Subscribe

Isu Non Muslim Membaca Terjemahan al-Quran : Pemimpin UMNO Berwajah Hipokrit



Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin memberikan ulasan berkaitan isu yang sedang dihebohkan oleh media massa milik UMNO pada hari ini berkenaan seorang perwakilan non Muslim yang membaca terjemahan al-Quran di Kongress Tahunan PKR yang lepas. Terjemahan yang kurang tepat yang dibaca oleh perwakilan tersebut telah dijadikan isu besar oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan dianggap sebagai satu perbuatan yang telah menghina kesucian Islam.

DPPNK menyambut baik hasrat golongan non Muslim untuk memetik terjemahan ayat-ayat suci al-Quran di dalam ucapan mereka. Ini membuktikan kebenaran al-Quran diakui oleh mereka sendiri dan diharapkan perbuatan ini semakin mendekatkan mereka untuk mendalami ayat-ayat suci Al-Quran sekaligus mendekati Islam sebagai agama yang benar yang datangnya daripada Allah SWT.

DPPNK bagaimanapun kesal dengan sikap pimpinan UMNO yang seolah-olah menghukum dengan mutlak bahawa bahawa non muslim tidak boleh membaca ayat-ayat suci al-Quran mahupun terjemahannya. Hakikatnya, samada muslim ataupun tidak, adalah dilarang memetik dengan salah terjemahan ayat-ayat suci al-Quran.

Isu perwakilan PKR tersebut yang membaca ayat-ayat suci al-Quran sepatutnya diselesaikan dengan cara yang baik agar tidak menjauhkan non muslim daripada Islam. Mereka perlu dibimbing di dalam memetik ayat-ayat suci al-Quran dan bukannya dengan menjatuhkan hukuman secara mutlak agar tidak membaca al-Quran.

DPPNK ingin mengajukan pertanyaan kepada pimpinan UMNO yang kononnya hebat memperjuangkan kesucian Islam, di manakah mereka pada saat tafsiran al-Quran diselewengkan oleh seorang Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di program Wacana Perdana anjuaran Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu pada 10 Julai 2010 yang lepas? Bahkan apabila ditegur oleh bekas Mufti Perlis yang turut menjadi panelis, beliau masih lagi mempertahankan penyelewengan tersebut dengan alas an perbezaan pandangan ulama.

Di manakah cerdik pandai UMNO ketika isteri Perdana Menteri sendiri menjadi penaung kepada Islamic Fashion Festival yang menampilkan fesyen yang tidak menutup aurat dan menayangkan tulisan nama Muhammad dalam posisi yang terbalik? Tidakkah ini sebesar-besar penghinaan terhadap Islam?

Di manakah ulama-ulama UMNO pada ketika media massa menayangkan gambar isteri Perdana Menteri membaca al-Quran di majlis khatam al-Quran di bulan Ramadhan yang lepas dengan memakai pakaian yang tidak menutup aurat? Adakah ini halal di sisi ulama-ulama UMNO?

Perbuatan-perbuatan tersebut jelas sekali merupakan satu kesilapan dan penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan lebih teruk lagi dilakukan oleh mereka yang beragama Islam dan bertaraf pimpinan? Justeru, DPPNK menganggap UMNO hanyalah bersifat hipokrit di dalam isu ini dan sama sekali tidak berhasrat untuk membela kesucian al-Quran dan Islam itu sendiri.


Yang Berhormat Haji Abdul Latiff bin Abdul Rahman

Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.



Bertarikh : 2 Disember 2010 / 25 Zulhijjah 1431 "

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.