Subscribe

Liga Ilmu : Ustazah Pilihan Vs Imam Muda. Wajarkah?


Sejak pertama kali melihat iklan rancangan Liga Ilmu : Debat Imam Muda Vs Ustazah Pilihan mahu ditayangkan di Astro Oasis, mata saya terpana dan minda saya terfikir,, "Adakah rancangan ini sesuai?? Dengan santapan iklan yang gah kepada penonton, dengan menyiarkan beberapa babak perdebatan hebat, disamping pesertanya pula "bukan calang-calang orang", iaitu Imam Muda dan Ustazah Pilihan, sudah pastinya mampu menarik ramai penonton untuk melihat rancangan ini.

Setelah melihat episod demi episod rancangan debat ini ,sangkaan dan kecurigaan saya terhadap program ini ternyata benar. Rancangan yang berselindung dibawah tema "Liga Ilmu" ini rupanya lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Dengan konsepnya membawa isu-isu semasa untuk diperdebatkan kemudiannya dikaitkan dengan gender dan agama sebagai modal perdebatan, ternyata tidak bertepatan dengan title "Liga Ilmu" yang diberikan, malah lebih banyak menjurus kerah sia-sia. Mengapa saya berkata demikian...

Pertama) Tajuk yang tidak bersesuaian dan menimbulkan kontreversi. Sebagai contoh,tajuk debat seperti "Lelaki adalah pemimpin secara Mutlak.." "Isu buang bayi. Salah siapa..??" "Isu perceraian. Salah lelaki atau perempuan..". Relevan kah?

Kedua) Konsep rancangan ini, iaitu mempertahankan GENDER. Para peserta debat Imam Muda dan Ustazah Pilihan yang berlainan gender akan bermatian menyokong hujah masing-masing. Bertegang urat demi menegakkan bahawa gender mereka terbaik, gender mereka dipihak yang benar, sementara pihak lawan sudah pastinya menjadi pesalah pada setiap isu-isu perdebatan. Hal ini sudah pastinya boleh menimbulkan fitnah kepada para pendebat yang berstatus Imam Muda dan Ustazah Pilihan.

Ketiga) Kedua-dua belah pihak yang ingin mempertahankan hujah masing-masing, kedua duanya menunjukkan kehebatan dengan membacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadis. Dalil-dalil Al-Quran Hadis dilontarkan untuk mempertahankan hujah, digunakan untuk menyerang hujah lawan, malah turut dijadikan bahan untuk memperli antara satu sama lain. Pendek kata, nas nas ayat suci ini disepak terajang kesana sini, yang mana membantu bagi pendebat maka dipetik, yang mana tak membantu maka dibuang. Situasi ini boleh diibaratkan seolah Al-Quran dan Hadis itu tiada nilainya, dan boleh digunakan sewenangnya demi memenuhi tuntutan emosi pendebat yang mempertahankan gender masing-masing.

Saya membuat kronologi seperti contoh ini. Misalnya Imam Muda menggunakan nas Quran Hadis dalam mempertahankan hujahnya. Ustazah Pilihan pun menggunakan nas Quran Hadis untuk pertahankan hujahnya. Kedua-duanya saling tidak mengalah. Soalnya sekarang, sekiranya hujah berdasarkan nas Al-Quran Hadis daripada Imam Muda itu betul, apakah ini bermakna hujah yang juga dari nas Al-Quran Hadis daripada Ustazah Pilihan itu salah?

Atau hujah Al-Quran Hadis dari Ustazah Pilihan itu betul, apakah Hujah nas Al-Quran Hadis dari Imam Muda itu pula yang salah??

Bukankah ini secara terang-terangan Al-Quran dan Hadis telah dipergunakan, diperbodohkan oleh kedua-dua pihak semata-mata mahu menyokong hujah emosional dalam mempertahankan gender masing-masing. Ia bukan sahaja telah membuka ruang kepada penyelewengan pentafsiran Al-Quran dan Hadis, malah lebih teruk dari itu, ia menjadi fitnah yang maha dasyat kepada Al-Quran, Hadis, dan Islam itu sendiri.

