Subscribe

Cantas Mencantas : Layakkan Tun Mahathir Untuk Menasihat?


Sebenarnya isu budaya cantas-mencantas ini telah lama diungkit dalam UMNO. Najib selaku Presiden UMNO sendiri,pernah mengeluarkan satu garis panduan agar semua pemimpin BN menjauhi perbuatan cantas-mencantas bagi menjamin kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang. Kini Tun Mahathir pula menyuarakan perkara yang sama berhubung tabiat buruk itu dikalangan pemimpin UMNO Kedah.

Apapun, dari segi pandangan rakyat marhaen/pengundi kepada UMNO dan BN khususnya, fenomena ini sudah boleh menjelaskan dan menginterpretasi bagaimana politik BN itu berjalan; kebanyakan pemimpinnya rata riti mempunyai sikap yang sama. Tidak kira siapa, bila, dan apa suasananya. Yang ketaranya pula adalah; apabila melibatkan pemilihan pucuk pimpinan (dari serendah-rendah cawangan hinggalah ke pucuk pimpinan tertinggi). cakap belakang, tikam belakang, tuduh-menuduh antara satu sama lain, mereka-reka cerita dan banyak lagi.

Kes Khairy Jamaluddin vs Mukhriz Mahathir? Kes PakLah vs Mahathir? Siapa yang lupa? Pi mai Pi mai, tang tu juga. Orang itu juga. Semua sama sahaja.

Sementelaah pula, tokoh yang terkenal dengan budaya cantas-mencantas ini yang cuba menasihat pemimpin lain. Siapa tidak kenal Tun Dr Mahathir? Seorang yang ingin menguasai UMNO secara mutlak dengan mencantas sesiapa sahaja yang dikira boleh mengganggu gugat cita-citanya. Sebarang penentangnya di dalam UMNO dicantas dan disingkir. Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim semuanya dicantas, disingkir, malah dipenjarakan. Dan betapa ramai pemimpin UMNO persalahkan Mahathir;

"Tun (Dr. Mahathir) tidak sepatutnya membuat kritikan terhadap soal pencalonan Presiden, kuota, undi bonus, dan kritikan terhadap Majlis Tertinggi. Sistem kuota misalnya adalah bermula sejak zaman Tun sebagai Presiden Umno lagi."
-Datuk Ismail Sabri Yaakob, 5 April 2008

"Pada saya, saya setuju dengan Zam (bekas Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin) kata...sebenarnya Umno ni kuat tapi yang menyebabkan Umno ni jadi cedera sekarang ni (ialah) Tun Mahathir."
-Datuk Seri Nazri Aziz, 4 April 2008

"Saya rasa elok juga Tun (Dr. Mahathir) lebih berhati-hati dalam kenyataan kerana kita tidak mahu kalau dulu di bawah kepimpinannya Umno mati, Umno musnah, dibatalkan pendaftaran dan mati dalam bentuk yang lain selepas ini. Saya bimbang Umno semakin lemas dan kelemasan itu bermula pada zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir yang mana Umno diharamkan."
-Datuk Ahmad Shabery Cheek, 4 April 2008

"Maka itu sumbangannya (Dr. Mahathir) terhadap menghakis keyakinan rakyat berbilang kaum (terhadap BN) adalah mengatasi pengaruh blog dan laman web... kata-katanya berbisa dan beracun."
-Datuk Seri Zainuddin Maidin, 31 Mac 2008

Rasanya, baik Tun Mahathir lupakan sahaja. Penyakit ini bukan ditanggung oleh seorang dua, bukan menjangkiti ketua cawangan sahaja, malah dari sekecik-kecik hinggalah sebesar-besar pemimpin termasuk Tun Mahathir sendiri.Ia telah menjadi kudis membengkak hingga ke usus.

Mahu UMNO berubah, bukan hanya terletak di "budaya cantas mencantas" sahaja. Tetapi perubahan secara total termasuk dasar,prinsip UMNO itu sendiri. Itupun jika keredhaan Allah swt yang dicari, dan "Fastabiqul Khairat" (berlumba-lumba buat kebaikan) yang dikejari.

Namun mampukah UMNO meninggalkan nama, kedudukan, pangkat dan jawatan untuk survival politik?

Rasanya tidak. Lupakan..


Hapuskan tabiat mencantas

KUBANG PASU 12 Jan. - Tabiat cantas mencantas yang berlaku dalam UMNO Kedah perlu dihapuskan sekiranya Barisan Nasional (BN) mahu menawan semula negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tabiat itu memang berlaku dan ia boleh menjadi penghalang kepada cita-cita BN untuk merampas semula Kedah yang jatuh ke tangan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008.

Menurut bekas Presiden UMNO itu, beliau berkeyakinan perubahan dalam kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Kedah seperti yang diumumkan baru-baru ini boleh membawa kemenangan kepada BN dengan syarat sesetengah pemimpin UMNO menghentikan kelakuan yang tidak baik itu.

"Insya-Allah boleh (menang) kalau tidak ada cantas mencantas, memang boleh menang (pilihan raya).

"Yang jadi masalah ialah bila orang lain naik, yang tidak naik dia cantas. Bila yang tak naik ini naik, orang lain pula cantas, jadi tidak boleh menang sampai bila-bila pun," katanya selepas merasmikan prapelancaran sambutan Jubli Perak GiatMara di GiatMara Prima Kubang Pasu di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pengerusi GiatMara, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Meriyam Abdul Majid.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada perubahan kepimpinan UMNO Kedah yang diumumkan baru-baru ini mampu memberi kemenangan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Melalui rombakan tersebut, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dilantik sebagai Pengerusi dan Datuk Mukhriz Mahathir dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Menjawab satu soalan Dr. Mahathir menegaskan, beliau tidak pernah campur tangan dalam menentukan kedudukan anaknya, Mukhriz dalam politik negara.

Malah katanya, semasa menjadi Perdana Menteri, beliau melarang anak-anaknya daripada terlibat dalam politik kerana bimbang ia akan disalah tafsir oleh rakyat.

"Saya tak campur tangan sama sekali berkenaan dengan nasib baik buruk anak saya, daripada dulu pun saya tidak pernah campur tangan. Semasa jadi perdana menteri, saya larang anak saya daripada terlibat dalam politik, takut orang kata kerana bapa dia perdana menteri.

"Sekarang ini bapa dia tak jadi perdana menteri, masih lagi bapa tak ada kacau. Ini urusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin UMNO yang menentukan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.