Subscribe

BTN : Brainwash The Nation Program


Saya pernah menulis mengenai BTN di sini dulu. Dan saya dapat pelbagai respon daripada pembaca di sini. Kelmarin, seorang pegawai BTN dilaporkan memberikan gelaran rakyat berbangsa Cina dan India masing-masing sebagai 'si mata sepet' dan 'si kaki botol' dalam induksi dalaman Puteri Umno Malaysia di PWTC.

Begini. Jika disoroti sejarah BTN yang ditubuhkan pada tahun 1975, BTN sebenarnya mempunyai peranan yang cukup penting dalam membina negara dari sudut moral dan jatidiri rakyatnya.Pada tahun 1970-an, semasa program belia, fungsi Biro Tatanegara (BTN) ketika itu ialah mengawasi kegiatan pertubuhan mahasiswa dan belia bagi memastikan mereka bertindak selaras dengan kehendak dan aspirasi negara.




Pada tahun 1981, selaras dengan keputusan Kerajaan, fungsi BTN telah diperluaskan untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara serta meningkatkan semangat keIslaman di kalangan semua lapisan masyarakat termasuk belia, pelajar, kakitangan kerajaan dan sektor swasta.


Seterusnya pada November 1986, aktiviti BTN diperjelas dan diperkembangkan kepada melatih pemimpin dan bakal pemimpin supaya mereka mendukung usaha-usaha pembangunan dalam beberapa bidang seperti agama, sosial, politik, ekonomi dan pendidikan.


Pada tahun 1992, Jawatankuasa Penyelaras Latihan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri telah memutuskan BTN melaksanakan Program Bina Negara yang melibatkan penganjuran kursus, seminar dan aktiviti yang bercirikan latihan perubahan sikap. Program Bina Negara telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri serentak dengan Kursus Bina Negara 1 yang diadakan pada 1 hingga 4 Januari 1992.


Namun pada hari ini,semuanya sudah berubah. Banyak aduan daripada peserta yang menyertai kursus BTN (terutamanya yang berketurunan bangsa minoriti) bahawa terdapat jurulatih BTN yang menyebarkan idealogi yang bersifat perkauman, hinggakan ke tahap menimbulkan kebencian terhadap kaum-kaum minoriti di Malaysia. Dan modul-modul BTN pula dilihat sebagai alat untuk menutup agenda sebenar BTN iaitu menarik pegawai awam bersama dengan kerajaan UMNO Barisan Nasional. Maka tidak hairan jika hari ini pegawai BTN sendiri berani menggelarkan orang Cina sebagai si mata sepet' dan orang India sebagai 'si kaki botol' dalam induksi dalaman Puteri Umno Malaysia di PWTC.


Walaupun ditegaskan antara objektif utamanya adalah untuk melahirkan penjawat awam yang patriotik, namun perjalanan program yang diisi dengan slot-slot ceramah banyak digunakan sebagai pentas untuk memperburukkan parti yang melawan kerajaan seperti Pakatan Rakyat. Suatu ketika dahulu Salahuddin Ayub pernah mendedahkan bahawa beliau mendengar sendiri penceramah dalam latihan Biro Tatanegara (BTN) memfitnahkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai anasir subversif dan pengkhianat negara.


“Saya mendengar sendiri penceramahnya menuduh Tuan Guru, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan (Lim) Kit Siang sebagai sebagai anasir subversif dan pengkhianat negara,” kata beliau.


Dengan sebab-sebab inilah BTN tidak lagi relevan untuk hari ini. Biro Tata Negara (BTN) hanyalah tinggal pada nama kerana modul dan ceramah didalamnya lebih kepada "Brainwash The Nation Program". Tiada lagi objektif "memupuk patritisme di kalangan rakyat" kerana yang ada adalah "memperburukkan kaum selain Melayu dan Pakatan Pembangkang".






KUALA LUMPUR, 28 Sept: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menganggap api perkauman yang ditiupkan Biro Tata Negara (BTN) semalam dengan gelaran menghina kaum Cina dan India amat menjijikkan.

Anggapan itu merujuk kepada ucapan seorang pegawai BTN yang dilaporkan memberikan gelaran rakyat berbangsa Cina dan India masing-masing sebagai 'si mata sepet' dan 'si kaki botol' dalam induksi dalaman Puteri Umno Malaysia di PWTC.


"Membuat suatu analogi yang begitu menjijikkan, itulah wajah sebenar Umno. Mereka akan jadi lebih rasis, mereka akan jadi lebih ekstrem dalam memainkan isu perkauman," ujarnya di Pejabat Agung PAS.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, insiden terbaru yang dialporkan itu seakan mengulangi tindakan rasis Datuk Nasir Safar, pegawai khas bagi Perdana Menteri pada Konvensyen 1Malaysia di Melaka.


Nasir pada 2 Februari dulu dilaporkan mencemuh rakyat berbangsa Cina sebagai 'wanita jual tubuh', manakala kaum India dihina sebagai 'pengemis' di tanah air.


"Satu lagi kesalahan berulang, tidak cukup yang dilakukan oleh Datuk Nasir Safar, seorang pegawai khas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," ujarnya.


Baginya, slogan 1Malaysia yang dipopularkan oleh Najib, Presiden Umno merangkap Pengerusi BN sebelum ini sekadar untuk menutup wajah sebenar Umno.


"Mereka sebenarnya telah terlalu benci kepada orang Cina dan India dalam negara kita, cuma mereka cuba sembunyikan perasaan mereka itu di sebalik 1Malaysia.


"Itulah wajah sebenar mereka, mereka tidak pernah menghilangkan warna diri mereka yang sebenar," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat sama ada Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain kian sedar dengan bahaya politik perkauman yang ditiupkan oleh Umno dan BTN itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.