Keempat) Moderatornya, Dr Ridhuan Tee berperanan sebagai orang yang "membakar" agar situasi jadi tegang. Beliau dengan sengaja memainkan sentimen dan menggunakan status gender peserta debat sebagai modal ulasan dan soalan kepada peserta. Fenomena ini sudah pastinya mencetuskan ketegangan sewaktu debat, dan yang nyata menjadi kontreversi dan ketidaksenangan dikalangan penonton.

Alangkah sedihnya melihat para Imam Muda dan Ustazah Pilihan yang ada ilmu tetapi hakikatnya tidak cerdik, senang-senang menyerahkan dan membiarkan diri mereka dipergunakan oleh pihak Astro yang hanya mahu mencari rating tinggi dan mencari populariti dengan rancangan tersebut. Terdetik dihati saya, betapa berapa ramai penonton bukan Islam tergelak ketawa menyaksikan perdebatan bodoh dan sia-sia dari orang-orang celik agama ini.

Marilah kita pakat berdoa, agar para Imam Muda dan Ustazah Pilihan bertaubat dan insaf, serta menarik diri daripada rancangan ini.

===================================================================================

Ulama bidas Astro kerana jadikan Islam bahan hiburan


SHAH ALAM: Seorang ulama hari ini menegur Astro Oasis kerana menganjurkan program perbahasan bercorak Islam tetapi membabitkan isu-isu yang tidak mengikut syarak dan syariat agama itu.

Liga Ilmu musim baru terbitan stesen televisyen itu antara lain menampilkan barisan Imam Muda dan Ustazah Pilihan yang berbahas topik-topik seperti ‘Lelaki Atau Perempuan Lebih Layak Jadi Pemimpin?’, ‘Lelaki Lembut Vs Perempuan Ganas’, 'Remaja lari dari rumah, salah ibu atau bapa?' dan 'Pemimpin....hak mutlak lelaki ?'.

Ulama muda Fathul Bari Mat Jahya berkata, format rancangan itu berserta topik-topik sedemikian menjadikan Islam sebagai bahan hiburan.

Menurut beliau, tajuk-tajuk berkisar pada gender, dan "persaingan" antara lelaki dan wanita untuk program agama tidak sesuai kerana ia hanya menjadi perdebatan yang saling menuding jari antara satu sama lain.

Fathul Bari berkata, beliau bimbang program agama itu lebih berbentuk provokasi dan menggesa Astro Oasis meneliti kembali matlamat dan memperbaiki konsep program dari segenap sudut agar ia dapat dimanfaatkan oleh orang ramai.

Beliau menegaskan keperluan untuk memastikan program agama sentiasa berpaksi kepada perbincangan ilmu berkualiti, pemilihan topik yang diserasikan dengan realiti masyarakat semasa dan bukan mengajak ummah untuk menuding jari dan mencari salah antara satu sama lain.

“Adakah dari sudut etika, lelaki dan wanita dengan cara berhadapan seperti itu, dengan adab, dengan gaya bersuara, dengan lenggok bahasa, dengan lenggok tubuh badannya....diharuskan di dalam Islam?” tanya beliau.

Fathul berkata cara penyampaian hujah debat dalam program Liga Ilmu kadang-kadang jauh tersasar dan penuh dengan emosi.

Hal ini secara tidak langsung seperti merendahkan maruah dan kredibeliti status ‘imam muda’ dan ‘ustazah pilihan’ yang disandang peserta berkenaan, kata beliau.

“Nak berbahas, kita perlu terbuka, dada kena terbuka. Kita nak kritik pendapat orang, kita juga kena terbuka dan sedia dikritik," kata Fathul.

“Kalau apa yang dia(pihak lawan) kritik bertepatan dengan syarak, kita kena terima. Tidak boleh kerana kepentingan diri kita, kerana hati kita, kita nak ketepikan petunjuk syarak semata-mata kerana rasa tidak puas hati”, ujar beliau.

Dalam memilih topik perbahasan, Fathul berkata penerbit rancangan harus sedar bahawa Islam mempunyai cara tertentu dalam mengangkat kedudukan wanita dan pada masa sama kedudukan dan tanggungjawab lelaki tidak pernah dipertikaikan.

Rancangan Liga Ilmu menampilkan pensyarah Universiti Pertahanan Nasional dan penceramah bebas Dr Mohd Riduan Tee Abdullah sebagai moderator.

