Subscribe

Dewan Negeri Selangor Siap Sedia Pinda Perlembagaan


SHAH ALAM 11 JAN : Pakar Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata pihaknya sudah selesai memberikan pandangan dan nasihat serta kesan-kesan pindaan dalam draf yang disediakan Kerajaan Negeri Selangor bagi meminda perlembagaan negeri itu.
Aziz Bari ketika dihubungi Tv Selangor berkata, kerajaan negeri menyediakan draf pindaan dan Khalid sebagai Menteri Besar akan menjelaskan kepada Dewan mengenai kronologi dan isu sebenar dalam krisis pelantikan tersebut.

Sebelum itu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim Khalid dilaporkan berkata, kerajaan negeri melantik Aziz Bari yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa dan peguam Datuk Param Cumaraswamy, bagi menyediakan draf pindaan Seksyen 52 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Ujar Khalid, ia membabitkan cadangan untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kepada Sultan dan Menteri Besar, kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang.

"Menteri Besar juga akan menerangkan bagaimana kerajaan negeri menangani isu ini setakat ini serta menjelaskan kekeliruan supaya ahli Dewan dapat faham kedudukan sebenar.

"Kita cuma diminta memberikan nasihat dan menyediakan draf pindaan sahaja, yang lain itu merupakan keputusan dan pendekatan politik yang diambil oleh kerajaan negeri dan saya tidak campur tangan dan saya pun tidak tahu kerana perkara itu berada di dalam pengetahuan dan kebijaksanaan kerajaan negeri," jelasnya.

Cuma jelas Aziz selepas itu, mungkin ahli Dewan akan bertanyakan soalan dan mungkin usul tertentu yang akan dibawa oleh ahli Dewan dan terpulang kepada Dewan untuk menerima atau tidak.

Dalam kenyataan pejabat Speaker DUN Selangor hari ini, Datuk Teng Chang Khim telah mengarahkan setiausaha DUN supaya memaklumkan perkara itu kepada semua ADUN Selangor.

Sidang 24 Januari ini nanti diadakan mengikut Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.

Menurut kenyataan itu, Speaker memanggil mesyuarat tersebut selepas berpuashati dengan alasan yang dikemukakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, bahawa kepentingan awam berkehendakkan mesyuarat tersebut diadakan lebih awal dari tarikh DUN ditangguhkan.


No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.