Subscribe

20 tahun PAS perkenal persepsi positif


HAMPIR 20 tahun lalu, tidak ramai orang mempercayai seorang ulama yang berserban dan berkain pelikat muncul sebagai pemimpin yang dikenali hari ini.Ketika itu ramai mengenalinya sebagai ustaz. Tubuhnya agak kecil, namun misi dan visinya melangkau jauh merentasi sempadan negeri. Sekali berjumpa dengan orang ramai pastinya diingatkan kepada soal dosa dan pahala.

"Ada kehidupan selepas alam dunia sekarang. Ketika itu duit tidak ada nilai lagi. Cuma yang dapat membantu kita ialah pahala," kata pemimpin itu setiap kali memulakan ceramah.

Kelainan dicetusnya ketika menyampaikan kuliah. Beliau tidak perlu menunggu selepas solat Maghrib untuk berkuliah. Setiap kali selepas mengimamkan solat fardhu, takzirah perkara pertama yang disebutnya.

Itulah kelainan dibawa Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik sejak 22 Oktober 1990. Tanggal 21 Oktober 1990 masih diingati gelombang seumpama tsunami membandai Kelantan. Kesemua 39 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dirampas PAS dengan rakan gabungan dalam Angkatan Perpaduan Ummah, iaitu Semangat 46.

Umno dan Barisan Nasional gagal mempertahankan sebarang ‘zuriat’ ketika itu. Begitu juga di peringkat parlimen. Kemunculan PAS bersama Semangat 46, Berjasa dan Hamim membuat BN kehilangan tapak di bumi Kelantan.

Tsunami politik ketika itu lebih hebat membandai berbanding Pilihan Raya Umum 1999 dan 2008 di Kelantan.

Bermula dari situlah slogan 'Membangun Bersama Islam' mulai menjadi buah mulut rakyat. Islam diperkatakan dalam setiap sudut dan ruang. Di tepi-tepi jalan mulai kelihatan perkataan yang bertulis 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahuakbar'. Papan tanda itu didirikan di tepi-tepi jalan di mana-mana sahaja.

Kerajaan negeri juga memperkenalkan dasar pentadbiran berteraskan kepada prinsip ubudiah (perhambaan), mas’uliah (akauntabiliti) dan itqan (akhlak).

Matlamat pembangunan bagi mencapai keseimbangan, memaju dan membangun sumber manusia, mengoptimumkan pengeluaran, tingkatkan kualiti hidup ke arah kesejahteraan hidup rakyat. "Langkah pertama yang saya lakukan sebagai ketua kerajaan negeri ialah memindahkan simpanan kerajaan negeri dari akaun riba kepada Bank Islam.

"Tindakan saya itu telah mengundang kemarahan tauke-tauke bank konvensional sehingga mereka datang berjumpa saya. Dan hari ini perbankan Islam berkembang pesat di seluruh negara," kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Pencapaian lain termasuk mewujudkan sistem pajak gadai Islam (Ar Rahn), menutup premis judi, mengawal penjualan arak, mengharamkan konsert, menubuh Tabung Serambi Mekah, Tabung Tok Kenali, mengamalkan cuti dua hari seminggu, melantik penghulu wanita, menguatkuasa etika berpakaian Islam di premis perniagaan.

Melarang papan tanda memperagakan wanita tanpa tutup aurat, meluluskan Enakmen Kawalan Hiburan, memperkenalkan bangunan berciri senireka Islam.

Selain itu, menubuh Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Maahad Tahfiz Al Quran, Maahad Tahfiz Sains, Pusat Pembanguan Pondok Bhd dan Kolej Pondok Darul Naim.

Dan beberapa tahun lalu memperkenalkan skim Takaful Kifaalah, Takaful Armalah, program Rumah Dhuafat, Dinar Emas Kelantan dan menggalakkan penanaman pokok depu.