Liga ILmu ditayangkan di Astro Oasis, saluran 106, setiap hari Khamis, jam 10 malam


[Baca Selanjutnya dan Share di Facebook...]

Menteri ghairah lelong plat kenderaan, rakyat sengsara skandal berbilion ringgit


KUALA LUMPUR, 25 MEI: Yang dituntut oleh rakyat ialah penyelesaian skandal KLIA2 yang bernilai RM3.9 billion, skandal RM12.5 billion PKFZ dan skandal RM12.49 bilion lebihan kos projek landasan keretapi berkembar EDTP.

Tetapi yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha ialah mendabik dada kerana berjaya menjadi penjual nombor plat kenderaan WWW.

Inilah kehebatan seorang Menteri dari MCA dan Barisan Nasional yang diamanahkan oleh negara untuk menjaga kepentingan rakyat, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

“Rakyat Malaysia tidak perlukan seorang Menteri Pengangkutan yang cuma berminat melaporkan jumlah lelongan nombor plat WWW daripada menyelesaikan isu besar yang dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Kong tidak berwibawa kerana gagal melindungi dan mempertahankan kepentingan awam melibatkan isu skandal berbilion ringgit, sebaliknya, beliau telah mengadakan beberapa sidang akhbar bagi mengumumkan nilai rekod bidaan tertinggi bagi plat kenderaan WWW yang mencecah RM11.3 juta seperti mana yang dilaporkan Bernama.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berlata, Kong sepatutnya menjelaskan kepada rakyat tentang kenaikan mendadak nilai “terminal kos rendah” KLIA2 dari RM1.7 billion pada 2007 kepada RM3.9 billion tahun lalu adalah akibat penukaran tapak KLIA2 ke kawasan paya gambut.

“Walaubagai mana pun, kenaikan RM2.2 billion tersebut yang membebankan rakyat dijawab Kong yang hanya berkata ‘saya tidak mempunyai jawapan kerana keputusan tersebut tidak dibuat oleh Kementerian Pengangkutan’, ” tambah beliau.

Pua juga berkata, dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kong yang juga Setiausaha Agong MCA telah mengarahkan bayaran diteruskan kepada pemegang saham Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB). Sedangkan, Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) sendiri telah menyaman KDSB sebanyak RM1.6 billion di atas tuntutan berlebihan dan penipuan, tambahnya. Sebaliknya, beliau berkata, Kong pula menuduh PKA dengan mengatakan bahawa setiap jumlah yang dibayar adalah atas nasihat PKA walau pun PKA mengarahkan untuk menghentikan bayaran,” ujarnya.

Yang terkini, laporan Business Times yang mendedahkan bahawa MMC-Gamuda telah menuntut arahan perubahan kerja (VO) sebanyak RM1.5 billion dari kerajaan bagi lebihan kos Pembinaan Landasan Berkembar Elektrik (EDTP) Ipoh-Padang besar. “Walau pun ia dinafikan oleh MMC-Gamuda, mereka tetap mengakui bahawa tuntutan “perbelanjaan dan kerugian” tersebut adalah disebabkan oleh kerajaan sendiri. “Nilai projek EDTP ialah RM12.49 billion dan kenaikan sebanyak RM1.5 billion bermaksud kenaikan 12% daripada kos asal,” kata Pua.

Menurutnya, semua ini perlu dijelaskan oleh Kong tetapi pemimpin MCA itu terus membisu walau pun sedar segala skandal tersebut telah menyumbang kepada masalah ekonomi negara kerana wang pembayar cukai yang berjumlah berbilion ringgit telah disalah guna dan dibazirkan.

[Baca Selanjutnya dan Share di Facebook...]

