa, tiada anak dan tiada isteri tetapi Allah bagi orang bukan Islam (Kristian misalnya) mempunyai anak. Disini, kepesongan iktikad Kristian terhadap Allah itu sendiri sangat jelas kerana memperakui Allah itu beranak dan diperanakkan. Namun tuhan bagi mereka adalah tetap Allah ! Budak kecil dan anak kita akan bertanya kenapa berbeza ? kita akan menjawab kerana Islam merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah manakala Kristian merujuk kepada Bible yang sesat.

Lebih mudah bukan ?

Susah sangatkah JAKIM hendak menyedari yang anak-anak Islam semakin sesat dan menjauh daripada agama Islam sekalipun penggunaan nama Allah hanya untuk orang Islam.

Sekurang-kurangnya dengan penggunaan nama Allah bagi agama lain akan membuatkan ibu bapa Islam lebih peka, lebih risau dan lebih berusaha menanamkan ilmu tauhid, ilmu aqidah kepada anak-anak mereka agar tidak tersalah mengambil "Allah" sebagai tuhan, ingat anak-anakku, tuhan kita ialah Allah yang tersebut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah...susah sangatkah hendak berkata demikian ?

Punca JAKIM dan ISU ALLAH menjadi ISU

Saya tidak melihat ada alasan lain kenapa JAKIM menolak penggunaan nama Allah sebagai sesuatu yang merujuk kepada tuhan yang umum bagi semua melainkan disebabkan mereka (ulama JAKIM) majoritinya tidak berfaham dengan kefahaman tauhid yang terbahagi kepada tiga bahagian (iaitu Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah, Tauhid Asma Wal Sifat)

Mufti-mufti dan ahli jawatankuasa Fatwa yang kebanyakkannya berpendapat Tauhid itu cuma satu iaitu Mengesakan Allah dan beraqidah dengan faham ilmu kalam (mantiq) yang dibawa sejak dahulu ke tanah melayu di atas nama Asya'irah dan Maturidiyah pastinya menolak Tauhid Rububiyah yang dibawa oleh Ulama-ulama yang menyakini Tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian.

Tauhid Rububiyah misalnya menyakini bahawa Mengesakan Allah di dalam bab penciptaan dan mengakui bahawa Allah sebagai pentadbir dan penguasa itu adalah wajib dan hal itu merupakan fitrah ke atas semua manusia baik yang Muslim mahupun bukan.

Ini disebabkan mereka (ulama yang berfaham demikian) merujuk kepada ayat Al-Quran yang menjadi bukti bahawa orang-orang Musyrikin Mekah dahulu, sekalipun kafir dan tidak beriman namun tetap mengakui Allah sebagai tuhan, memanggil-manggil nama Allah swt di dalam urusan harian mereka , seperti bersumpah dengan nama Allah dan berdoa serta bertawaf di atas nama Allah.

Hanya sahaja mereka mensyirikkan Allah dan menjadi golongan musyrikin disebabkan tidak mentauhidkan Allah di dalam perihal Ibadah yang disebut sebagai tauhid kedua yang diberi nama Tauhid Uluhiyah.

Ustaz Dato Nik Abd Aziz (Mursyidul Am PAS) berpendirian seperti ini begitu juga dengan tokoh agamawan popular seperti Dr Mohd Asri Zainul Abidin (bekas Mufti Perlis).

Realitinya, majoriti ulama Islam khasnya yang berfaham dengan Ahlul Sunnah Wal Jamaah menerima tauhid yang terbahagi kepada tiga bahagian ini seperti Imam Ibnu Mandah (wafat 359 H), Imam Ibnu Batthoh Al-'Akbari (meninggal 387 H) di dalam kitabnya Al-Ibanah 'An Syariati Al-Firqatin Najiyah wa Mujanibatil Firqatil Mazmumah.

