Subscribe

Belanjawan 2011 : Luahan Rasa Rakyat


( ini sebahagian dari ucapan Perdana Menteri belanjawan 2011 ):
4. Bagi penjawat awam:

a) Kerajaan memansuhkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

b) Bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah, pegawai kontrak dan pesara Kerajaan.

c) Menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000.

d) Menyambung perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember 2010 untuk tempoh 1 tahun lagi.

e) Membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik.

f) Menaikkan kadar pinjaman kepada RM20,000 untuk kerja-kerja tambahan rumah kos rendah bagi Kumpulan Sokongan Dua.

g) Menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000
Di atas ini adalah sebahagian dari petikan teks ucapan perbentangan bajet 2011 yang diucapkan sendiri oleh Najib sewaktu perbentangan bajet 2011 yang lalu. Saya adalah salah seorang individu dari beribu lagi individu yang lain yang terangkum dalam perkara “d) Menyambung perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember 2010 untuk tempoh 1 tahun lagi.” Dengan kata lain pekerja Pegawai Khimat Singkat kerajaan.

Dalam perbentangan bajet 2011 yang lalu kami telah diberi jaminan oleh Najib yang kontrak kami akan disambung lagi setahun. Khabar itu cukup menggembirakan kami kakitangan kontrak kerajaan ini, kerana kita semua sendiri sedar yang dalam Malaysia sekarang ini begitu susah untuk mendapatkan pekerjaan.

Tapi malangnya hinggalah 31 Desembar 2010 kami langsung tidak diberi khabar tentang penyambungan kontrak dan langsung tidak menerima apa – apa notis tentang penyambungan kontrak hinggalah kami terpaksa akur kepada kontrak asal yang ditandatangani sewaktu mula berkhidmat dahulu. Janji – janji Dato Seri Najib untuk menyambung kontrak perkhidmatan kami selama setahun lagi hanya janji – janji kosong dan kami terpaksa melangkah pergi dari jawatan kami pada 31 Desember 2010 begitu sahaja.

Natijahnya hari ini rata – rata dari kami telah menjadi penganggur. Kami menyambut tahun baru 2011 dengan bergelar penganggur pada 1 Januari 2011. Lebih malang lagi majoriti dari kami adalah golongan muda yang berumur bawah 30 tahun. Ramai antara kami yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak kecil, perlu membayar ansuran kereta, ansuran rumah, kad kredit, ptptn dan lain – lain tanggungan lagi.

Saya percaya dalam kurang dari dua atau tiga bulan lagi ramai antara kami akan diisytiharkan muflis oleh pihak bank kerana gagal menjelaskan pinjaman kereta, perumahan dan kad kredit. Itu belum dikira jumlah yang disenarai hitamkan oleh PTPTN akibat kegagalan menjelaskan pinjaman.

Untuk mendapatkan perkerjaan baru yang mampu menampung kos tanggungan sedia ada pada waktu ini sememangnya sukar. Memang kami boleh bekerja di mana – mana pasaraya tetapi dengan gaji rm650 sebulan apa yang kami boleh buat dengan jumlah yang sebanyak itu. Kami bukannya budak yang sedang menunggu keputusan SPM untuk bekerja hanya untuk mencari duit poket. Ansuran kereta 500 sebulan, susu anak rm50 setin, sewa rumah rm450 sebulan, itu belum masuk kos makan minum, minyak kereta dan sebagainya lagi.

Untuk mendapat pekerjaan disektor awam yang sesuai dengan kami perlu ada “kabel”, perlu ada “orang dalam”. Jadi bagaimana untuk kami menanggung semua ini.

Adakah ucapan Najib sewaktu perbentangan bajet 2011 berkenaan penyambungan kontrak itu sebagai satu populis atau juga sebagai satu pembohongan. Jika ini satu pembohongan bermakna Dato Seri Najib telah berbohong di dewan rakyat, dan jika berbohong di dewan rakyat ini bermakna Dato Seri Najib telah berbohong kepada rakyat. Lebih parah lagi pembohongan itu pula didalam ucapan perbentangan bajet 2011, dan menjadi kesalahan dalam peraturan parlimen jika seseorang itu berbohong dalam dewan rakyat.

“Peraturan Mesyuarat 36(12), iaitu berkaitan hukuman-hukuman yang wajar ke atas Ahli Parlimen atau Menteri kerana berbohong di Dewan Rakyat.”

No comments:

Post a Comment

Tinggallah apa sahaja komen walau sepatah kata, moga dengan komen yang kalian suarakan memberi manfaat kepada semua

Kalian berhak suarakan apa sahaja di ruang komen dibawah. Komen tidak akan ditapis, dan terima kasih diatas komen yang diberi.