Ulasan Debat Rafizi-Khairi PTPTN





1. Saya memahami hujah dan kebimbangan yang Rafizi bawakan mengenai PTPTN, secara ringkasnya saya jadikan contoh :

Katakanlah PTPTN mengeluarkan RM 20 billion (sekadar contoh dari saya, rafizi ada menyatakan jumlahnya dalam debat tersebut) setahun untuk dipinjamkan kepada pelajar, dan hanya 10% yg dibayar balik, dengan pertambahan jumlah yg dipinjam sekitar 20% setahun

tahun pertama :
20 billion dipinjamkan,
2 billion dibayar balik.
jumlah hutang trkumpul : 18 bilion ringgit.

tahun kedua :
24 bilion dipinjamkan
2.4 bilion dibayar balik
jumlah hutang terkumpul : 21.6 + 18 = ~40 bilion ringgit.

tahun ketiga :
(pengiraan seperti di atas)
jumlah hutang terkumpul : ~24 + 40 = ~64 billion ringgit.

dan jika diunjurkan (projected) jumlah ini dari tahun ke tahun, kita akan dapat graf yg exponent, semakin lama jumlah hutang terkumpul akan semakin banyak, dan ini yang Rafizi jadikan US sebagai contoh, menanggung beban sehingga trillion dollar.

2. Rafizi mengambil kira peratusan bayaran balik 10% sebagai pemalar, iaitu disebabkan pelbagai faktor (baca: faktor kenapa orang tak bayar balik hutang):

- gaji/pendapatan naik tidak setara dengan perbelanjaan/kenaikan harga barang.

- hutang-hutang lain (hutang rumah, kereta, kredit kad, etc)

- kadar penggangguran meningkat (tak dapat kerja macam mana nak bayar balik?)

- kesedaran utk "membayar balik" tidak meningkat

- sistem/mekanisma kutip semula hutang kekal tidak bertambah efisien


PTPTN hanya berfungsi apabila peminjam membayar balik pinjaman. Duit yang dibayar balik itu yang akan dijadikan dana untuk dipinjamkan kepada orang lain pula. Namun hakikatnya, yang membayar balik adalah kurang dari 10% dan PTPTN menanggung jumlah hutang terkumpul yang semakin meningkat.

3. Dahulunya dana PTPTN ini diberi oleh kerajaan dalam bentuk geran, namun disebabkan jumlahnya semakin meningkat maka PTPTN terpaksa membuat pinjaman dari KWSP dan bank-bank (agar terus dapat memberi duit pinjaman kepada pelajar).

Khairy beralasan mengatakan pinjaman ini ditanggung kerajaan faedah (bunga/riba) nya. Namun ia tidak mengubah hakikat bahawa

Pelajar (pinjam dari) PTPTN, manakala PTPTN pula (pinjam dari) bank2, kwsp

selagi kadar pelajar melangsaikan hutang tidak meningkat, ptptn tidak dapat membayar balik hutang kepada bank/kwsp dan kerajaan akan terus menanggung bunga/riba yg semakin meningkat berkadar masa.

Dan kebimbangan yg akan terus lahir pula adalah, jika skrg ini sudah sampai tahap PTPTN yg berhutang dengan bank, selepas ini siapa pula yang akan memberikan wang kepada PTPTN untuk dipinjamkan kepada para pelajar?

4. Khairy pula, berhujah mengenai mekanisma pemansuhan PTPTN yang dicadangkan pihak PR, yang bagi beliau, boleh membangkrapkan negara. Saya kurang gemar beliau mengungkit dan mengaitkan dengan Buku Jingga PR, kerana debat ini mengenai PTPTN bukannya mengenai Buku Jingga.

Sebaliknya Khairy tidak menyentuh langsung mengenai hakikat dan kebimbangan yang dinyatakan oleh Rafizi (point 1,2,3 saya).

Saya tidak nampak apa pengakhiran kepada PTPTN ini. Adakah PTPTN akan terus menanggung hutang terkumpul sehingga ratusan bilion ringgit? Bagaimana dengan pelajar yang tidak menyelesaikan hutang PTPTN, jika dihukum penjara sekalipun wang itu tetap tidak dipulangkan? Dan bagaimana jika hutang tersebut dibawa sehingga mati, siapa yang akan melangsaikan hutang berkenaan?

5. Saya menjangkakan di masa akan datang, apabila hutang terkumpul PTPTN mencapai satu jumlah yang sangat besar dengan keadaan TIADA LAGI DANA untuk disalurkan kepada PTPTN, maka tabung PTPTN akan dibekukan sehinggalah para penghutang melangsaikan hutang mereka.

