Subscribe

Istilah "amal" Yang Di Salah Anggap.


Hiburan yang dilarang oleh agama Islam itu ialah segala bentuk hiburan yang melalaikan atau merugikan, apa lagi hiburan yang menjejaskan kewajipan seorang Islam. Nyanyian, karaoke, tari menari, lebih-lebih lagi tari menari yang yang bercampur lelaki dan perempuan, konsert-konsert nyanyian sekalipun atas nama “amal” tidak akan menghalang hakikatnya sebagai kegiatan yang bertentangan dengan syarak atau konsert nyanyian yang ada sekarang lebih banyak menjurus kepada yang tidak diredhai oleh Allah.Tambahan pula diwar-warkan "nyanyian amal", "konsert amal" atau seumpama dengannya adalah baik iaitu untuk menarik manusia berbudi dengan beramal membantu yang sukar dan sempit.

Apabila melihat banyaknya konsert-konsert "amal", banyaknya paparan video klip di kaca televisyen memaparkan artis-artis menyanyi atas tiket "amal", menyebabkan orang muslim khususnya di Malaysia terkeliru. Terkeliru dengan istilah "amal" itu sendiri. Dalam situasi masyarakat yang ramai orang jahil, perilaku seperti ini dianggap mulia dan membanggakan. Dan ia juga dianggap menjadi teladan yang baik, tambahan pula dengan adanya penyertaan daripada orang-orang yang berpengaruh, seperti isteri Perdana Menteri Malaysia. (video diatas).Hal sedemikian telah digambarkan oleh Al-Qur‘an yang tafsirnya:

“Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya?) Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya”. (Surah Faatir: 8)

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga mengkhabarkan, apabila umat Islam tidak berpandukan syarak dalam menjalankan segala urusan tadbir dunia dan akhiratnya, kadang-kadang timbul sangkaan baik mereka terhadap sesuatu amalnya, pada hal adalah sebaliknya. Jika ada suatu amalan itu mengandungi perkara-perkara yang tidak selaras dengan syarak, maka rosak binasalah segala amal usahanya yang mereka sangka baik itu, dan tidak akan mendapat sebarang harga pada hari kiamat kelak, bahkan mereka akan menerima kehinaan dan azab seksa yang seburuk-buruknya. Hal ini telah diceritakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi serugi-rugi amal perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah orang-orang yang kufur, ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada hari kiamat nanti. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka pula kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejekan”. (Surah Al-Kahfi: 103-105)

Jadi jelaslah, sesuatu amalan itu apabila di dalamnya bercampur perkara-perkara mungkar atau maksiat maka sesuatu yang haram itu tidak akan menjadi halal hanya sekadar diselubungi dengan tujuan yang baik atau kerana cita-cita itu murni. Dalam kaedah fiqh juga menjelaskan yang maksudnya:

Di dalam umat ini akan terjadi peristiwa di telan bumi, berubah rupa bentuk dan dilempar dengan batu, Seorang lelaki daripada kalangan kaum muslimin bertanya: “Wahai Rasulullah, bilakah terjadi peristiwa itu?” Baginda bersabda menjawab: “Apabila telah muncul penyanyi-penyanyi perempuan dan alat-alat muzik yang ditiup dan berbagai jenis minuman arak”. (Hadis riwayat Al-Tirmizi)

Ibnu Hajar dalam kitabnya Al-Zawajir telah menjelaskan bahawa orang-orang yang duduk bersama-sama orang minum arak, orang fasik dan duduk dengan ahli hiburan yang haram (seperti majlis tari menari walaupun dengan isteri sendiri), sedangkan dia berkuasa untuk menegah perkara-perkara tersebut atau berkuasa meninggalkan majlis itu adalah suatu dosa besar.

Bila dinilai kembali, dipadankan tafsir Quran dan terjemahan hadis diatas dengan pemimpin kita, ternyata pemimpin kita lebih suka menggalakkan ia agar terus subur mewangi. Bersandarkan kepada istilah "amal",unsur hedonistik dalam "nyanyian amal" "konsert amal" yang jelas haram dan mungkar menjadi tiket yang mulia dan bersih. Inilah antara penyebab yang jahil terus menerus dengan kejahilan mereka. Bukan sekadar tidak memahami makna "amal" itu mengikut acuan Islam, malahan dibantu dengan penafsiran negatif oleh pemimpin yang fasik. Tahniah kepada para mufti kita yang hanya tengok dan berdiam diri. Tahniah kepada pemimpin kita yang sentiasa berusaha menyaingi Yahudi dalam menjauhkan muslim kepada agama Islamnya. Dan adakah mereka ini mengendahkan pengajaran Al-Quran?


(وَمَن يَعۡشُ عَن ذِكۡرِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ نُقَيِّضۡ لَهُ ۥ شَيۡطَـٰنً۬ا فَهُوَ لَهُ ۥ قَرِينٌ۬ (٣٦

”Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya." [Surah Al-Zukhruf : 36.]

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.