Subscribe

Biro Tata Negara peralat rakyat



Tiada apa yang kita boleh dapati hasil program Biro Tatanegara (BTN), para peserta yang mengikuti kursus, menunjukkan semangat hidup sebumbung tanpa mengira kaum di Malaysia. Malah modul BTN tidak mencerahkan usaha mengeratkan hubungan sesama kaum, melainkan yang ada,program memperburukkan kerajaan Pakatan Rakyat. Satu kekesalan, kekecewaan.

Pernah berlaku, Biro Tatanegara (BTN) cawangan Sabah yang memperalatkan pelajar dalam seminar Bina Negara anjuran bersama Umno Bahagian Tawau.Dalam seminar tersebut, yang dirasmikan oleh Dato' Ghafur Saleh telah mewajibkan pelajar-pelajar untuk menghadiri seminar berkenaan. Dalam kertas kerja yang bertajuk "Politik Matang" yang disampaikan Ibrahim Bin Saad Pengarah Biro Tatanegara Cawangan Sabah beliau telah memburuk-burukkan parti pembangkang khususnya PAS. Beliau menyatakan bahawa PAS tiada kemampuan untuk memerintah negara ini serta bermacam - macam lagi tuduhan yang telah dilemparkan terhadap PAS yang bertujuan untuk memburukkan imej PAS di kalangan masyarakat khususnya pelajar.

Program sebegini bukan sahaja tidak disenangi oleh peserta, malahan Ibubapa yang menghadiri seminar berkenaan merasa kesal di atas tindakan Jabatan Pendidikan yang membenarkan pelajar-pelajar menghadiri seminar berkenaan yang berbaur politik.

UMNO hanya memperalatkan pelajar untuk kepentingan politik mereka. UMNO perosak dan penganjur kepada perosak hubungan sesama kaum di Malaysia. Sepatutnya pelajar-pelajar dinasihatkan untuk belajar besungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan di dalam bidang pelajaran, peserta-peserta yang bakal menjawat jawatan diberi motivasi dan semangat, bukan menghasut mereka membenci parti -parti pembangkang yang ada dalam negara ini.

Inilah kerja double standard Umno terhadap parti pembangkang.Umno semakin takut terhadap perkembangan pembangkang. Tiada daya menarik kaum muda mendekati UMNO,serta kehabisan isu untuk berhadapan dengan parti pembangkang. Setelah masyarakat tidak memberikan sokongan terhadap mereka kini mereka beralih pula untuk merosakkan pemikiran rakyat dengan program BTN.

Dibawah adalah petikan daripada Malaysiakini:

Selangor digesa supaya berhenti menghantar mahasiswa di pusat pengajian tinggi milik kerajaan negeri ke program anjuran Biro Tata Negara (BTN) kerana ia didakwa menyemai sentimen perkauman di kalangan pelajar.

Sekumpulan ADUN muda Pakatan Rakyat Selangor menggesa pemulauan program agensi bawah Jabatan Perdana Menteri itu melalui satu surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

ADUN Batu Caves, Amirudin Shari berkata bantahan itu dibuat memandangkan sebahagian pengisian program berkenaan didapati tidak berkaitan dengan usaha pemupukan nilai-nilai kenegaraan atau penyebaran ilmu.

"Sebaliknya ia merupakan program politik kepartian Umno-BN dan perkauman semata-mata," kata wakil rakyat PKR itu sebagai jurucakap kumpulan ADUN tersebut kepada media selepas persidangan DUN hari ini.

Wakil-wakil yang turut hadir pada sidang media itu, Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

"Justeru kita berpandangan kerajaan negeri perlu bertindak untuk mengarahkan jemaah (senat) universiti untuk menghalang pelajar daripada menghadiri program BTN," kata Amirudin, yang juga naib ketua Angkatan Muda PKR, lagi.

Pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan Selangor termasuk Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Inpens.

Amirudin juga memberikan alasan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) juga tidak mewajibkan pelajar menghadiri program anjuran biro berkenaan.

"Tapi sepanjang pengalaman saya di universiti dan saya percaya perkara ini turut dipropagandakan kepada para pelajar, mereka perlu hadir program BTN.

"Jika tidak, mereka tidak akan lulus. (Dakwaan) ini sesuatu penipuan," tambahnya ketika membacaknya kenyataan bersama mereka.

"Peserta kursus didoktrinkan dengan propaganda tentang ketuanan Melayu dan ancaman (negara) luar dan tidak diberikan ruang untuk mencabar propaganda tersebut memandangkan programnya berjalan secara satu hala sahaja."

Seorang lagi wakil rakyat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, sebagai seorang pelajar tajaan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau sendiri - yang pernah mengikuti program BTN - mendapati ia tidak sepatutnya wujud apabila kerajaan sedang bercakap tentang 1Malaysia.

"Sepanjang program tersebut, apa yang ditekankan adalah (parti) Keadilan ini, Anwar adalah ejen Yahudi, DAP adalah parti ejen Singapura dan PAS adalah parti ajaran sesat," katanya.

"Itu saja yang disertakan dalam modul mereka yang bersifat politik kepartian yang sepatutnya tidak wujud sebagai satu program bawah JPM."

Tambahnya, peserta juga "dimomokkan" tentang tentang "ancaman orang Cina" dalam program yang disertainya itu.

"Ada beberapa mahasiswa (berbangsa) Cina yang hadir (dalam program tersebut).

"Saya boleh bayangkan betapa mereka rasakan diri mereka begitu takut dalam situasi tersebut kerana modulnya sendiri bersifat perkauman," katanya.

by JilFityan

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.