Cumanya dalam keadaan ini, pihak IPT akan tetap mengenakan yuran pengajian kepada para pelajar yang baru tamat SPM ketika itu, dan para ibubapa (penghutang PTPTN di zaman pengajiannya) akan menghadapi dua kali beban - melangsaikan hutang mereka, dan dalam masa yang sama membiayai pengajian anak-anak mereka pula.


6. Penghapusan PTPTN bukanlah bermaksud beban yuran universiti ditanggung sepenuhnya oleh pelajar/ibubapa, tetapi penghapusan PTPTN bermaksud kembali ke model PENDIDIKAN PERCUMA sepertimana yang dinyatakan oleh Rafizi:

- membina 10 universiti awam baru menyediakan tempat kepada 100,000 mahasiswa, supaya kurang pergantungan kepada IPTS

- subsidi kepada pelajar IPTS supaya yuran yang dikenakan IPTS sama dengan yuran IPTA.

- manakala yuran di IPTA akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

- peruntukan elaun sara hidup (yang digunakan oleh pelajar untuk makan, beli topup, keluar dating etc) akan tetap diberi kepada yang layak.


Maksudnya tak perlu risau, asalkan dapat melayakkan diri masuk ke IPTA maka pengajian akan ditanggung sepenuhnya. Jika terpaksa juga masuk ke IPTS (kerana tempat pengajian terhad, kursus kritikal, result x cukup bagus dsb), dana disediakan dalam bentuk pinjaman tanpa faedah melalui sebuah tabung khas. Saya assume tabung ini hampir sama dengan PTPTN namun pada skala yang lebih kecil dan mudah dipantau untuk dipastikan pembayaran balik oleh pelajar. Boleh rujuk dalam blog rafizi.

7. Berbalik kepada debat, seperti yang saya nyatakan, Khairy berhujah mengenai MEKANISMA yang dicadangkan Pakatan Rakyat. Khairy tidak menafikan kemelut hutang terkumpul PTPTN (point 1,2,3 saya), dan Khairy juga tidak menolak idea Pendidikan Percuma. Tetapi yang Khairy persoalkan adalah HOW.

Pokok pangkalnya, seluruh debat pada malam itu berputar kepada dakwaan,

"Khairy yakin Pakatan Rakyat TIDAK MAMPU menyediakan dana untuk memansuhkan PTPTN dan menyediakan Pendidikan Percuma"

"Rafizi yakin Pakatan Rakyat MAMPU menyediakan dana untuk memansuhkan PTPTN dan menyediakan Pendidikan Percuma"


Saya kurang faham mengenai hujah kedua-dua pihak terhadap claim masing2 di atas. Rafizi kata hanya perlukan 5 billion setahun. Khairy kata boleh membangkrapkan negara. Terlalu contradict. Tambah-tambah bila banyak angka yang terlibat, saya pun sampai naik pening. Heee.

8. Namun secara peribadi, saya memilih untuk bersetuju dengan claim Rafizi, atas faktor:

- Latarbelakang Rafizi selaku pengurus petronas dalam bidang : perakaunan, belanjawan, percukaian antarabangsa, perancangan perniagaan, operasi dan teknologi urusniaga petrokimia, pengalaman dalam bidang hal-ehwal kewangan petronas.


- ukur baju di badan sendiri. Sekiranya Pakatan Rakyat diberi peluang namun cuma "bercakap besar" maka ianya akan backfire kepada mereka sendiri, kegagalan merealisasikan pemansuhan PTPTN dan melaksanakan Pendidikan Percuma akan menyebabkan rakyat Malaysia sukar lagi untuk menaruh kepercayaan kepada mereka.

- Rafizi memberi cadangan JALAN KELUAR dari kemelut hutang terkumpul manakala Khairy tidak memberitahu secara jelas apa yang akan berlaku 10,20,30 tahun akan datang apabila hutang tertunggak PTPTN mencapai ratusan bilion ringgit, apatah lagi solusi kepada kemelut tersebut.


9. Kesimpulannya, saya kenyang melayan debat PTPTN Rafizi-Khairy ini. Penjelasan dari Rafizi banyak memahamkan saya, manakala kredit harus diberikan kepada Khairy kerana berani tampil berhadapan dengan Rafizi. Setidak-tidaknya mendengar hujah mereka berdua lebih baik dari melayan hujah-hujah:

"Geng-geng yang nak mansuh PTPTN ni sebab nak mengelat takmau bayar la tu!"

