Subscribe

Hukum bunuh pengkritik sultan : GAPS dan PERKASA Sesat, Terseleweng Akidah!!

"Kepercayaan sesetengah pihak bahawa haram mengkritik atau berbeza pendapat dengan sultan seakan menyamakan kedudukan sultan dan raja Melayu dengan para nabi as sedang para al-khulafa al-rasyidin, iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali yang jauh lebih mulia daripada sultan-sultan pun dikritik dan dibantah oleh rakyat mereka. Namun mereka menjawab dengan penuh amanah, wibawa dan mereka tidak membunuh pengkritik mereka. Bahkan berterima kasih." - Dr Mohd Asri


Sekali lagi pendakwah bebas yang juga bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin terpaksa menyuarakan teguran walaupun mungkin pahit bagi sesetengah pihak.

Kali ini ialah tegurannya terhadap beberapa pihak yang mencadangkan supaya pengkritik sultan, dibunuh.

Walaupun beliau tidak menyebut secara khusus individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan agar pengkritik sultan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, pada 3 Januari lalu, dua NGO ada membuat cadangan itu.

Shuhaimi Shafiei


Ia ialah Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mahu Adun Seri Muda Selangor dari Parti Keadilan Rakyat (PKR),Shuhaimi Shafiei dihukum gantung kerana didakwa cuba mencetuskan “peperangan ke atas Raja-raja Melayu”.

Shuhaimi dikatakan antara lain, dalam blognya menulis – jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor tidak memerlukan perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.

Sehubungan itu, dalam entri terbaharu drmaza.com, tanpa merujuk secara khusus isu berkenaan dan tidak menyebut langsung nama Sultan Selangor, Dr Mohd Asri mencatatkan bahawa mana-mana sultan bukanlah nabi yang maksum sehingga tidak boleh dikritik.

Kepercayaan sesetengah pihak bahawa haram mengkritik atau berbeza pendapat dengan sultan seakan menyamakan kedudukan sultan dan raja Melayu dengan para nabi as sedang para al-khulafa al-rasyidin, iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali yang jauh lebih mulia daripada sultan-sultan pun dikritik dan dibantah oleh rakyat mereka.

“Namun mereka menjawab dengan penuh amanah, wibawa dan mereka tidak membunuh pengkritik mereka. Bahkan berterima kasih,”
catat Dr Mohd Asri.

Katanya, walaupun isu itu ada kaitan dengan politik kepartian tertentu, beliau mengulas cadangan menjatuhkan hukuman bunuh berkenaan dari sudut hukum Islam.

Catat beliau, nyawa dalam Islam amat berharga dan haram ditumpahkan tanpa sebab yang sah. Justeru, pada beliau, cadangan itu bererti menggalakkan pemerintah membunuh orang tanpa sebab yang diizinkan oleh Allah dan Rasul sedangkan dosa membunuh dalam Islam lebih besar berbanding dosa zina, arak dan judi.

Beliau menyifatkan cadangan itu lebih hina dan besar dosanya berbanding menggalakkan pemerintah berzina, berjudi, minum arak atau kesemua maksiat yang lain.

Tanpa merujuk kepada raja atau sultan di Malaysia, sebaliknya semua mana-mana raja atau sultan di seluruh dunia, Dr Mohd Asri mencatatkan:

Demi Allah! Debu yang berada di hidung kuda para sahabat Nabi saw yang berjuang bersama Nabi saw lebih mulia daripada kebanyakan sultan atau raja yang ada dalam dunia ini.

“Pada saya, pencadang hukuman tersebut adalah pengampu yang melebihi had. Jika dia muslim, dia seorang yang ‘kering perasaan’ dan tidak takutkan Allah mengenai ‘darah orang lain’.

“Mungkin dia berhujah dengan undang-undang yang dia fahami sehingga dia lupa syariat Allah yang Maha Tinggi yang mengharamkan ditumpah darah dan nyawa manusia tanpa sebab yang sah di sisi syarak”.

Justeru, Dr Mohd Asri menegaskan bahawa adalah wajib bagi pihak yang mencadangkan hukuman bunuh itu bertaubat serta menarik balik cadangan berkenaan.

Sementara itu, Suhaimi sendiri dalam kenyataan terbaharu menerusi Pembantu Khasnya, Azmizam Zaman Huri sebagaimana disiarkan malaysiakini.com menjelaskan bahawa, kenyataannya berhubung isu itu telah dimanipulasikan akhbar tertentu sedangkan kenyataan bertarikh 30 Disember itu tidak ditujukan kepada Sultan Selangor.

Justeru, kita berpendapat, adalah tepat jika semua pihak kembali kepada syariat dalam menangani apa juga isu serta mengeluarkan kenyataan media berkaitan dengannya.

Bukan kerana pencadang agar pengkritik sultan dihukum bunuh adalah penyokong Umno manakala individu yang didakwa mengkiritik sultan adalah penyokong Pakatan Rakyat, tetapi demi pemurniaan akidah serta mengelak salah faham di kalangan rakyat, semua pihak perlu kembali kepada hukum Islam sebenar, bukan meletakkan hukum di tangan dan emosi sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.