Manakala program yang tidak kelihatan di negeri lain namun ada di Kelantan termasuk sambutan Hari Hudud, program Bulan Sembahyang dan Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Segala dasar tersebut sebati di jiwa rakyat. Dan hari ini Kelantan menyambut ulangtahun ke-19 berada di bawah pentadbiran PAS. Ini bermakna sudah 19 tahun ulama menerajui sebuah kerajaan negeri.

Sedangkan sebelum itu, kebolehan ulama memimpin atau mengepalai kerajaan tidak dibuktikan. Sebagai meraikan kejayaan itu pada 15 November lalu diadakan program ceramah perdana. Program itu bermula dengan solat Maghrib yang diimamkan mudir Maahad Tahfiz al Quran Pulai Chondong, Ustaz Mansor Daud. Kemudian diadakan kuliah Maghrib oleh Adun Demit, Ustaz Mohamad Mustafa.

Menteri Besar pula mengimami solat Isya. Selepas itu diadakan solat hajat yang diketuai Ustaz Hussin Ibrahim dari Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.

Program berkenaan mencatat sejarah apabila mempertemukan pemimpin utama Pakatan Rakyat di satu pentas. Kehadiran Penasihat Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjaya memancing ribuan penduduk tempatan hadir.

Dewan besar Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. Begitu juga di bahagian luar. Mereka yang datang lewat terpaksa meletakkan kenderaan sehingga 1 km dari bangunan Putik.

Kedatangan yang begitu ramai itu menandakan mereka sayangkan kerajaan PAS. Mereka mendokong pemimpin ulama yang ternyata berjaya membawa Kelantan sehingga dikenali di peringkat global.

Kit Siang menyifatkan kerajaan Kelantan cemerlang sehingga berjaya mengekalkan kerajaan lima penggal berturut-turut.

"Ini merupakan satu Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi kerajaan PAS di Kelantan kerana berjaya mempertahankan kerajaan sehingga lima penggal.

"Kejayaan ini menjadi satu momentum bagi membolehkan Pakatan Rakyat meneruskan cabaran melangkah gagah ke Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang," katanya diiringi laungan takbir orang ramai.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak memberi wang ihsan kepada Kelantan, sedangkan apa yang termaktub dalam perjanjian ialah royalti minyak.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien pernah mengakui Kelantan ada hak mendapat royalti 5 peratus setahun sekiranya ada minyak sama ada di laut atau darat buminya. "Itu janji Tun Razak yang masih lagi tercatat dalam hansard parlimen. Hak rakyat Kelantan perlu dikembalikan kepada mereka," katanya.

Dato' Seri Abdul Hadi Abdul Hadi Awang pula berkata, rakyat Kelantan paling cerdik di negara ini kerana berani membuat perubahan politik sejak 19 tahun lalu. Katanya, rakyat di negeri-negeri lain perlu belajar daripada keberanian rakyat negeri ini merubah minda.

"Selepas hampir 19 tahun kemudian barulah rakyat di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah mengikutnya dengan membuat perubahan politik," ujarnya.

Anwar pula dalam ucapannya mendesak Kerajaan Pusat patuh kepada undang-undang dengan memulang royalti minyak kepada Kelantan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, sepatutnya Kelantan yang memberi wang ihsan daripada hasil minyak kepada Kerajaan Pusat dan bukan pusat memberi ihsan kepada Kelantan. Ini kerana hasil minyak itu milik Kelantan kerana didapati di bumi negeri ini.

"Sepatutnya kita yang bagi ihsan kepada pusat kerana minyak tersebut milik kita. Kita tidak halal kerana duit tersebut milik rakyat negeri ini," ujarnya.

Beliau juga memberi contoh pengurusan duit ihsan di Terengganu mengundang banyak bangunan yang dibina runtuh seperti bumbung stadium dan masjid. Tahun depan Kelantan bakal merayakan sambutan ulangtahun ke-20.

Ini bermakna 20 tahun Umno gagal dalam misi menawan Kelantan. PAS terus mencengkam ke akar bumi Serambi Mekah.

Dipetik dari sisipan Fikrah, Harakah Bil 1491 - Edisi Isnin, 23-26 November 2009

Oleh Lanjusoh

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.