Subscribe

Hujahan Balas Komentar : Mengapa Mohd Nor Deris ?




Ramai yang memberi respon pada artikel saya, 10 Sebab Mengapa Mohd Noor Deris Di Kecam Blogger PAS, yang saya huraikan satu persatu. Pertama sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada para sahabat yang sudi komen dan memberikan respon pada artikel tersebut. Mengenai segala pandangan dan kritikan, saya terima seadanya. Dan di sini saya kumpulkan beberapa persoalan daripada sahabat, yang inginkan penjelasan (saya kira mereka masih tidak memahami perkara ini).

Pertama, mengenai tujuan saya membuat artikel tersebut.

Saya ingin menjelaskan sekali lagi, bahawa Mohd Noor Deris ini telah lama menyebarkan fahaman bahawa PAS bersahabat dengan DAP & PKR yang dituduh sebagai Ahzab Malaysia. Dan ini bukan kali pertama dia berkata demikian, dan ini bukan kali pertama dia biadap sedemikian, Mohd Noor Deris telah lama menghina PAS sejak didalam kuliah pengajian Universiti Malaya Nilam Puri lagi, serta didalam setiap ceramahnya dimana-mana sekalipun, hatta sehingga dia telah menulis satu buku, " Ahzab Malaysia" dan serentak dengan itu, menimbulkan ketidakpuasan hati ramai pihak.

Dan seperti yang saya katakan, saya telah lama mengikuti perkembangan Mohd Noor Deris di FB sejak kes ini belum berlaku lagi. Bukan berniat untuk menghentam peribadi Mohd Noor Deris semata. Jangan salah faham. Dan bila perkara ini berlaku, ia menjadi batu loncatan kepada saya untuk menjelaskan dan membongkar kepada mereka yang belum mengenali Mohd Noor Deris ini. Bukti Video yang dirakam, serta hujahan balasnya berhubung berita kebiadapannya di Harakah cukup untuk pembaca dan penonton menilai sendiri siapa Mohd Noor Deris ini.

Kedua, mengenai komen sahabat yang mendakwa bahawa PAS pernah mengatakan UMNO kafir, sebenarnya adalah satu retorik semata-mata.

Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali. Ramai yang membawakan bukti bahawa KONONNYA Tuan Guru Haji Hadi pernah mengatakan UMNO Kafir. Tetapi bukti itu tiada sebenarnya dan adalah sesuatu yang diada-adakan.

Apa yang pasti, PAS menyatakan batas-batas antara iman dan kufur. Itu sahaja. Haji Hadi sendiri ada mengarang sebuah buku tentang Aqidah Muslim. Dan Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kitab Mustika Hadis. Jilid yang pertama yang menyatakan batas-batas Iman dan Kufur.Di sana, ada dinyatakan ada perkara-perkara yang boleh membatalkan iman seseorang, yang membatalkan Islam seseorang dan mungkin mereka yang melakukan secara jahil adalah berdosa. Dan PAS tidak boleh menentukan siapa-siapa jadi kafir melainkan melalui Badan Kehakiman secara Islam yang sah. Dalam Islam ada hukum dan undang-undang orang yang murtad. Dengan sebab itulah, mesti melalui Badan Kehakiman Islam yang umat Islam kena faham. Apa yang PAS sampaikan adalah secara ilmu, atau lebih tepat secara akademik.

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Dia mengatakan antara perkara-perkara yang boleh menjebakkan seseorang itu menjadi kufur dan menjadi syirik. Maka ciri-ciri yang boleh menjurus kepada perkara sedemikian disampaikan dengan jelas. Namun pun demikian, tiada dakwaan kepada pihak tertentu ia menjadi kafir. Hanya mungkin pihak yang TERASA (UMNO khususnya) beranggapan dikafirkan memandangkan ciri-ciri perjuangan Nasionalis parti dan apa yang telah dilakukan UMNO banyak menjurus kearah itu.

PAS tidak menafikan ada di kalangan masyarakat kita yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, yang menghina hukum hudud, yang menghina hukum qisas. Dan ada di kalangan pemimpin kerajaan yang tidak perlu saya sebut namanya yang mengatakan sekiranya dilaksanakan hukum hudud akan jadi huru-hara.Jika laksanakan hukum Islam ramai orang Islam yang kudung (potong tangan). Ini hukum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran. Mungkin mereka mengatakan demikian kerana jahil dan jika kerana jahil dia berdosa kerana tidak belajar. Tetapi, jika dia kata dengan pengetahuan dia, dengan tahu dia sebagai seorang Islam dan tiba-tiba dia menafikan hukum Allah. Ini boleh merosakkan aqidah Islam dia. Dan menjadi tanggungjawab PAS untuk menyampaikan. Dan akhirnya, PAS telah berjaya menyampaikan mesej Islam sehingga hari ini.

Ketiga; Mengapa dengan DAP?

