Subscribe

Karpal dan Kit Siang Bersama UMNO Menentang Hukum Hudud !!



"Pertama sekali ingin dijelaskan di sini bahawa saya bukan orang yang ahli untuk membicarakan soal hukum hakam agama. Tetapi terpanggil untuk bertanya, apakah hukum hudud akan dilaksanakan sejurus selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negara di sebalik undang-undang sekular yang dituntut oleh segelintir pemimpin pakatan?

Itu adalah ceritanya yang sedikit sebanyak menimbulkan ombak komplikasi di arena meja bulat di antara PAS dan DAP. Perlu di ingat, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam Pakatan Rakyat. Hudud adalah perkaranya.

Namun apa yang pasti ialah sejak kita merdeka, tidak sedikit pun usaha untuk melaksanakan hukum hudud diketengahkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi oleh parti melayu UMNO. Mereka hanya berani mencabar parti Islam PAS melaksanakan hudud di Kelantan sedang mereka tahu hanya dengan menguasai kerajaan pusat sahaja membolehkan hukum hudud dilaksanakan secara efektif.

Mereka(UMNO) mengumpan supaya hudud itu disebut oleh kepimpinan PAS, kemudian mereka mencari Karpal Singh supaya kenyataan bercanggah dapat dihasilkan. Itu kerja mereka. Bukankah lebih baik mereka sendiri yang mencadangkan hukum hudud, daripada menentangnya dengan meneruskan legasi undang-undang penjajah?

Saya percaya sekiranya Pakatan Rakyat memperolehi majoriti mudah pada PRU akan datang, perkara pertama yang akan dibangkitkan oleh UMNO ialah perlaksanaan hukum hudud. Ia tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk memporak-perandakan kerajaan baru yang bakal ditubuhkan dari reformasi rakyat. Ingin saya tegaskan, peluang yang diperolehi UMNO selama 50 tahun sebagai majoriti pemerintahan beragama islam, tidak langsung digunakan bagi mendekati hukum ciptaan Allah, tetapi hanya menggunakan undang-undang ciptaan orang kafir malah, menyalahgunakan undang-undang tersebut demi kepentingan mereka!

Saudara dan saudari sekalian, samada kepimpinan UMNO itu sedar atau tidak, bahawa mereka juga mengaku menganut ugama Islam yang menuntut hukum hudud dilaksanakan ke atas umat Islam. Seraya mereka memberi alasan yang sinonim dengan kebodohan mereka dengan statment lapuk - Malaysia adalah negara berbilang kaum. Padahal seperti yang dikatakan sebentar tadi, hukum hudud bukan terbahagi kepada kaum, tetapi ia hanya diperuntukkan kepada setiap individu yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Tidak kira apa kaum sekalipun asalkan berugama Islam, hukum hudud itu terpakai seadanya.

Masyarakat negara ini mempunyai pelbagai anutan dan kepercayaan agama. Di sebalik perlaksanaan hukum hudud, peruntukkan perundangan untuk penganut agama lain tetap terpelihara. Jadi di manakah masalahnya dalam konteks persetujuan penganut ugama lain sekiranya hudud dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat?

Adalah sebab itu, UMNO tetap dianggap memperjuangkan hanya bangsa melayu, yang menjadikan masalah sosial yang kian teruk melanda negara sebagai masalah sekunder. Apa yang menjadi keutamaan pemerintah hari ini ialah, kemajuan demi kemajuan tanpa diselaraskan dengan keperluan rohani bagi mengatasi masalah sosial. Akhirnya, orang-orang melayu yang berugama Islam menjuarai pesta pembuangan bayi, menjadi penduduk majoriti di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, dan juga menjadi pemenang dalam setiap perlumbaan haram yang dijadualkan setiap malam minggu. Inilah hasil ungkapan keramat 'hidup melayu' yang akhirnya 'hidup segan mati tak mahu' apabila terjebak dengan najis dadah.

Jadi siapakah di antara kita yang ingin menafikan bahawa hukum hudud adalah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan masalah yang melanda umat Islam di negara ini?

Mursyidul Am telah memberikan jawapan yang paling tepat dalam menangani masalah sosial yang dijuarai melayu Islam. Karpal Singh pula langsung tidak berkaitan untuk menolak hukum hudud, begitu juga dengan Lim Kit Siang. Melainkan Karpal dan Kit Siang berugama Islam, mereka berdua boleh bersepakat dengan kepimpinan UMNO untuk menjadi orang-orang Islam yang menentang hukum hudud.

Jika 50 tahun lamanya masa yang diberikan untuk memartabatkan agama Islam dengan perlaksanaan hukum hudud, tidak berjaya dilakukan oleh UMNO. Maka setiap umat Islam yang inginkan masa depan anak-anak mereka bercambah melalui didikan Islam dan membesar cara Islam sebenar, berikanlah peluang kepada Pakatan Rakyat untuk membuka ruang transformasi ke jalan serta cara hidup yang diredhai Allah. Kita sayangkan anak-anak, kita sayangkan Islam, kita cintakan Rasulullah dan kita cintakan Allah, justeru kita wajar menyokong perjuangan menegakkan hukum Allah. Pastinya umat dan keturunan kita selamat.

Untuk bertindak adil dan saksama, hukum hudud hanya akan berkuat-kuasa setelah semua penganut agama lain memahami konteks-konteks dalam perlaksanaan hukum hudud. Perbincangan demi perlaksanaan bukanlah bermakna meminta persetujuan, ini kerana hudud itu satu arahan, bukan satu tawaran.

Mungkin setelah kefahaman terhadap hukum hudud ini diperkenalkan dengan sistem penerangan yang terbaik seperti melalui media perdana yang ketika itu dikuasai Pakatan Rakyat, melalui pembelajaran di sekolah, kolej dan universiti, tidak mustahil ianya boleh dilaksanakan malah disokong oleh penganut agama lain kerana hebatnya Islam itu dan adilnya Islam itu, agama pencipta sekalian alam. Setiap dari kita harus percaya jalan Allah, nescaya itulah satu-satunya sumber kebangkitan Islam akhir zaman. Semoga nasib anak-anak kita selepas era kehidupan kita, lebih selamat dari segala kepincangan dunia yang telah kita lalui.

Persetankan Karpal Singh, persetankan Kit Siang. Mereka adalah berkecuali dalam peruntukkan hukum hudud dan mereka mempunyai peruntukkan undang-undang khas sebagai orang bukan Islam yang menyokong kerajaan Islam. Tidaklah saya pasti kiranya ada ahli UMNO yang inginkan peruntukkan berkecuali dari hukum hudud.

Akhir kata, saya sekali lagi memohon ampun sekiranya terdapat kesilapan maklumat di atas kejahilan saya dalam bidang agama. Harap diperbetulkan jika tersalah tafsiran kerana ini bicara agama, adalah amat penting untuk memastikan penyampaian di atas adalah benar.

Takbir !!

Oleh: edyesdotcom

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.