Subscribe

Azmin perlu belajar lagi, kata MB S'gor


Ketika Azmin Ali dilihat menyinar di Selangor, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pula melihat naib presiden PKR itu masih perlu belajar banyak perkara dalam politik.

"Saya rasa beliau perlu belajar banyak. Pengalamannya masih terhad pada tahap tertentu. Saya rasa beliau boleh menjadi pelajar yang baik dan patut diberi peluang (untuk itu).
"(Ini kerana) menjadi politikal dan menjadi pengurus merupakan dua perkara yang berbeza," kata Khalid (kanan) ketika ditanya penilaiannya terhadap kepimpinan Azmin sebagai seorang negarawan.

Sebelum itu, Khalid menyebut, PKR memerlukan "imaginasi seorang negarawan" dan lebih daripada kemampuan politik untuk membangunkan parti dan negara.

"Saya rasa parti ada kebijaksanaan itu pada masa ini dan pada masa depan.

"Kita mesti jadikan PKR ada kemampuan ini kerana kejayaan parti melampaui kejayaan dalam politik semata-mata," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di pejabatnya di Shah Alam semalam.

Sementara itu, mengulas sama ada terdapat lobi daripada Azmin untuk menggantikannya sebagai menteri besar di negeri itu, Khalid berkata beliau tidak melihatnya.

"Saya tidak fikir begitu. Saya tidak nampak ada lobi," katanya yang sebelum ini dilihat ditekan pelbagai pihak dalam parti yang mahukan Azmin diberi peranan lebih besar di Selangor.

'Persaingan' antara kedua-dua 'gergasi' PKR itu boleh ditafsirkan dalam beberapa tindakan parti itu, antaranya apabila Azmin dilantik sebagai pengerusi PKR Selangor yang baru menggantikan Khalid pada 27 Jun lalu.

Rombakan itu dibuat selepas desas-desas berlaku 'pergeseran' antara mereka, terutamanya apabila Azmin secara tiba-tiba meletakkan jawatan sebagai pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) - syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri - yang dispekulasikan sebagai protes terhadap Khalid.

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.