Sebenarnya perkara ini telah lama saya ulas di posting yang sudah-sudah. Ringkasnya begini,pada saya Umno tidak akan kata dia tidak mahu laksanakan Islam. Diaa akan kata, dia pun mahu Islam dan mahu laksana apa yang PAS mahu malah apa yang Tuhan mahu. Kalau PAS minta dia laksana Islam, ia akan sanggup tetapi sekadar sanggup saja. Lantaran apakah DAP akan terima negara Islam? Benar, mustahil DAP dapat memenuhi cita-cita PAS. Maka mengapa PAS lebih suka kepada DAP dari Umno sedang Umno itu adalah orang Islam?

PAS tahu apa yang ada oada DAP dan dalam masa yang sama PAS tahu siapa Umno.DAP tidak tahu Islam dan kerana itu ia tidak bercakap tentang Islam. Umno pula tahu Islam tetapi tetapi sekadar tahu tetapi tidak laksana apa yang Islam suruh.

UMNO juga pernah tawar kerjasama dengan PAS atas dasar perpaduan Melayu yang dikatakan goyah. Persoalannya, Melayu goyah atau Melayu UMNO yang goyah? Dan adakah senario Melayu yang berada pada berlainan parti dikira berpecah? Janganlah sempit sangat.

Berbalik kepada DAP,Berkawan dengan DAP,PAS bebas sampaikan dakwah. Jika UMNO? Sorry to say. Nak dakwah apa pada Umno? Bukankah UMNO kata dia pun tahu berdakwah biarpun dalam masa yang sama menentang dakwah PAS.

Pada zaman Rasulullah SAW. Musyirikin adalah penentang utama Rasulah SAW dan tidak menganut agama tauhid. Di samping itu adalah ahlil kitab yang menganut agama tauhid. Akhirnya yang menerima dakwah Rasulullah ia musyrikin tadi.

Sementara Ahli kitab yang tahu Allah, tahu tauhid dan tahu nabi akhir zaman adalah Nabi Muhammad SAW, terus tolak baginda dan dakwahnya.PAS bertemu hal yang sama. Ia bersama DAP yang musyrikin dan Umno yang tahu agama tauhid. DAP yang musyrikin mahu berkawan dengan PAS. Umno yang Islam mahu menumbang kerajaan PAS. DAP belum terima perjuangan PAS tetapi ia berkawan dengan PAS. Umno mahu telan PAS.

Siapa kata mustahil musyrikin DAP terima Islam? Ia mungkin terima dan mungkin tidak. Kalau musyrikin Mekah terima Islam, tidak mustahil musyrikin yang berkawan dengan PAS jadi seperti musyrikin Mekah dulu. Tetapi ahlil Kitab dari dulu tidak berubah.

Keempat; Menyatakan Pendirian.

Berhubung kes tersebut, saya tetap berpendirian, yang Mohd Nor Deris tetap tidak beradab. Menerima kunjungan Tuan Guru Nik Aziz sedemikian rupa, tanpa belum sempat duduk, terus diasak bertalu-talu dengan kurang ajar, tetap tidak boleh terima. Layanan seorang rakyat kepada Menteri Besar bukan sebiadap Mohd Noor Deris. Dan tindakan Tuan Guru Nik Aziz, tetap dikira berhikmah dengan seorang yang tidak beradab sedemikian rupa.

Sudah saya jelaskan, kebiadapan Ibnu Soyyad terhadap Rasullah SAW dan Rasullah SAW melayan Ibnu Soyyad sedemikian rupa juga berhikmah. Hujahan balas Rasullah kepada Ibnu Soyyad dengan "CIS" adalah tidak keterlaluan kepada manusia seperti Ibnu Soyyad. Adakah kita ingin mengatakan bahawa Rasullah biadap bila berhadapan dengan situasi itu? Tidak cukup dengan itu, seorang lelaki jaminan Syurga (Umar Al-Khattab) juga berniat memenggal kepala budak tersebut walaupun ia akhirnya dilarang Rasullah. Apakah kita ingin mengatakan Umar Al-Khattab ini biadap di depan Rasullah kerana menawarkan diri membunuh seorang budak di hadapan Rasullah?

Kesimpulannya, Tuan Guru Nik Aziz seorang manusia biasa. Ada perasaan amarah terhadap manusia biadap seperti Mohd Noor Deris. Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak mahu bersalam sekalipun dengan orang begitu, maka memang layanan itu layak sekiranya dia Mohd Noor Deris. Siapa tidak kenal Mohd Noor Deris? Ulama UMNO yang saban hari memaki hamun Nik Aziz dan perjuangan Islam PAS dalam setiap ceramahnya, tetapi tidak mencari jalan membetulkan UMNO yang makin bobrok.

Akhlak UMNO yang semakin tenat seolah dilihat mulia, dilihat sebagai jihad di mata Mohd Nor Deris. Perkara yang patut dibetulkan dan patut diubah didiamkan dan disokong.

Anda sebagai rakyat dan penonton, mampu menilai dan mengalisa atas setiap berlaku.

Wassalam

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.