Subscribe

Kota Siputeh : PRK tangguh lagi?


Seperti yang sudah dijangkakan daripada awal, Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan penangguhan sementara perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan SPR supaya mengadakan pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh. Kes kerja SPR yang sudah beralih tugas, iaitu memastikan tiada kekosongan kerusi sekiranya diisytiharkan Speaker DUN di negeri-negeri Pakatan cukup mengecewakan.

Kes ini dengan jelas, menggambarkan SPR sudah lari dari matlamat dan bidang kuasanya yang asal.Berdasarkan Perkara 51: Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (UUTKNK);

“Jika mana-mana ahli bagi Dewan Negeri tiada hadir di dalam Dewan dengan tiada kebenaran Speaker di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut maka tempatnya itu hendaklah menjadi kosong”


Dalam kes ADUN Kota Siputeh, beliau didapati gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu. Maka keputusan Speaker adalah menepati Perkara 51 UUTKNK.Walaubagaimana pun SPR mentafsirkannya sebagai tidak sah kerana melibatkan dua penggal yang berbeza dimana mesyuarat 19 April berlaku dalam penggal pertama dan mesyuarat 9 Ogos dalam Penggal yang kedua.Ini bercanggah dengan Perkara 51 yang langsung tidak menyebutkan isu penggal. Lagipula yang bertindak menafikan perkara ini adalah SPR. Perkara 51 hanya menyebut tentang mesyuarat tanpa mengasingkannya mengikut penggal dan kuasa memberikan kebenaran adalah ditangan Speaker bukannya Ketua Pembangkang yang gagal melakukan tugasnya pada waktu kejadian.

Tindakan SPR ini juga bercanggah dengan Perkara 52, UUTKNK yang menyebut;

“Jika berbangkit apa-apa soalan fasal adakah mana-mana Ahli Dewan Negeri itu tiada layak menjadi ahli maka hendaklah diambil keputusan Dewan dan itulah yang muktamad.”

Maka SPR tiada kuasa untuk membuat tafsiran atau keputusan kerana kekosongan Dun Kota Siputeh yang boleh diputuskan oleh Speaker dan Mesyuarat Dewan sahaja.Maka, dengan sendirinya keputusan SPR itu terbatal dan tidak terpakai. Maka perkara ini perlu dibawa kepada Mesyuarat DUN atau Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Perlembagaan menetapkan bahawa SPR hanyalah berfungsi sebagai;

Jawatakuasa pilihan raya ke atas kawasan parlimen dan DUN, mengelola pilihan raya, dan pelaksanaan pendaftaran pemilih.Ia juga mengumpul maklumat mengenai kawasan baru yang membolehkan keadilan dapat dilakukan ke atas pengundi untuk mengundi di kawasan pengundian yang ditetapkan, mempromosikan kepentingan mengundi, dan menguruskan semakan daftar pemilih dengan memadam nama-nama orang yang telah mati atau didapati tidak layak mengundi.Pada hari pengundian, anggota SPR dan pegawai akan berada di pusat pengundian untuk menjalankan proses pengundian pilihan raya.

Maka tugas menentukan sesuatu kerusi itu kosong atau tidak adalah kuasa Speaker dan Dewan semua negeri serta Parlimen. SPR tidak boleh memandai-mandai menjadi hakim, jika tidak kes seperti di Perak akan berlaku sekali lagi.

PAS sekali lagi menyatakan pendirian menolak keputusan SPR dan meminta agar pihak SPR menghormati kuasa Speaker dan Dewan Undangan Negeri Kedah.

Sumber : http://www.pas.org.my

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.