"Tahu pinjam, tak reti-reti nak bayar balik?"

"Kalau mansuh PTPTN macam mana adik-adik anak-anak kita nak melanjutkan pelajaran kelak! Kesian mak bapak orang kampung mana ada duit dan hantar diorang masuk univ?"

"Tu la dulu cikgu2 mak bapak suruh belajar pandai2 bagi dapat biasiswa, korang degil, sekarang tahu pun takut bila PTPTN nak dimansuhkan!"


Besar bezanya melihat orang politik berhujah, berbanding budak-budak berhujah. Betul agaknya apa yang diungkapkan,

"Great minds discuss ideas, average minds discuss events, small minds discuss people."

10. "ceehhh...engkau datang belajar oversea pun kerajaan yang bagi biasiswa, ada hati nak komplem komen pasal PTPTN. Tengok cermin la woiiii!!"

Maaf hal ini penting bagi saya kerana 10,20,30 tahun akan datang, ketika itu saya pula yang akan menjadi ibubapa, memikirkan mengenai pendidikan anak-anak saya!

Dan menyuarakan pendapat dan pandangan saya berkenaan hal ini tidak menjadikan saya seorang Pro-Barisan Nasional atau Pro-Pakatan Rakyat. We all want the best for our future, regardless of who wins the election.


[Baca Selanjutnya dan Share di Facebook...]

Pemimpin Umno mengamuk dan isytihar keluar parti

BATU GAJAH: Naib Ketua Pemuda Umno Kampar, Sdr Zamhuri Md Zin hari ini mengisytiharkan dirinya keluar parti dan tidak mahu lagi dikaitkan lagi dengan parti itu.

 Tindakan tersebut adalah disebabkan parti yang telah memerintah lebih 50 tahun itu gagal menjaga orang melayu dan tidak lagi releven. "Saya hari ini mengisytiharkan keluar Umno setelah lebih 27 tahun bersama parti itu," katanya. Menurutnya, rasuah didalam pertadbiran Barisan Nasional amat berleluasa dan ditahap yang membimbangkan.

 Beliau yang juga seorang pengusaha pasir telah ditipu dan dinafikan haknya setelah membayar cukai dan premium kepada kerajaan. "Saya bayar cukai RM20 125 seperti prosidur yang ditetapkan oleh kerajaan tetapi apa yang saya dapat hanya tanah liat, bukannya pasir," ujarnya.
Ahli Majlis Daerah Kampar itu sangat kesal dengan tindakan kerajaan yang menganiaya serta menindasnya sedangkan beliau adalah 'orang kuat' menyokong kerajaan. "Nak bagi rasuah, ajak makan, pergi karaoke, bagi amoi (pelacur) dari siam barulah nak bagi luluskan pasir, dan Ketua Umno Bahagian, Dato' Radhi Manan sebentar tadi menelefon dan mengatakan pasir yang dipohon sudah diluluskan. 


 "Sudah terlambat, saya tetap dengan pendirian saya akan keluar umno dan saya tidak akan toleh ke belakang. "Dah lama saya bersabar dan hari ini saya tekad keluar Umno dan bersama-sama Pakatan Rakyat," ujarnya.


 Zamhuri yang juga Ketua Cawangan Umno Changkat Tin menyatakan bahawa lebih 100 ahli di cawangannya akan mengikut jejak langkah beliau. Sementara itu, Mantan Menteri Besar, Dato' Seri Nizar Jamaluddin ketika bersama-sama dalam pengisytiharan itu mengalu-alukan hasrat beliau. 


 Mohammad Nizar menjelaskan, di zaman pemerintahan Pakatan Rakyat selama 11 bulan, Zamhuri pernah memohon pasir dan diluluskan. "Walaupun dia Umno tetapi Pakatan Rakyat luluskannya kerana itu hak dia sebagai penjual pasir. "Kalaulah orang kuat Umno pun mereka tidak boleh tolong, inikan lagi orang Pakatan Rakyat. Justeru, beliau menyeru ahli Umno yang lain turut bersama-sama mengikut jejak langkah Zamhuri dan menyertai perjuangan Pakatan Rakyat.
[Baca Selanjutnya dan Share di Facebook...]