Subscribe

PAS : Hudud akan tetap dilaksanakan.



Macam ni. PAS akan tetap laksanakan Hudud. Kerana itu perjuangan PAS dan itu matlamat PAS dari dulu hingga kini. Kita kena faham.

Andai ditakdirkan PAS memerintah bersama DAP dan PKR, tidak semestinya hudud terus dijalankan. Hari ni perintah, hari ni jalan hudud. Ini tidak betul. Hudud sudah tercemar dengan teruk hasil usaha jahat UMNO Barisan Nasional dalam memomokkan Hudud kepada masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini. Oleh itu,pelaksanaan hudud memerlukan masa. Saya jamin, setelah PR bersama memerintah, slot-slot dan program keagamaan akan diperhebatkan di media media massa, sama ada media elektronik dan media cetak khususnya hebahan memurnikan balik "hudud".

Di saat itu,penerangan secara syumul dan komprehensif kepada masyarakat yang telah banyak termakan momokan "hantunya hudud" oleh UMNO akan dimurnikan semula melalui program-program ini. Sebagai contoh, muka muka banned seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Harun Din, Tuan Guru Haji Hadi Awang, Tuan Ibrahim Tuan Man, akan muncul di kaca televisyen dalam menjelaskan kepada masyarakat dengan sebaiknya mengenai hudud itu sendiri. Tidak cukup dengan mereka, usaha dakwah ini akan diperhebat dan dilipatgandakan lagi oleh penceramah agama yang betul-betul berjuang pada landasan Islam tanpa ada pengaruh dan sekatan pemerintah UMNO seperti apa yang sedang berlaku pada hari ini.

Di sekolah-sekolah pula, sukatan pelajar agama akan lebih diperhebatkan agar anak-anak kecil di sekolah rendah sudah terdedah dengan perlembagaan Islam yang sebenarnya. Bila mereka di sekolah menengah, satu kerangka perlembagaan Islam sedikit sebanyak telah difahami. Jadi pemurnian semula bermula dan berlangsung di semua peringkat. Maka sudah pasti usaha ini memerlukan masa, dan tenaga yang mencukupi,agar penerimaaan hudud nanti adalah menyeluruh kefahamannya, dan difahami dengan sebaiknya.Dan setelah itu, apabila "Hudud" yang sebenar unjuran Islam difahami secara menyeluruh oleh orang Islam sendiri dan orang bukan Islam, maka barulah PAS akan laksanakan hudud.

Zulkifli Noordin yang konon berjuang untuk Islam sebenarnya sudah tahu ini kaedahnya, sudah tahu mengislamisasi masyarakat itu perkara yang didahulukan, kerana seorang peguam tidak mungkin sebodoh itu,tetapi mengapa YB Zul sengaja mempolemikkan isu hudud ini? Tidak lain dan tidak bukan, sebabnya adalah kerana Zulkifli Nordin ini seorang yang berjiwa busuk dan berniat jahat. Sengaja kondem gerakan Islam supaya orang Islam membenci gerakan Islam yang dibawa PAS. Zulkifli Nordin dengan pemimpin UMNO tiada bezanya. Sama sahaja.

Hudud akan tetap dilaksanakan.Bila tiba saat dan waktunya.

Semoga isu yang ditimbulkan ini difahami sebaiknya.

Hudud tidak semestinya dilaksana – Pas

KOTA BHARU 2 Sept. – Pas mengakui hukum hudud tidak semestinya dilaksanakan sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan memerintah negara.

Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas dan parti-parti dalam pakatan pembangkang pada peringkat ini telah bersetuju untuk tidak membincangkan soal pelaksanaan hukum hudud yang menjadi agenda perjuangan parti itu selama ini.

Malah, katanya, Pas dan rakan-rakannya dalam pakatan itu juga tidak akan ‘mengusik’ kerangka Perlembagaan Persekutuan walaupun ada pandangan yang mengatakan ia perlu dipinda sekiranya Pas hendak melaksanakan syariat Islam.

“Tidak semestinya kita akan laksanakan, kita melihat kepada persediaan dan persetujuan masyarakat.

“Kita ada persetujuan untuk peringkat ini kita tidak bincangkan soal hudud. Misi kita yang utama ialah untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya.

“Bagi kita secara personalnya, perjuangan kita adalah untuk menegakkan syiar (Islam), tetapi kita tidak akan memaksakan hasrat ini kepada masyarakat.

“Bila masyarakat sudah bersedia dengan penjelasan, kefahaman, pada masa itu kita akan laksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan yang pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.

Ini kerana parti-parti dalam pakatan itu, termasuk Pas terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan perlembagaan sedia ada.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendedahkan perkara itu menjelaskan, dasar itu dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk Pas.

Baru-baru ini, Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa Pas tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini dan perjanjian antara parti pakatan pembangkang yang berpegang teguh pada Perlembagaan Negara.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Dakwah negeri berkata, cita-cita Pas untuk menegakkan syariat dan sebuah negara Islam tidak pernah berubah tetapi pelaksanaannya bergantung kepada persediaan masyarakat yang juga pengundi.

“Rakyat Malaysia iaitu pengundi, walaupun pilih Pakatan Rakyat tetapi mereka belum bersedia untuk menerima pelaksanaan (hukum hudud) kita tak jadi masalah.

“Selama ini kita bagi tahu nak laksanakan negara Islam pun bukan nak memaksa, tapi dilaksanakan dengan persetujuan pengundi, itu paling penting. Sebab, bila rakyat setuju soal perlembagaan sekular tak berbangkit dah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.