Imam At-Thurthusy (meninggal 520 H) menyebutkan dalam muqaddimah kitab Sirajul Muluk dan Imam Al-Qurthubi (wafat 671 H) Kitab Al-Iman oleh Al-Imam Ibnu Taimiyah (Wafat 728 H)

Tidak kurang pula ulama moden hari ini yang dihormati keilmuan mereka turut mengakui kebenaran tauhid yang tiga ini termasuk pejuang Islam terkenal seperti Hassan Al-Banna, Syed Qutb dan majoriti ahli Ikhwan Muslim (IM), para ulama seperti Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi (Dekan Fakulti Pengajian Ilmu Islam Universiti Qatar), Prof.Dr Abdul Karim Zaidan (Pakar Usul Fiqh Sedunia, Pengarang kitab Usul Fiqh yang digunakan oleh ribuan univeristi di seluruh dunia Islam), Prof. Dr Abdul Wahab Ad-Dailami dan lain-lain ulama' di serata dunia Islam.

Saya hairan, disebalik kewujudan ramai ulama Islam di timur tengah dan kepesatan kajian ilmu agama dan perkembangan ilmu, di negara kita ianya seolah-olah tidak begitu terusik dan teruja.

JAKIM dan Majlis Agama Islam di setiap negeri lebih bersikap menutup ruang percambahan ilmu di dalam masyarakat, lebih suka mengambil jalan mudah dengan menutup ruang khilaf (perselisihan pendapat) semata-mata kerana alasan rakyat akan terkeliru dan orang awam akan binggung.

Kalau sudah tahu begitu, perbanyakkanlah ruangan ilmu, rancakkan pengajian agama dan memajukan kajian dan perbahasan ilmiah bukan mengongkong Umat Islam dengan satu mazhab, dengan satu pendapat dan hanya satu aliran hanya kerana mahu mengelakkan kekeliruan dan orang jahil tidak faham.

Apakah harga yang dibayar oleh JAKIM dan Majlis agama dengan perbuatan sebegini ?

Harganya ialah "MALAYSIA BOLEH" di dalam semua hal dan banyak perkara baru akan diterokai tetapi agama Islam menjadi tidak boleh dalam banyak hal sehingga agama dilihat menjadi sebab kemunduran dan generasi muda akan meninggalkan Islam.

Agama Islam dilihat kolot, keras, tidak berdaya saing dengan arus kemodenan lantaran ahli agama dan penguasa agama yang berkuasa di dalam urusan agama Islam berkeras mahu mengongkong pemikiran masyarakat hanya dengan isu dan bab-bab yang diputuskan oleh majlis agama sahaja.

Belum lagi politik di ambil kira, peranan agama menjadi semakin jauh dan sayup ketinggalan apabila kekuasaan menjadi taruhan. Masing-masing membaca ayat Al-Quran,mahu menunjukkan mereka mempunyai dalil dan hujah di dalam tindakan.

Agama menjadi bahan sandaran dan ayat perkuat (azimat atau semacam tangkal) sekadar menguatkan pilihan yang dibuat....

Pilihan sudah dibuat terlebih dahulu, baik oleh prosedur, sentimen atau faktor kepentingan tertentu...kemudian barulah mengambil Al-Quran dan As-Sunnah sebagai penyokong.

Al-Quran dan As-Sunnah bukan lagi menjadi rujukan utama, bukanlah lagi menjadi penentu keputusan dan pembeza di antara yang haq dan bathil (Al-Furqan).

Inilah zaman orang-orang Ruwaibidhoh berkuasa !

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah"". Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu Wahai Rasulullah?". Nabi saw. menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina serta tidak mengerti urusan orang ramai".(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Selamat datang ke zaman ini !

Dipetik daripada Ust. Emran

4 comments:

Jil Fityan said...

Adakah kita menafikan tuhan bagi orang Kristian dan orang Yahudi adalah Allah??Bukankah Allah adalah tuhan bagi sekalian manusia?

Jil Fityan said...

Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).


Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

butii said...

apa punya artikel mengarut ni.. tauhid tu man'satu'kan Allah.. mana buleh sampai tiga... orang kafir mengaku 'Allah' sebagai tuhan setelah mereka kalah hujah. Rujuk la ayat quran (al-ankabut:61) yang sebut orang kafir mengaku 'Allah' sebagai tuhan kerana diakhir ayat Allah sebut "fa anna yu'fakun" makna mereka berdusta!... buang masa betul aku baca artikel panjang2 macam ni....

Ustaz said...

Bukan trinity,tapi akidah trinity tu salah. Allah tetap tuhan bagi semua makhluk.

layari http://www.gemaislam.com/panduan.htm utk dptkan panduan dan RP bilik darjah.

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.